Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Jumaat, September 27, 2013

Tiada beza nikah mutaah, pelacuran


Segelintir masyarakat akan bersikap skeptikal terhadap sebarang isu jika dibincangkan dari sudut hukum-hakam termasuk dalam isu nikah mutaah. Timbul anggapan orang berlatarbelakangkan agama lebih memilih untuk bersikap ofensif atau suka menghukum. 

Tidak ada empati dan miskin sifat ihsan dalam menangani sebarang permasalahan masyarakat yang berlaku. Hanya mereka yang benar-benar takutkan Allah SWT, takut pada azab Allah SWT akan menyambut perbincangan dari sudut hukum-hakam. 
Isu nikah mutaah ini, soal dosa atau pahala akan diketepikan apabila keseronokan menjadi matlamat utama. Malah, bagi yang tidak mahu melepaskan ruang yang berada di depannya akan mencari dan mencipta pelbagai alasan untuk melaksanakan nikah mutaah tanpa rasa berdosa. 

Pernikahan atau perkahwinan adalah perkara suci. Konsepnya disamakan dengan pembinaan sebuah masjid kerana dalamnya penuh dengan elemen ibadah"

Sebagai wanita Islam, ibu, ibu saudara yang memiliki anak perempuan, saya melihat nikah mutaah mempunyai daya untuk merosakkan bangsa dan negara keseluruhannya. Hancur hati keibuan saya apabila mengetahui sebahagian amalan nikah mutaah di Iran untuk menambah pendapatan keluarga.

Mana-mana anak gadis sunti dalam keluarga jika sudah boleh melayan nafsu serakah lelaki yang sempit otaknya, maka akan ditawarkan dalam ‘pasaran’ nikah mutaah. Ibu bapa dan keluarga apakah yang menggelapkan masa depan anak sendiri?

Tiada beza dengan pelacuran

Jika ini situasinya, adakah nikah mutaah masih bersifat lebih mulia berbanding aktiviti pelacuran jika dilihat hampir tiada perbezaan antara kedua-duanya? 
Oleh sebab dalam nikah mutaah tiada rukun yang mengatakan wanita yang dinikahi itu mesti daripada kalangan beragama Islam, maka wanita bukan Islam juga boleh mengambil bahagian dalam nikah mutaah. 

Jika inilah ajaran Syiah, maka agama Islam melalui nikah mutaah telah menempah untuk dihina oleh agama lain di dunia ini. Sikap terbuka yang tidak bertempat dan mengajak wanita bukan Islam untuk sama-sama berseronok atas nama agama sebenarnya suatu penghinaan terhadap agama Islam.

Jika wanita bukan Islam mempunyai pegangan dan prinsip kepatuhan yang tersendiri dalam perkahwinan menurut agama mereka, bagaimana pula agama Islam mempunyai laluan yang amat mudah untuk dicemari. 

Sedangkan agama Islam memiliki tatacara hidup yang terperinci, kemas dan memiliki disiplin tinggi. Di mana rasa malu dan maruah umat Islam untuk mengajak wanita bukan Islam ke kancah ini?

Mazhab Ahli Sunah Wal Jama’ah sudah menjadi darah daging umat Islam di Malaysia. Pernikahan atau perkahwinan adalah perkara suci. Konsepnya disamakan dengan pembinaan sebuah masjid kerana dalamnya penuh dengan elemen ibadah. 

Konsep sakinah, mawaddah dan rahmah (tenang, cinta juga harapan dan kasih sayang) dalam rumah tangga Muslim datangnya daripada firman Allah SWT. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Ijab dan kabul

Cinta suci terkandung dalamnya kalimah Allah dan ia bersifat abadi (mu’abbad). Pertalian ini diikat oleh hak dan tanggungjawab yang ada justifikasi ukhrawi. Berlakunya ijab dan kabul daripada harapan perkahwinan yang dibina adalah untuk selama-lamanya.

Perceraian atau talak yang berlaku dalam perkahwinan Sunni bukannya harapan mana-mana pasangan. Majlis pernikahan perlu diurus oleh wali yang antara peranannya melindungi kebajikan wanita di bawah bidang kuasanya. 

Ada saksi yang hadir dalam pernikahan berkenaan supaya terjamin kehormatan hubungan itu. Akhirnya, unit keluarga yang baharu terbina itu perlu dihebahkan supaya ia mempunyai tempat secara rasmi dalam masyarakat setempat.

Satu hadis ajaran Syiah menyebut: “Seseorang yang terbabit dalam nikah mutaah sekali sepanjang hayatnya mencapai status Imam Al-Hussain. (Manakala), seseorang yang terbabit sebanyak dua kali menjadi sama dalam status Imam Al-Hasan. Seterusnya, seseorang yang melakukannya sebanyak tiga kali, akan mencapai kedudukan Imam Ali. Dan barang siapa yang mengamalkannya sebanyak empat kali, akan memperoleh tahap dan kedudukan Nabi Muhammad.”

Persoalannya, di manakah rasionalnya untuk disamakan kedudukan pengamal nikah mutaah dengan kedudukan Baginda Nabi Muhammad SAW jika Baginda sendiri memansuhkan pernikahan ini?

Pernikahan bermaruah

Walaupun perkahwinan dan amalan poligami Baginda SAW menjadi bahan kritikan sesetengah golongan, contohnya Orientalis, tetapi setiap pernikahan Baginda dengan wanita yang dinikahi adalah secara bermaruah. 

Tidak ada bezanya antara nikah mutaah dengan pelacuran, malah mungkin kedudukannya lebih rendah berbanding dengan pelacuran jika kadar mas kahwin dipersetujui pasangan jauh lebih kecil dengan bayaran untuk seorang pelacur. 

Dalam maqasid al-Shariah, antaranya ialah menjaga maruah demi kemaslahatan umat Islam. Jika keseronokan menjadi tujuan utama, nescaya masyarakat akan menjadi rosak. Apabila masyarakat rosak, maka rosaklah negara.

Tiada ulasan: