Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Jumaat, Oktober 31, 2008

Solat tanda bersyukur


Oleh RAMLI ABDUL HALIM



IBADAT solat itu adalah tiang agama. – Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------



SEMBAHYANG lima waktu yang diwajibkan ke atas umat Nabi Muhammad SAW yang merupakan penghulu bagi segala anbia yang juga merupakan nabi dan rasul akhir zaman pada hakikatnya mempunyai nilai yang cukup tinggi kerana proses penerimaan perintah sembahyang oleh Rasulullah itu sendiri bukannya satu kerja mudah.

Berbanding dengan nabi-nabi lain yang mula melakukan sembahyang atas beberapa faktor, tetapi ibadat sembahyang yang diwajibkan ke atas umat Nabi Muhammad SAW diterima perintah oleh baginda secara terus dari Allah dengan baginda dibawa ke Sidratul Muntaha yang letaknya melepasi lapisan langit ketujuh.

Sidratul Muntaha itu sendiri adalah tempat yang tidak boleh didatangi oleh manusia lain, kecuali Nabi Muhammad, malah para malaikat juga tidak boleh ke sana.

Pemergian baginda SAW pada malam 27 Rejab tahun ke-11 kerasulan baginda (yakni dalam tahun 622 Masihi) dinamakan Israk Mikraj yang mana selain daripada menerima perintah kewajipan sembahyang, baginda juga berpeluang berjumpa dengan para nabi dan rasul, malah berkesempatan beramah mesra.

Rasulullah juga dipertontonkan dengan manusia yang menanggung seksa kerana memusuhi Allah dan Rasul-Nya serta mereka yang menikmati nikmat kerana bertakwa kepada Allah. Pada mulanya sembahyang yang diperintahkan adalah sebanyak 50 waktu.

Macam mana pun atas cadangan dan desakan Nabi Musa a.s. yang menyebabkan Rasulullah SAW berulang alik naik turun Sidratul Muntaha, maka jumlah waktu sembahyang hanya tinggal lima waktu sehari semalam sahaja.

Nabi Musa yang merasakan jumlah sembahyang lima waktu sehari semalam itu akan malas dilakukan oleh umat Nabi Muhammad meminta baginda membuat rayuan pengurangan jumlah waktu sembahyang tetap baginda enggan kerana malu kepada Allah.

Sebenarnya sembahyang lima waktu itu adalah himpunan sembahyang-sembahyang yang telah dilakukan oleh lima orang nabi dan rasul kerana ada sebab dan peristiwanya sebagaimana berikut;

SUBUH: Manusia pertama yang mengerjakan sembahyang subuh adalah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke dunia.

Semasa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke dunia kerana kesalahan memakan buah khuldi yang dilarang, yang pertama yang dilihat oleh bagi ialah kegelapan.

Baginda berasa sangat takut. Macam mana pun apabila fajar menjelang Subuh dunia mulai terang dan kerana bersyukur apabila dunia mula menampakkan akan terang dan tidak gelap lagi, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

Rakaat pertama sembahyang baginda adalah sebagai tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam manakala rakaat kedua adalah bersyukur kerana siang telah menjelma.

Zuhur: Manusia pertama yang mengerjakan solat Zuhur ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT memerintahkan baginda agar menyembelih anak baginda Nabi Ismail a.s. sebagai melepas nazar baginda.

Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari (bertepatan dengan waktu Zohor), lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.

Rakaat pertama kerana bersyukur bagi penebusan, rakaat kedua tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya, rakaat ketiga: tanda bersyukur dan memohon keredaan Allah SWT manakala rakaat keempat tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

Asar: Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun.

Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Sebagai tanda syukur kerana dikeluarkan dari perut ikan Nun, maka Nabi Yunus a.s. bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada 4 kegelapan iaitu:

Rakaat pertama tanda syukur dari bebas dari kelam dengan kesalahan, rakaat kedua bersyukur kerana kelam dengan air laut, rakaat ketika kerana kelam malam dan rakaat keempat kerana kelam perut ikan Nun.

Maghrib: Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, yang di kala itu telah terbenamnya matahari.

Kerana tanda bersyukur bagi sembahyang tiga rakaat dengan rakaat tanda bersyukur kerana baginda berjaya menafikan ketuhanan selain dari Allah yang Esa, rakaat tanda bersyukur kerana berjaya menafikan tohmahan ke atas bonda baginda Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang manakala rakaat ketiga tanda bersyukur kerana berjaya menyatakan kepada kaum baginda bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT, tiada dua atau tiganya.

Isyak: Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat untuk mencari jalan kfeluar dari negeri Madyan.

Sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita kerana sesat ekoran doa seorang alim yang diupah oleh Firaun agar mendoakan supaya Nabi Musa a.s.

Orang alim dan doanya sangat mustajab itu pada mulanya enggan akur kepada arahan Firaun dan enggan menerima upahan dalam bentuk jongkong emas kerana diketahuinya bahawa Nabi Musa a.s. adalah nabi dan rasul.

Hasil siasatan oleh pegawai-pegawai perisikan Firaun mendapati orang alim itu sangat sayangkan isteri dan dia adalah seorang suami yang sering mengalah kepada isteri.

Kelemahan itu diambil kesempatan oleh Firaun dengan memberi upah emas kepada isteri orang alim itu supaya meminta suaminya berdoa supaya Nabi Musa a.s. sesat di padang pasir negeri Madyan.

Bila diminta dan dirayu dan direngek oleh isterinya, orang alim itu tidak dapat menolak. Bagaimanapun, dia memberi syarat akan berdoa dalam kandang kuda.

Orang alim itu menyangka bila berdoa pada tempat yang kotor, doanya tidak akan mustajab. Macam mana pun doanya tetap mustajab dan Nabi Musa a.s. tersesat manakala orang alim itu mati dalam keadaan berdosa kerana mengikut kemahuan Firaun.

Bagaimana Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya Nabi Musa a.s. apabila beliau akhirnya tidak lagi sesat dan ketika itu adalah waktu Isyak yang akhir. Sebagai tanda syukurnya, Nabi Musa bersembahyang empat rakaat dengan rakaat pertama tanda syukur kerana baginda akan dapat kembali ke pangkuan isteri dan kampung halaman. Rakaat kedua tanda bersyukur kerana dapat bersua kembali dan berganding bahu dengan saudara Nabi Harun a.s. bagi menyampaikan seruan Allah.

Rakaat ketiga pula kerana selamat daripada tindakan Firaun manakala rakaat keempat tanda bersyukur selamat daripada pengkhianatan anak Firaun terhadap baginda dan umat baginda yang bertakwa.

Ertinya kesemua waktu sembahyang yang diwajibkan ke atas umat Nabi Muhammad adalah merupakan amalan-amalan tanda ketakwaan terhadap Allah oleh para nabi dan rasul dan nilainya tidak boleh disamakan dengan apa jua bentuk kebendaan.

Kalau nabi dan rasul pun bersembahyang sebagai tanda syukur dan untuk melayakkan diri masuk ke syurga, siapa kita yang bukan nabi dan rasul untuk tidak sembahyang di samping melakukan pelbagai kemungkaran dengan bila mati kita mahukan syurga!

lRAMLI ABDUL HALIM adalah murid tua (bekas pelajar) Madrasah Al-Balaghulmubin Rong Chenak, Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan.

Rabu, Oktober 22, 2008

'Jurang antara kebaikan, kejahatan cuma satu hasta'

Takdir ketentuan Allah, tetapi manusia perlu bertindak menurut panduan digariskan Islam

KETIKA Rasulullah SAW menempuh perjalanan Israk Mikraj untuk menerima langsung perintah solat lima waktu sehari semalam daripada Allah, Baginda menyaksikan banyak peristiwa aneh dan luar biasa.

Antaranya ketika bersama Jibril tiba di langit pertama (langit dunia), Baginda berjumpa Abul Basyar (bapa umat manusia) iaitu Nabi Adam seperti dinyatakan dalam hadis yang bermaksud: "Ketika dibuka, kami pun naik ke langit dunia. Ternyata di sana ada seorang lelaki sedang duduk. Di sebelah kiri dan kanannya ada kelompok orang dalam jumlah yang besar. Apabila dia melihat ke arah kanannya, maka ia tertawa, dan apabila melihat ke arah kirinya, dia menangis.

Lelaki itu berkata: Selamat datang wahai Nabi dan anak yang salih. Aku bertanya kepada Jibril: Siapakah ini? Jibril berkata: Ini adalah Adam. Sedangkan kelompok di kanan dan kirinya adalah roh keturunannya. Kelompok di kanan adalah penghuni syurga, kelompok kirinya pula penghuni neraka. Apabila Nabi Adam melihat ke kanannya Baginda tertawa dan ke kirinya Baginda menangis." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Nabi SAW disambut Nabi Adam AS dengan ucapan: "Selamat datang wahai nabi dan anak yang salih." Nampak sekali betapa gembira dan bangganya Nabi Adam melihat keturunannya yang ditunjuk Allah sebagai penghulu nabi dan rasul, iaitu Rasulullah SAW.

Menurut penulis kitab Fathul Baari, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, boleh jadi yang diperlihatkan kepada Nabi Adam adalah kumpulan roh keturunannya sebelum ditiupkan ke dalam jasad masing-masing, namun ditentukan dulu oleh Allah bakal menjadi penghuni syurga atau neraka.

Ada pula kemungkinan bahawa yang dinampakkan ialah roh belum masuk ke dalam jasad yang diciptakan sebelum ada jasad dan berada di kanan dan kiri Adam. Kemudian Adam mengetahui akhir perjalanan roh itu. Oleh itu yang dimaksudkan bukan roh di dalam jasad atau sudah berpisah dengan tubuh dan kembali ke tempatnya, di syurga atau neraka. Nabi Muhammad SAW menerangkan waktu Allah tetapkan takdir pada janin dalam rahim ibunya, antara perkara ditetapkan Allah ialah penghujung perjalanan anak itu sengsara (neraka), atau bahagia (syurga).

Daripada Abdullah, Rasulullah SAW menceritakan kepada kami: "Sesungguhnya seorang antara kamu dikumpulkan pada perut ibunya 40 hari, kemudian menjadi segumpal darah seperti itu (selama 40 hari), kemudian menjadi segumpal daging seperti itu (40 hari), kemudian Allah mengutuskan malaikat dengan membawa empat kalimah: ditulis amalan, ajal, rezeki dan sengsara atau bahagia. Kemudian dihembuskan roh. Sesungguhnya seseorang melakukan amalan penghuni neraka sehingga tidak ada antara dirinya dan neraka kecuali satu hasta, namun tulisan sudah mendahuluinya, maka ia melakukan amalan penghuni syurga lalu masuk syurga. Sesungguhnya seseorang melakukan amalan penghuni syurga sehingga tidak ada antara dirinya dan syurga kecuali satu hasta, namun tulisan sudah mendahuluinya, maka ia melakukan amalan penghuni neraka, lalu masuk neraka." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Menurut ar-Raghib al-Asfihani, dalam Mufradatul al-Fadhlil Quran, kebaikan dalam erti umum sesuatu yang digemari manusia dalam setiap keadaan seperti akal, keadilan, keutamaan dan berfaedah. Lawannya ialah kejahatan.

Kebaikan dan kejahatan berkait rapat seperti bunyi radio, lagu, muzik, atau nyanyian dapat menjadi hiburan bagi orang yang menyukainya, tetapi menjadi gangguan bagi yang tidak menyukainya.

Kebaikan dan kejahatan adalah ciptaan Allah seperti diterangkan dalam hadis Qudsi bermaksud: "Tidak dinamakan perbuatan baik apabila perbuatan itu mengakibatkan neraka, dan tidak dinamakan perbuatan jahat apabila perbuatan itu mengakibatkan syurga."

Mengenai kejahatan dalam erti perbuatan atau sifat, tidak termasuk sifat atau perbuatan Allah, apalagi zat-Nya sendiri kerana bersifat sempurna dan mutlak. Hanya Allah melakukan kebaikan terhadap hamba atau makhluk-Nya dan menghukum orang yang layak dijatuhi hukuman. Hanya Allah Maha Mengetahui segala rahsia tersembunyi di sebalik ciptaan-Nya, yang diperlihatkan kepada orang dikehendaki. Mustahil perbuatan jahat keluar daripada zat yang Maha Mengetahui dan Maha Terpuji.

Firman Allah bermaksud: "Di mana saja kamu berada, kematian akan mengejar kamu, walaupun kamu berada dalam benteng yang tinggi dan kukuh. Jika mereka memperoleh kebaikan mereka berkata: "Ini datangnya daripada Allah" akan tetapi apabila mereka ditimpa bencana, mereka mengatakan: "Ini datangnya daripada kamu (Muhammad)", katakan, "Semua datang daripada Allah, mengapa orang-orang itu tidak mahu memahami sedikit pun pelajaran dan nasihat yang diberikan. Kebaikan yang kamu peroleh datang daripada Allah dan bencana menimpa kamu, berasal daripada diri kamu sendiri." (Surah an-Nisa', ayat 78-79)

Manusia diingatkan tetap melakukan perbuatan menurut panduan ditentukan Allah bila menyimpang sedikit, ia termasuk golongan ahli batil yang melakukan kejahatan sehingga layak mendapat bencana, seksaan dan balasan neraka.