Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Jumaat, Mei 03, 2013

Membudayakan kerja cemerlang



Muslim perlu meletakkan pekerjaan sebagai amanah perlu ditunaikan

Firman Allah SWT: “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jugalah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya).” (Surah Al-Mulk, ayat 15) 

Allah SWT menjadikan rezeki daripada-Nya sebagai hasil kejayaan usaha manusia di muka bumi ini. Sudah tentu sesiapa yang berusaha dan bekerja, dia berhak untuk mendapatkan rezeki daripada Allah SWT dan sesiapa yang tidak bekerja maka dia tidak berhak mendapatkannya. 
Sertai aktiviti ekonomi 


Menjadi sunnatullah bahawa rezeki tidak dapat diperoleh kecuali dengan usaha dan kerja keras seseorang. Islam menyeru manusia mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti ekonomi seperti sektor pertanian, perikanan, perindustrian, perniagaan dan perkhidmatan. 

Islam memandang tinggi pekerjaan duniawi seperti ini dan meletakkannya sebagai ibadah dan jihad di jalan-Nya. Ia akan menjadi ibadah jika dilakukan dengan ikhlas dan pekerjaan itu tidak menghalang kita daripada mengingati Allah SWT serta hari pertemuan dengan-Nya. 

Usaha dan pekerjaan inilah yang membantu kita menegakkan agama dan memenuhi keperluan keluarga serta orang yang memerlukan. Hal ini adalah tuntutan agama dan ia tidak boleh dicapai kecuali dengan harta serta wang ringgit. 

Justeru, manusia tidak akan mendapatkannya kecuali dengan usaha dan kerja keras. Tidak hairanlah banyak nas agama menyeru dan menggesa manusia kepada usaha dan kerja keras sehingga ia menjadikannya setaraf solat, sedekah serta jihad di jalan Allah. 
Pekerjaan bukan saja penting bagi individu tetapi juga kemaslahatan masyarakat. Maka tidak patut seorang Muslim hidup dengan cara meminta-minta tanpa berusaha. Dengan bekerja, seseorang itu dapat menjaga maruah diri dan pada masa sama tangannya tidak selama-lamanya berada di bawah. 

Sabda Rasulullah SAW: “Jika salah seorang daripada kamu mengambil tali kemudian pergi ke gunung lalu kembali dengan seikat kayu api di belakangnya, lalu menjualnya dan dengan itu Allah menjaga air mukanya, adalah lebih baik baginya daripada meminta-minta daripada orang ramai sama ada diberi ataupun tidak.” (Riwayat Bukhari) 

Bekerja penuhi keperluan keluarga 

Lelaki atau perempuan harus bekerja untuk memenuhi keperluan keluarganya. Al-Quran menyebut mengenai dua perempuan yang memberi minum kambing dan mereka mendapat bantuan daripada Nabi Musa. 

Mereka bekerja sebagai pengembala kambing milik keluarga kerana usia bapa mereka berdua yang sudah tua dan lemah seperti kenyataan dirakamkan oleh al-Quran: “Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: Apa hal kamu berdua? Mereka menjawab: Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya.” (Surah Qasas, ayat 23) 

Andai kata seseorang merasakan tidak perlu bekerja kerana kekayaan yang melimpah ruah, maka dia harus bekerja untuk masyarakat dan umat. Walaupun bekerja termasuk dalam perkara yang harus, namun apabila ditinjau dari sisi lain ia adalah wajib kerana manusia tidak dapat mendirikan ibadah kecuali dengan menyelesaikan keperluan hidupnya terlebih dulu. 

Imam Ar-Raghib Al-Asfahani berkata, sesiapa yang tidak mahu bekerja dan berusaha maka dia terlepas daripada darjat kemanusiaan bahkan terkeluar dari golongan haiwan dan masuklah dia dalam golongan benda-benda mati. 

Kesedaran memahami hakikat hidup 

Seorang lelaki berjalan di hadapan Abu Darda’, sahabat yang terkenal dengan kezuhudannya. Orang tersebut melihat Abu Darda’ sedang menanam pokok kurma walhal usia sudah lanjut. 
Maka lelaki itu bertanya, “Mengapa kamu menanam pokok kurma sedangkan kamu sudah lanjut usia dan pokok ini pula tidak berbuah kecuali setelah beberapa tahun? Lalu Abu Darda’ menjawab: Apa salahnya jika saya mendapat pahala daripadanya disebabkan orang lain memakan buahnya.” 

Demikianlah contoh kesedaran seorang Muslim dalam memahami hakikat kehidupan iaitu orang yang terbaik ialah orang yang mampu memberi manfaat kepada orang lain. Justeru membudayakan kerja secara cemerlang adalah kewajipan agama. Islam tidak hanya sekadar menuntut seseorang untuk bekerja semata-mata, tetapi menuntut mereka bekerja dengan baik dan tekun. 

Bekerja dengan teliti dan tekun hukumnya bukan sunat dan bukan pula amalan remeh dalam Islam tetapi ia adalah satu bentuk kefarduan agama. 

Sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya Allah suka jika salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan ia melakukannya dengan baik dan teliti.” (Riwayat Baihaqi) 

Oleh itu, setiap Muslim perlu meletakkan pekerjaan sebagai amanah Allah yang perlu dilakukan dengan sebaik mungkin dan mesti meyakini setiap pekerjaan itu dipersoalkan di hadapan Allah SWT. 

Tiada ulasan: