Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Jumaat, November 18, 2011

Tafsir Ayat: Bersegera lakukan amal kebaikan elak timbul fitnah


ISLAM memerintahkan umatnya untuk bersegera dalam melakukan amalan kebaikan kerana ia akan memberikan rasa ketenangan jiwa dan kesejahteraan hidup dunia akhirat. Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.” – (Surah Ali Imran, ayat 133). 

Islam ialah addin yang penuh dengan amal, menggalakkan umatnya sentiasa bergerak aktif, kreatif dan inovatif serta berkualiti dalam melakukan sesuatu amalan. Islam tidak menghendaki umatnya menjadi umat yang lemah, rendah diri dan menganggur.
Dalam Islam, kerja keras sedemikian adalah terhormat, amalan bersegera sedemikian diiktiraf, manakala bersikap pasif dan malas amat dilarang Islam. Oleh kerana itu, Rasulullah SAW sering berpesan kepada umatnya supaya tidak mensesiakan waktu yang terluang yang berlalu begitu saja tanpa pengisian amal yang terbaik.
Setiap Muslim hendaklah meng-insafi bahawa waktu yang sedang berlangsung ini sangat berharga dan tidak dapat diganti sama sekali. 

Kekosongan yang tidak diisi dengan amal kebaikan akan terisi oleh keburukan dan begitu juga, kesempatan yang tidak diambil akan segera terlepas daripada tangan. Allah memberi panduan supaya setiap Muslim setelah selesainya menunaikan satu amalan, maka waktu yang kosong hendaknya diisi dengan amalan lain yang berfaedah dan berkebajikan. Bukankah Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain). – (Surah al-Insyirah, ayat 7). 

Kemajuan dan kemunduran seseorang, bahkan martabat sebuah bangsa sangat bergantung rapat pada kesediaan mereka dalam bersegera melaksanakan pekerjaan dan aktiviti produktifnya. Semakin lambat mereka menyelesaikan masalahnya, semakin terencat pula majunya, sebaliknya semakin cepat mereka menerajui aktivitinya, maka kemajuan akan segera berada di depan mata. 

Justeru, pekerjaan yang biasa kita lakukan di pagi hari, tidak selayaknya kita tunda sehingga petang hari dan begitu juga, kerja yang biasa kita selesaikan pada siang hari, adalah sangat naif apabila kita berfikir untuk menyelesaikannya pada malam hari pula. 
Oleh itu, lakukanlah aktiviti hari ini dengan sebaik-baiknya kerana kita ditentukan oleh hasil kerja kita pada hari ini. Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang suka melambat-lambatkan pekerjaannya, maka tidak akan disegerakan hartanya.” – (Hadis Riwayat Muslim). 

Dalam hadis yang lain, perintah bersegera dalam melaksanakan kebaikan disampaikan Rasulullah SAW dengan sabdanya yang bermaksud: “Bersegeralah melakukan amal salih (kebajikan), (kerana) akan berlaku fitnah seumpama malam yang gelap gelita. Dalam keadaan itu, terdapat seorang pada paginya mukmin, petangnya menjadi kafir dan begitu juga sebaliknya seorang yang petangnya kafir, kemudian pada sebelah paginya, dia menjadi mukmin. Dia menjual agamanya demi kepentingan dunia yang sedikit, (Hadis Riwayat Muslim). Dalam hadis ini Nabi SAW menggesa umat Islam memperbanyakkan amalan salih dan bersegera melakukannya serta tidak menangguh amalan terbabit. Akan datang satu masa nanti berlaku fitnah atau malapetaka besar yang menjadi penghalang bagi seorang mukmin melaksanakan amalan kebaikan. Fitnah itu berlaku tanpa diketahui sebabnya dan ia merebak dalam kehidupan manusia tanpa disedari. Malah, mereka tidak dapat menghalang apatah lagi meninggalkannya. Ia umpama malam yang gelap gelita. Pada ketika itu, manusia sibuk menghadapi fitnah ini, maka terhenti amalan kebaikan yang sepatutnya dilakukan demi menjamin kejayaan dunia dan akhiratnya. 

Kedahsyatan fitnah dan malapetaka ini berlaku sehingga seseorang Muslim itu menjadi seorang mukmin pada sebelah paginya dengan mendirikan solat, mengerjakan ibadat dituntut, mendirikan syiar Islam, akan tetapi pada waktu petangnya kufur kepada Allah SWT. Hal ini kerana imannya tidak kukuh, sekukuh iman para sahabat yang dididik Rasulullah SAW. Kelemahan iman ini menyebabkan seseorang itu menjual agamanya semata-mata ingin mendapatkan habuan dunia bersifat sementara. Akhirnya, neraca penilaian di dalam diri seseorang menjadi songsang, sehingga beliau melihat dunia sebagai matlamat utama, dan melihat kebahagiaan akhirat tiada nilai. Kedahsyatan fitnah dan malapetaka ini, menyebabkan iman seorang Muslim itu berdolak-dalik. Sesungguhnya fitnah itu amat berbahaya dan dapat bergerak dengan pantas. Sekali kita membiarkannya maka selanjutnya ia bertapak dan berkembang dalam tubuh kita. Begitu cepat sehingga menyebabkan seseorang bertukar agama, menggadaikannya dengan kesenangan dunia. Maka tidak hairanlah Rasulullah SAW memperingatkan sahabat dan umatnya sewaktu mendepani perjalanan hidup yang penuh cabaran. 

Selanjutnya, pintu fitnah ini boleh ditutup dengan amal salih. Apa saja dilakukan dalam hidup seorang Muslim akan menjadi amal kebaikan. Bercakap benar dan tidak bohong itu amalan mulia. Mendoakan kesejahteraan untuk saudara seislam tanpa pengetahuan mereka, juga amal salih dan lain-lain amalan kebaikan yang berlangsung dalam setiap sendi kehidupan umat sejagat. Allah SWT Maha Adil kerana memberi peluang kepada hamba-Nya, baik miskin mahu pun kaya, masing-masing memiliki kesempatan melakukan amal kebajikan dan mendapat keredaan. Lebih daripada itu, sesuatu amal tidak dilihat dari sudut kuantiti, tetapi dilihat dari sudut kualitinya, iaitu motivasi dan niatnya. Pendek kata, kualiti amal seseorang itu amat bergantung kepada motivasi dan niatnya. 

Tiada ulasan: