Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Jumaat, Mac 08, 2013

Khutbah Jumaat: Wajib pertahan maruah negara

Ops 'Daulat' Lahad Datu Sabah


Tindakan bersepadu wajar diambil hadapi ancaman musuh

Berdasarkan sejarah, negara kita pernah berdepan beberapa siri ancaman keselamatan bermula dengan ancaman komunis ketika darurat dan kemunculan beberapa militan seperti kumpulan tentera sabilillah, Nasir Ismail, al-Maunah dan lain-lain lagi. 
Kesemua menuntut berlakunya peperangan dan pertumpahan darah serta nyawa. Alhamdulillah, semua ancaman keselamatan itu berjaya diatasi oleh pihak pemerintah dan pasukan keselamatan negara hasil perancangan yang tepat serta strategik demi mempertahankan maruah negara. 

Firman Allah SWT: “Orang yang beriman dan tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman, bagi mereka itulah keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Anaam, ayat 82)

Ulama bersepakat mengatakan mempertahankan negara adalah fardu kepada setiap orang Islam, manakala menderhaka dan mengkhianati negara satu dosa besar. Pengkhianatan dan penderhakaan kepada negara termasuklah cubaan menjatuhkan negara dengan bersekongkol bersama musuh.

Wajib pertahan negara

Menurut pandangan Syeikh Muhammad Abu Zuhrah: “Mempertahankan negara adalah wajib ke atas setiap Muslim.”

Hukum ini dinyatakan dengan jelas dalam kitab fiqh bahawa ia sama ada fardu kifayah atau fardu ain bergantung kepada sejauh mana ancaman dihadapi sesebuah negara itu. 
Prof Dr Abdul Muin Salim dalam kitabnya Fiqh al-Siasah menjelaskan, mewujudkan suasana tidak stabil dalam sesebuah negara yang aman damai adalah haram. Sengaja mewujudkan suasana porak-peranda seterusnya mengundang mudarat kepada orang awam hukumnya adalah haram.

Dalam menangani pelbagai ancaman dihadapi negara, pendekatan bersepadu wajar dilaksanakan antaranya perlu kesedaran semua pihak tanggungjawab menjaga keselamatan.

Perlu difahami, ruang lingkup ancaman keselamatan negara amat luas dan musuh wujud di mana-mana. Justeru, tidak sepatutnya tanggungjawab ini diletakkan di bahu anggota pertahanan dan keselamatan saja tanpa didukung setiap rakyat negara ini. 

Yakinlah, segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan dan keselamatan sebahagian daripada ibadah dan tanda jihad di jalan Allah SWT. Inilah masanya, semua umat Islam bersatu demi mempertahankan kedaulatan negara dan agama selain menolak sebarang usaha cuba menghancurkan keamanan negara.

Firman Allah SWT: “Orang yang beriman dan tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman, bagi mereka itulah keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Anaam, ayat 82) 

Harus perang jaga maruah

Walaupun agama Islam mengutuk peperangan kerana menyebabkan pembunuhan sesama manusia, agama Islam mengharuskan umatnya berperang sebagai satu cara untuk mempertahankan diri demi menjaga maruah agama, bangsa dan negara sekiranya diancam.

Firman Allah SWT: “Diizinkan berperang bagi orang yang diperangi, sebab mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka.” (Surah at-Haj, ayat 39) 

Mereka yang berperang di jalan Allah dianggap sebagai pahlawan Allah dan jika mereka mati pun dianggap mati syahid kerana mempertahankan kedaulatan serta maruah negara.

Muaz bin Jabal meriwayatkan sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang berperang di jalan Allah walaupun sebentar iaitu sekadar memerah susu unta, maka wajib baginya mendapat pahala syurga. Dan barang siapa yang bermohon kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh untuk berjihad, kemudian ia mati atau dibunuh, maka baginya balasan syahid. Dan barang siapa terluka di jalan Allah atau ditimpa kemalangan, maka ia datang pada hari akhirat sederas darah yang mengalir ketika luka warnanya seperti za’ faran dan baunya bagaikan kasturi.” (Riwayat Abu Daud) 

Rapatkan saf, erat perpaduan

Marilah kita bersama mempertahankan setiap inci tanah air kita ini daripada diceroboh pihak tidak bertanggungjawab, marilah berganding bahu, bersatu padu, merapatkan saf, menjauhi perpecahan dan mengeratkan perpaduan.

Percayalah, hanya dengan bersatu kita akan menjadi kuat dan mampu mengalahkan musuh. Sedarlah, permusuhan sesama sendiri pasti merugikan dan melemahkan kita. Marilah memperkukuhkan cinta kepada Allah dengan ikhlas berjuang menegakkan agama Allah.

Kita juga memohon dikekalkan kesinambungan nikmat keamanan, dijauhi segala malapetaka yang boleh menjejaskan usaha membangunkan agama, bangsa dan negara. Sesungguhnya kekuasaan dan pertolongan Allah SWT sentiasa bersama jemaah dan mereka yang benar.

Had toleransi selagi tidak jejas akidah



Toleransi mampu mewujudkan hubungan baik dengan mana-mana pihak dalam urusan membabitkan kepentingan masing-masing. Toleransi dengan penganut agama lain disandarkan kepada hubungan baik membuktikan kebenaran ajaran Islam. 

Perlu difahami, toleransi tidak bermakna berdiam diri dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama, maruah diri dan keselamatan. Kita tidak boleh berlembut atau menyokong perbuatan yang membawa kepada dosa dan memesongkan akidah. 
Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu tolong- menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan dan bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Keras dalam menjatuhkan hukuman.” (Surah al-Maidah, ayat 2) 


Mentafsir ayat ini, Ibnu Katsir menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan orang beriman untuk tolong- menolong dalam kebaikan, meninggalkan kemungkaran serta melarangnya untuk saling bantu membantu dalam kebatilan dan dosa. 

Tolak fahaman pluralisme 

Meniru atau terikut-ikut cara ibadat bukan Islam adalah batil dan dosa, hukumnya haram. Sikap toleransi sehingga menerima fahaman pluralisme agama yang menyamaratakan semua agama perlu ditolak. Fahaman ini turut didukung sekelompok umat Islam yang dikenali penganut ‘Islam Liberal’. 

Aliran atau manhaj Islam Liberal menekankan ciri keterbukaan dan kebebasan dengan mengutamakan akal logik dalam mentafsir ajaran Islam. Aliran ini berusaha untuk keluar daripada kaedah pentafsiran ilmu tradisi serta apa yang sedia ada dalam syariat Islam yang asli dan tulen. 
Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu campur-adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedangkan kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 42) 

Islam mewajibkan umatnya berbuat baik kepada bukan Islam apalagi kepada sesama Islam. Ketika ada yang memerlukan bantuan, haruslah dibantu dengan termampu. Jika ada pihak lain membuat ancaman, maka hendaklah membantu mempertahankan hak yang sepatutnya dirasai. 

Bangun sikap toleransi 

Itulah adab umat Islam dalam membangun sikap toleransi. Rasulullah SAW malah mengancam umat Islam yang berbuat zalim kepada zimmi dengan ancaman tidak masuk syurga. 

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang membunuh bukan Islam yang terikat perjanjian dengan umat Islam, maka ia tidak akan mencium keharuman syurga, meskipun keharumannya itu dapat dicium dari jarak empat puluh tahun perjalanan.” (Hadis riwayat Bukhari) 

Jika toleransi dituntut dalam ajaran Islam, maka perbuatan ekstrem yang berlawanan dengan toleransi sudah tentu amat ditegah atau dibenci. Sesungguhnya, Islam tidak pernah meletakkan tindakan ekstrem sebagai cara untuk mencapai apa-apa maksud atau tujuan. 

Ajaran Islam tidak membenarkan umatnya mengamalkan perbuatan ekstrem, bahkan tidak menyokong sebarang bentuk penindasan dan ketidakadilan. Umat Islam ditegah mendatangkan sebarang bencana atau kesusahan kepada pihak lain. 

Mana-mana individu Islam yang melakukan perbuatan ekstrem tidak patut mengaku melakukan perbuatan itu atas dasar memperjuangkan Islam. 

Justeru, sebarang tuduhan yang dilemparkan kepada umat Islam sebagai pengganas, ekstrem, militan, radikal dan kejam adalah dakyah yang dilakukan oleh pihak berniat jahat terhadap umat Islam. Mereka sebenarnya tidak mengetahui mengenai ajaran Islam yang sebenar. 

Media Barat sentiasa melancarkan propaganda untuk menggambarkan Islam sebagai paksi segala kejahatan. Berita membabitkan umat Islam yang digambarkan sebagai pengganas mendapat ruang utama di media massa Barat. 

Gambaran itu menjadikan seluruh masyarakat dunia menjadi fobia terhadap umat Islam. Sedangkan hakikat sebenarnya Islam amat benci sebarang bentuk keganasan. Islam amat mencintai keamanan dan kesejahteraan untuk dinikmati seluruh penghuni dunia ini.

Jumaat, Mac 01, 2013

Khutbah Jumaat: Ulama, umara patut bersatu


Fungsi sama penting dalam membela nasib ummah, majukan negara

Sejarah perkembangan Islam telah membuktikan bahawa apabila hubungan kesalingan antara ulama dan umara menjadi erat, maka sesebuah kerajaan itu pasti bertambah kuat, nasib ummah terbela, negara bertambah maju dan aman damai. 
Persoalan besar timbul siapakah ulama dan umara yang sebenarnya dan apakah bidang tugas mereka? Ini penting kerana masih ramai yang keliru dengan istilah dan juga peranan ulama dan umara kerana sesiapa saja boleh mengakui dirinya ulama. 

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya asas hubungan dalam agama adalah nasihat, iaitu bagi mentaati Allah dan rasul-Nya bagi menolong pemerintah umat Islam dan rakyat amnya.” (Riwayat Muslim)

Ulama ialah mereka yang arif hukum hakam Allah SWT berbanding orang lain, manakala umara pula ialah mereka yang mempunyai mandat dan kuasa untuk membuat orang lain mematuhinya. Ulama pernah menduduki barisan kepimpinan yang memimpin negara dengan adil seperti di zaman kesultanan Melaka dan Aceh pada suatu masa dulu. 

Golongan ini sentiasa menjadi perhatian masyarakat dan amat berpengaruh kerana itulah ketika Islam mula bertapak di Tanah Melayu, alim ulama diangkat kedudukannya dengan diberi pengiktirafan oleh pemerintah sebagai penasihat kepada sultan atau raja. 

Menjunjung kedudukan ulama

Pengiktirafan tinggi ini sebenarnya bertepatan dengan prinsip Islam yang menjunjung kedudukan ulama selaras sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin malik RA: “Sesungguhnya perumpamaan orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan.” 
Alhamdulillah, kesinambungan pengiktirafan dan penghormatan kepada golongan ulama sedikit pun tidak pernah dilupakan malah terus dimartabatkan oleh pemerintah negara dengan mengangkat golongan ini ke kedudukan sewajarnya.

Malah telah mewujudkan pelbagai jawatan, skim dan platform supaya ulama terus boleh berbakti pada agama dan negara. Tanpa ulama semua orang akan menjadi jahil dan bertindak mengikut hawa nafsu semata-mata, tanpa pemerintah, masyarakat menjadi kacau bilau. Malah ajaran Islam dan syariah tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurnanya. 

Pendirian teguh berpaksikan al-Quran

Percayalah, masyarakat dan pemerintah sangat memerlukan ulama yang sentiasa teguh pendirian berpaksikan al-Quran dan hadis yang meletakkan tanggungjawabnya pada agama dan masyarakat melebihi kepentingan peribadi atau politik.

Hubungan antara ulama dan umara adalah tunjang kepada kekuatan ummah serta menentukan hala tuju umat Islam pada masa depan. Merekalah yang berada di barisan hadapan yang menentukan kejayaan atau kejatuhan sesebuah ummah itu. 

Contohnya, kejayaan negara kita pada hari ini dengan tertubuhnya institusi dan instrumen berdasarkan Islam seperti Universiti Islam, perbankan Islam, pusat rawatan Islam dan lain-lain lagi adalah hasil pemikiran ulama yang ingin melihat negara dibangunkan. 

Sebaliknya, apabila dua golongan ini bermusuhan, maka pemerintahan menjadi lemah, ummah tidak terbela, negara kucar-kacir dan akan ditimpa kehancuran. 

Diriwayatkan daripada Abu Naim, Rasulullah SAW bersabda: “Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah ulama dan umara.”

Bagaimana kaedah untuk membina hubungan ulama dan umara? Saling hormat menghormati adalah satu cara untuk mengeratkan lagi hubungan ulama dan umara. Setiap ulama mestilah berintegriti, bersifat ikhlas, jujur, jati diri, berpandangan luas serta tidak fanatik dalam setiap tindakannya.

Memberi nasihat dan teguran berlandaskan kepada kebenaran tanpa dipengaruhi mana-mana pihak atau fahaman tertentu. Begitu juga dengan umara, mereka mestilah bersikap terbuka menerima nasihat dan pandangan serta mampu membina kerjasama baik dengan mana-mana pihak. 

Bersatu atas kepentingan Islam

Inilah masanya, golongan umara dan ulama bersatu hati atas dasar kepentingan Islam dan saling hormat menghormati antara satu sama lain demi masa depan agama serta bangsa walaupun berbeza pandangan ataupun fahaman.

Ulama terkenal, Muhammad bin Nasr ketika menjelaskan maksud nasihat untuk pemerintah ialah supaya mereka menjadi baik, mendapat petunjuk dan berlaku adil, menyukai umat bersatu di bawah pemerintahannya dan tidak berpecah belah. 

Dengan memperkasakan kaedah ini ia akan meletakkan peranan ulama di tempat sepatutnya, mereka akan dihormati dan akan memartabatkan kedudukan ulama dalam sistem pemerintahan negara. 

Iman al-Turtusyi dalam kitabnya siraj al-Muluk berkata: “Manusia yang paling utama taat kepada pemerintah dan menasihatinya ialah ahli agama dan mereka yang mendapat nikmat serta golongan yang bermaruah kerana agama tidak boleh tegak tanpa kuasa pemerintah.”

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya asas hubungan dalam agama adalah nasihat, iaitu bagi mentaati Allah dan rasul-Nya bagi menolong pemerintah umat Islam dan rakyat amnya.” (Riwayat Muslim) 

Ulama tidak boleh berdiam diri memperjuangkan hak-hak kepentingan Islam dan menyelesaikan masalah ummah. Suara ulama sentiasa ditunggu dan diperhatikan oleh masyarakat Islam yang cintakan agamanya. 

Ulama juga tidak boleh sama sekali memisah dan memencil diri daripada dunia yang berasingan dan haruslah berada dalam realiti masyarakat yang nyata. Ingatlah, hubungan ulama dan umara ibarat aur dengan tebing dan perkongsian bijak mereka akan membawa rahmat kepada negara serta ummah.

Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Hikmah Al-Quran: Toleransi asas tamadun Islam berkembang


Rasulullah hormati penganut agama lain

Firman Allah SWT: “Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Surah Al-Haj, ayat 40) 
Islam adalah agama perdamaian dan agama toleransi. Ia bukan kata-kata kosong tetapi sesuatu yang dijelaskan Allah SWT dalam banyak tempat dalam al-Quran dan dibuktikan secara praktikal oleh Rasulullah SAW melalui sejarah kehidupan dan perjuangan Baginda. 

Firman Allah: “Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepada-Nyalah, kami patuh dengan berserah diri.” (Surah al-Ankabut, ayat 46)

Antara perkara awal yang dilakukan Rasulullah SAW bila tiba di Madinah ialah mengadakan perjanjian dengan orang Yahudi. 

Inti pati perjanjian itu ialah negara Islam Madinah perlu menghormati kepercayaan dan agama mereka, mempertahankan mereka daripada segala bentuk ancaman dan menjadikan mereka sebahagian masyarakat Madinah yang akan mempertahankan setiap inci buminya.

Rasulullah SAW sendiri mempunyai jiran-jiran dalam kalangan ahli kitab yang dilayan begitu baik oleh Baginda. Perkara biasa dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika itu ialah memberikan mereka hadiah dan begitu juga sebaliknya, mereka memberikan Nabi hadiah.

Pernah satu ketika rombongan Nasrani Habsyah bertandang ke Madinah, Rasulullah SAW menempatkan mereka di masjid. Secara peribadi, Rasulullah SAW melayan mereka dan mengungkapkan kata-kata penuh makna, “Mereka pernah memuliakan sahabat-sahabat kita dan aku suka diriku sendiri memuliakan mereka.” 
Sebenarnya perbezaan agama tidak menghalang kita untuk berbuat baik, berkasih sayang dan bertoleransi dalam perkara diizinkan oleh syariat. 

Firman Allah: “Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka) dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang yang diberikan Kitab dulu daripada kamu.” (Surah al-Maidah, ayat 5) 

Satu peristiwa yang lebih menakjubkan mengenai toleransi ini ialah kedatangan rombongan daripada Nasrani Najran yang disambut oleh Rasulullah SAW. Sekali lagi Rasulullah menempatkan tetamu berlainan akidah ini di Masjid Nabawi dan membenarkan mereka sembahyang berdasarkan kepercayaan mereka di satu sudut, manakala Rasulullah dan sahabat bersolat jemaah di satu sudut lain dalam satu masjid.

Selepas itu Rasulullah berbincang, berdialog serta berdebat bersama mereka dengan penuh beradab dan berakhlak. Sebenarnya apa yang dilakukan Rasulullah SAW ini tidak lain tidak bukan hanyalah sebagai kepatuhan kepada saranan Allah SWT.

Firman Allah: “Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepada-Nyalah, kami patuh dengan berserah diri.” (Surah al-Ankabut, ayat 46) 

Bukankah penghinaan, ugutan dan menimbulkan bibit-bibit kebencian kepada penganut agama lain adalah sesuatu yang dicela oleh al-Quran dan pada masa sama menimbulkan permusuhan serta kebencian yang pasti tidak akan menguntungkan sesiapa.

Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.” (Surah al-A’nam, ayat 108) 

Di atas asas toleransi inilah sebenarnya tamadun umat Islam berkembang. Orang bukan Islam buat kali pertama dalam sejarah hidup mereka melihat bagaimana Islam membina tamadun tanpa prejudis kepada orang lain bahkan pada masa sama memberi ruang cukup luas kepada bukan Islam untuk sama-sama menyumbang kepada pembinaan kemajuan dan ketamadunan dunia.

Begitulah toleransi yang dituntut tanpa kompromi berkaitan akidah dan kepercayaan kita. Setiap Muslim wajib beriman kepada rasul di samping keimanan kita yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah SAW. Inilah umat Islam yang sebenarnya yang memiliki jiwa yang besar. 

Firman Allah SWT: “Katakanlah (hai orang Mukmin): Kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yakub dan anak cucunya, dan apa yang diberikan kepada Musa dan Isa serta apa yang diberikan kepada nabi-nabi daripada Tuhannya. Kami tidak membeda-bedakan seorang pun di antara mereka dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 136) 

Jelas sekali Islam tidak membenarkan kita bertindak zalim kepada penganut agama lain melalui tindakan kekerasan atau melahirkannya dalam bentuk provokasi sama ada tulisan atau ucapan. Islam mewajibkan kepada pemerintah menjaga tempat ibadah mereka daripada dicerobohi.