Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Jumaat, September 14, 2012

Perspektif IKIM: Gembleng usaha tarik golongan songsang ke pangkal jalan


Apa pun maklum balas masyarakat terhadap isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang banyak diperkatakan hari ini, pemahaman menyeluruh dan lebih mendalam perlu sebelum langkah serta usaha memperbaiki keadaan dilaksanakan oleh semua pihak. 

Kesedaran wujudnya peranan dan kerjasama semua pihak perlu kerana isu LGBT amat kompleks sifatnya. Justeru, kita perlu tahu tanda atau ciri-ciri mereka yang terjebak atau sedang berjinak-jinak dengan perlakuan LGBT.
Apatah lagi apabila kumpulan itu secara terang-terangan mendesak supaya gaya hidup mereka diterima sebagai satu norma masyarakat atau yang biasa, dengan disokong oleh hak dari segi undang-undang dalam masyarakat, isu ini sudah luar biasa. 

Di peringkat antarabangsa pendirian negara pastinya dibuat menurut protokol dan instrumen yang sedia ada. Namun di peringkat sosial dan setempat, mungkin tidak cukup jika isu ini dilihat sebagai sesuatu yang cukup ditangani dan ditolak melalui bantahan semata-mata. 

Walaupun bantahan ini hak yang sah tetapi kita berhak menolak gaya hidup ini khususnya untuk menjaga kemaslahatan generasi masa depan. 

Perlu difahami gaya hidup LGBT bukan hanya membabitkan penyakit fizikal dan mental bahkan jika disahkan melalui undang-undang boleh merosakkan keturunan manusia. Jelaslah betapa LGBT mampu memusnahkan maqasid syariah yang melindungi nasab dan keturunan dengan sekelip mata. 

Mereka yang mengakui beragama Islam, Allah SWT mengingatkan dalam firman: “Dia amat tidak menyukai orang yang tidak berbuat seperti diperkatakan dan sekiranya setelah ia tahu apa yang salah dan betul, manusia mengakui Muslim itu masih melakukan yang dilarang, maka Allah akan benar-benar akan menyelewengkan hatinya.” (Surah as-Shaff, ayat 1-5)
Berbalik kepada persoalan LGBT, apakah aspek yang lebih terlarang atau paling terlarang dari sudut agama, aspek perasaan, identiti atau perbuatan? Jawapannya pastilah aspek perbuatan yang disokong oleh akal dan dapatan pakar bahawa perasaan dan identiti jika tidak dikawal akan menjurus kepada perbuatan juga. 

Bagaimana jika seseorang itu menjadi LGBT lantaran faktor persekitaran yang menjadikan dia mangsa seperti seseorang yang pernah diliwat dan ini menyebabkan dia juga meliwat. Begitu juga lesbian disebabkan tidak mempunyai watak lelaki dalam hidup mereka. 

Jika hendak dikaji secara sosio-budaya, amat banyak sekali faktor yang boleh diketengahkan dan ramai pihak boleh dipersalahkan. Di manakah akidah dan jati diri seseorang yang bergelar Muslim? 

Dari sudut mengatasi masalah LGBT, mungkinkah ada yang mempunyai perasaan untuk kembali ke pangkal jalan. 

Berdasarkan maklumat oleh pertubuhan bukan kerajaan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (SIDIM), ramai individu bermasalah ingin berubah menjadi insan lebih baik dan bertaubat daripada maksiat dilakukan. 

Oleh itu, pendekatan sesuai untuk mereka ini ialah melalui hubungan baik dan kasih sayang seperti diamalkan Rasulullah SAW. Baginda tidak pernah menghukum sebaliknya memberi kesedaran dengan hikmah. 

Setiap masalah ada jalan penyelesaian, oleh itu, marilah kita bersama berusaha menggembleng tenaga mencari kaedah terbaik untuk membawa golongan LGBT yang tersasar kembali ke jalan yang benar. 

Tiada ulasan: