Komitmen kami keyakinan anda yang menjadi tema Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah satu perlambangan bagi membuktikan ATM akan sentiasa menentukan keamanan dan kedaulatan negara tercinta tetap terpelihara dengan penuh tanggungjawab.
Menangkis segala bentuk pencerobohan dengan segala kekuatan yang ada biarpun hingga ke titisan darah terakhir. Oleh itu, ATM akan memastikan aspek kesiapsiagaan sentiasa berada di tahap maksimum.
Keberkesanan ATM tidak diukur dari sudut kecanggihan persenjataan semata-mata, tetapi ia juga bergantung kepada tahap penerimaan masyarakat terhadap perkhidmatan diberi. Penerimaan masyarakat penting, antara lain mampu mengekalkan kesinambungan pelaksanaan operasi ketenteraan.
Dengan sokongan, kerjasama serta pengorbanan semua masyarakat, ATM akan berupaya menempa kejayaan berterusan ke arah memartabatkan integriti demi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan strategik negara.
Pertahanan menyeluruh adalah dasar kerajaan bertujuan mempertahankan negara dari musuh sama ada musuh luaran mahupun dalaman. Semua anggota masyarakat bertanggungjawab mempertahankan negara daripada ancaman yang boleh menggugat keselamatan negara.
Pada masa sama, ATM dan pihak keselamatan lain akan bekerjasama dengan masyarakat untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran dinikmati pada masa sekarang akan terus dikecapi.
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah amat suka orang yang berperang untuk membela agamanya dalam barisan yang teratur rapi seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah as-Soff, ayat 4)
Transformasi dilalui ATM antaranya melalui kepimpinan berwibawa bagi menentukan perubahan yang berlaku menjana impak positif. Kepimpinan berwibawa dalam pengurusan akan dapat menentukan pencapaian yang tinggi dan sistematik.
Malah pendekatan kepimpinan yang berkesan akan mampu memberi kepuasan serta memperkasa semangat juang warga ATM untuk berkorban demi agama dan negara.
Sejarah Islam telah membuktikan, generasi terdahulu, walaupun daripada kumpulan minoriti, berjaya menghancurkan dua kuasa gergasi iaitu empayar Rom dan Parsi. Semua bertunjangkan kekuatan rohani atau spiritual melebihi dan mendasari persiapan fizikal serta teknologi.
Walaupun tentera Islam tidak punya kekuatan material yang menggerunkan berbanding musuh, namun di medan Badar tentera Islam beroleh kemenangan besar, lantaran mereka mempunyai kekuatan rohani sarat dengan iman dan takwa yang memangkin semangat juang tinggi kerana Allah.
Walau bagaimanapun, kita tidak boleh leka dengan suasana hari ini, malah hendaklah sentiasa bersedia menghadapi apa juga cabaran yang mungkin berlaku.
Cabaran sama ada berbentuk fizikal mahupun mental jika tidak dibendung boleh melemahkan dan menggoyahkan kredibiliti ATM.
Marilah kita bersama berganding bahu dengan ATM untuk memastikan negara selamat, sejahtera dan sentiasa di bawah keampunan Allah.
Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan