Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Jumaat, September 07, 2012

Khutbah Jumaat: Kasih sayang sesama ummah makin luntur


Hikmah manusia disarankan untuk saling berkenal-kenalan supaya lahir rasa kasih sayang sesama insan dan dapat mewujudkan suasana kehidupan harmoni. 

Inilah ditekankan Rasulullah SAW ketika peristiwa hijrah, Baginda menyatukan antara kaum Muhajirin dengan Ansar dan Bani ‘Aus dengan Khazraj. Inilah agama Islam yang luhur, tidak membezakan antara manusia, bahkan membentuk satu umat di bawah gagasan Islam. 
Persoalannya, sejauh manakah teguhnya hubungan persaudaraan sesama kita? Adakah kita termasuk dalam kalangan orang yang mencintai saudaranya lebih daripada dirinya sendiri? Pernahkah kita berasa sedih akan kesusahan ditanggung saudara kita? 

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang di antara kamu hinggalah dia mengasihi (mencintai) saudaranya lebih daripada dirinya sendiri.” 

Tiada penghayatan ukhuwah 

Walau bagaimanapun, mutakhir ini berlaku pelbagai peristiwa yang menunjukkan umat Islam semakin berpecah-belah, tidak bersatu, bersikap perkauman dan tidak berkasih sayang. Ini disebabkan tiada penghayatan terhadap ukhuwah fillah. 

Natijahnya, timbul masalah dan kesan buruk melingkari masyarakat Islam pada hari ini seperti sifat tercela iaitu ego, sombong dan pentingkan diri sendiri. 
Umat Islam juga menjadi semakin lemah dan rapuh. Keadaan ini berpunca daripada sikap hanya menjaga tepi kain sendiri. 

Kebanyakan mereka di bandar langsung tidak mengenali jiran. Bagaimana mungkin hubungan kasih sayang kerana Allah dapat dipupuk sesama mereka? Ingatlah bahawa walaupun kita berbeza pandangan dan ideologi, tetapi kita semua bersatu di bawah kalimah syahadah. 

Saban hari kita mendapat berita mengenai jenayah dan salah laku remaja seperti pecah rumah, pembunuhan, gejala rempit, bohsia, ponteng sekolah yang menyaksikan pembabitan umat Islam dalam masalah ini. 

Fikirkanlah, seandainya teguh hubungan kasih sayang sesama kita kerana Allah SWT, tidak mungkin kita sanggup membiarkan saudara kita terbabit dengan jenayah dan gejala sosial. 

Justeru, sehebat mana pun seseorang itu jika hidup bersendirian tanpa hubungan kasih sayang dengan orang lain, dia tidak akan dihormati bahkan kehidupannya tidak tenang dan aman. 

Pupuk, pulihkan hubungan persaudaraan 

Bagi menyelesaikan masalah itu, pupuk dan pulihkan kembali hubungan persaudaraan keluarga, sahabat, jiran tetangga dan masyarakat. 

Sebarkan salam apabila bertemu. Inilah yang akan mewujudkan satu hubungan persaudaraan baik, bermula dengan salam dan diakhiri juga dengan salam.

Tiada ulasan: