Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Jumaat, September 07, 2012

Perspektif IKIM: Inisiatif agama pulihara alam


Lihat di sekeliling kita, satu persatu masalah alam sekitar boleh dikenal pasti. Daripada masalah bersifat tempatan seperti banjir, tanah runtuh serta peningkatan jumlah sampah hinggalah kepada masalah merentasi sempadan seperti jerebu dan hujan asid.

Tidak ketinggalan masalah alam sekitar yang bersifat global seperti masalah penipisan ozon dan pemanasan global. Semua masalah ini pastinya menjanjikan kehidupan tidak enak bagi keseluruhan umat manusia. 
Oleh sebab kehidupan moden manusia dan masalah alam sekitar tidak mungkin dipisahkan, maka jalan penyelesaian kepada masalah ini amat diperlukan. Penyelesaian holistik termasuk aspek sosial, ekonomi, politik, sains dan teknologi adalah gabungan terbaik menyelesaikan masalah persekitaran. 



Adab manusia terhadap alam

Usaha menggabungkan agama dalam pemuliharaan alam sekitar juga wajar diteroka. Harapan kita cuma satu, supaya saluran agama dapat membantu menyentuh hati dan menjadikan manusia beradab terhadap alam ini.

Walaupun ia agak asing di Malaysia, namun usaha ini sudah menjadi kebiasaan pada peringkat antarabangsa. 

Contohnya, usaha Jawatankuasa Bantuan Kebuluran Oxford (Oxfam) bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan Muslim Aid yang membantu umat Islam di beberapa negara seperti Bangladesh, Bosnia, Kemboja, Gambia, Indonesia, India, Iraq, Jordan, Kenya, Lebanon, Pakistan, Somalia, Sri Lanka dan Sudan. 
Begitu juga usaha Aga Khan Development Network, kumpulan Muslim yang membantu masyarakat di negara membangun. Persekutuan Hidupan Liar Sedunia (WWF) yang telah sekian lama bekerjasama dengan pelbagai kumpulan agama dalam usaha pemuliharaan alam sekitar. 

Malah, Bank Dunia turut bekerjasama dengan komuniti agama untuk mengurangkan kemiskinan dan mempromosikan pemuliharaan alam sekitar di negara membangun.

Merujuk khusus kepada agama Islam, usaha menggabungkan agama dalam program pemuliharaan alam sekitar wajar dilakukan kerana, agama, komuniti serta negara Islam tidak terkecuali berhadapan pelbagai masalah alam sekitar. 

Sebahagian besar masyarakat Islam kini hidup di negara dikategorikan sebagai negara membangun dan miskin. Bagi negara Islam membangun, tekanan untuk membentuk kekayaan atau menjadi negara maju menyebabkan pembangunan menjadi keutamaan berbanding pemuliharaan alam sekitar. 

Bagi negara miskin pula, kemiskinan dan hutang negara menyebabkan berlakunya penghakisan sumber alam secara intensif demi untuk melunaskan hutang negara mahupun sekadar untuk memastikan kelangsungan hidup rakyatnya. 

Pada masa sama, kehidupan dan keyakinan beragama yang masih menjadi pegangan masyarakat Islam di seluruh dunia, mahupun Malaysia seharusnya menjadi satu motivasi yang kuat untuk menggabungkan agama dalam pemuliharaan alam sekitar.

Ketua agama sertai program kesedaran

Rasa yakin dan hormat kepada ketua agama pula memungkinkan individu ini menjadi ‘watak utama’ dalam usaha pemuliharaan alam sekitar. Di seluruh dunia, usaha membabitkan ketua agama dalam pelbagai program kesedaran bukanlah satu perkara baru. 

Di Pakistan dan beberapa negara Afrika, pembabitan ketua agama dalam program kesedaran HIV/AIDS dan kesihatan reproduktif menunjukkan tahap kejayaan membanggakan. Oleh itu, jika usaha ini boleh dilakukan kenapa tidak ia dilaksanakan dalam program pemuliharaan alam sekitar?

Di Malaysia, sudah ada usaha menggabungkan agama dalam pemuliharaan alam sekitar seperti dapat dilihat daripada usaha WWF Malaysia mengajak imam dalam rancangan pemuliharaan Penyu di Terengganu dan pemuliharaan harimau di Perak. 

Contoh lain, beberapa surau dan masjid di sekitar Selangor terbabit program kitar semula minyak masak untuk biodiesel. Namun usaha ini belum begitu menyeluruh. Oleh itu, perlu ada usaha meningkatkan kerjasama agama, ketua agama dan komuniti agama dalam program pemuliharaan alam sekitar. 

Pertubuhan bukan kerajaan Islam serta program dialog antara agama masa kini terlalu memberikan perhatian terhadap isu mempertahankan kepercayaan dan kedudukan agama. Isu alam sekitar kurang diberikan perhatian. 

Oleh itu, mungkin sudah tiba masanya hal ini diubah dan alam sekitar menjadi satu agenda penting dalam manifesto serta kegiatan pelbagai pertubuhan berasaskan Islam di negara ini. Lagipun, di Malaysia terdapat begitu banyak surau, masjid serta sekolah agama. 

Cuba bayangkan jika setiap satu institusi ini menjalankan aktiviti pemuliharaan alam sekitar, sudah pasti ini akan memberi kesan yang baik terhadap usaha pemuliharaan, pendidikan dan kesedaran alam sekitar.

Tiada ulasan: