Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Jumaat, Oktober 18, 2013

Orang berjiwa besar sentiasa berfikiran positif


Dalam jiwa tersemai sifat 'hilm', kawal marah, selalu bersangka baik

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ketua-ketua yang kafir daripada kaumnya berkata: Sesungguhnya kami (wahai Hud) nampakmu berada dalam kebodohan dan sesungguhnya kami fikir engkau adalah daripada orang yang berdusta. Nabi Hud menjawab: Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kebodohan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam. (Tugasku) menyampaikan kepada kamu akan perintah-perintah (yang diutuskan oleh) Tuhanku dan aku adalah pemberi nasihat yang amanah, bagi kamu.” (Surah al-A’raaf, ayat 66-68) 
Ayat ini menggambarkan pendustaan pembesar kaum ‘Aad terhadap dakwah yang disampaikan oleh Nabi Hud. Apa yang cukup menarik ialah al-Quran memaparkan kata-kata penghinaan diucapkan kaumnya namun ia tidak menyebabkan Nabi Hud hilang kawalan dan bertindak di luar kebiasaan. 

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila seorang hamba itu menyumpah seranah sesuatu, naiklah segala perkataannya itu ke langit lalu ditutup segala pintu langit kepadanya kemudian turun pula dia ke bumi maka ditutup juga pintu-pintunya kepadanya kemudian ia pergi ke kanan dan ke kiri. Jika tidak ada celah untuk pemergiannya barulah ia kembali kepada orang yang dihadapkan sumpah seranah itu kalau ia berhak menerimanya. Kalau tidak, ia kembali semula kepada orang yang mengucapkannya.” (Riwayat Abu Daud)

Sebaliknya, Baginda masih mampu memberikan hujah yang mantap dengan tenang. Ini kerana terdapat perbezaan yang jauh antara orang dipilih untuk menyampaikan risalah-Nya kerana dihiasi sifat mulia dengan kaum yang memperbodohkan diri mereka dengan menyembah batu dan kayu.

Rasulullah ajar sifat bertenang

Sifat bertenang dalam tekanan adalah satu kekuatan yang perlu ada pada setiap manusia melayari kehidupan apatah lagi dengan pelbagai cabaran perlu diharungi dewasa ini. Rasulullah SAW mengajar sahabat sifat bertenang dan mengawal diri dalam banyak perkara serta peristiwa. 

Pada satu hari, seorang Badwi berkata kepada Baginda yang sedang membahagikan harta rampasan perang supaya membahagikan dengan adil kerana pembahagian itu dibuat bukan kerana Allah! Tidaklah Rasulullah SAW menjawab selain daripada menjelaskan kepadanya apa yang lelaki itu tidak tahu dan menasihati serta mengingatkannya apa yang telah terlanjur daripada mulutnya dengan bersabda: “Malangnya engkau! Siapa lagi yang akan berlaku adil kalau tidak aku? Aku akan kecewa dan rugi kalau aku tidak berlaku adil.” (Riwayat Muslim) 
Tahap ketabahan manusia menghadapi kesusahan dan ujian dalam hidup adalah berbeza. Setengah orang cepat dipengaruhi emosi oleh perkara kecil sehinggakan melihat masalah kecil itu besar menggunung, seolah-olah tidak ada lagi jalan keluar di depannya.

Sebahagian manusia pula bersedia menanggung kesusahan hidup dengan fikiran yang waras. Seseorang yang berjiwa besar sentiasa berfikiran positif dan tertanam dalam jiwanya sifat ‘hilm’ iaitu sifat yang menjadikan seseorang itu tidak cepat marah dan mengambil keputusan buruk.

Orang seperti itu tidak keberatan memaafkan kesilapan orang terhadapnya dan selalu bersangka baik. Firman Allah SWT: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa; Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara baik.” (Surah Ali-Imran, ayat 133-134) 

Orang tidak bijak kawal diri

Orang yang tidak bijak mengawal diri sering kali melahirkan kata-kata kesat dan membuat tindakan tidak siuman. Pintu pun akan dimakinya jika lambat dibuka, apa yang ada di tangan akan dihempas dan kenderaan juga dihambur dengan kata-kata kesat jika ia rosak atau tidak dapat digunakan.

Pada suatu masa, seorang lelaki telah melaknat kain yang tersangkut di bahunya kerana diterbangkan angin. Lantas Rasulullah SAW menegurnya dengan sabda Baginda: “Jangan engkau laknatinya kerana ia hanya diperintah dan dipergunakan, barang siapa yang melaknat sesuatu yang tidak patut menerima laknat itu, maka laknat itu berbalik kepada dirinya sendiri.” (Riwayat Baihaqi) 

Rasulullah SAW berusaha menghapuskan dua bentuk sifat jahiliah. Pertama, kejahilan terhadap ilmu pengetahuan. Keduanya, kejahilan terhadap sifat ‘hilm’.

Adapun yang pertama itu dapat dihapuskan dengan munculnya ilmu pengetahuan dan petunjuk, manakala yang kedua caranya ialah dengan mengekang kerakusan hawa nafsu. 

Menjadi kemegahan orang Arab pada zaman jahiliah apabila menentang kebodohan dengan suatu kebodohan lebih besar. Islam datang mencegah kedua-kedua sifat amarah itu dan memperkenalkan tonggak masyarakat berasaskan kemuliaan budi, keadilan dan kewajipan yang perlu ditunaikan.

Matlamat ini tidak akan tercapai melainkan apabila akal dan pemikiran yang sejahtera dapat mengawal naluri kemarahan. Apabila kemarahan sukar diredakan oleh seseorang menyebabkan keadaannya sentiasa meronta dan merengus sambil lidahnya memaki serta melaknat.

Islam sama sekali tidak menerima bentuk kelakuan seperti itu kerana sumpah seranah diibaratkan seperti peluru sesat sangat berbahaya yang dilepaskan oleh nafsu amarah.

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila seorang hamba itu menyumpah seranah sesuatu, naiklah segala perkataannya itu ke langit lalu ditutup segala pintu langit kepadanya kemudian turun pula dia ke bumi maka ditutup juga pintu-pintunya kepadanya kemudian ia pergi ke kanan dan ke kiri. Jika tidak ada celah untuk pemergiannya barulah ia kembali kepada orang yang dihadapkan sumpah seranah itu kalau ia berhak menerimanya. Kalau tidak, ia kembali semula kepada orang yang mengucapkannya.” (Riwayat Abu Daud) 

Justeru, penawar kepada segala perbalahan dan pertikaian sama ada kecil atau besar ialah mengawal kemarahan dan bersedia memberi kemaafan daripada mengambil sikap membalas dendam atau bertindak balas.

Tiada ulasan: