Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Jumaat, November 30, 2012

Manfaat rancang harta


Memastikan kekayaan dibelanja di jalan dituntut agama

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Saidina Umar bahawa Rasulullah SAW telah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya setiap pekerjaan itu perlu wujud objektifnya (niat). Dan bagi seseorang akan mencapai objektif yang telah ditetapkan. 
Sekiranya dia berhijrah untuk tujuan Allah dan Rasul-Nya, maka dia akan mendapat keredaan Allah dan Rasul-Nya, atau hanya sekadar dunia, dia akan mendapat dunia atau hijrahnya untuk tujuan wanita, maka dia akan berkahwin dengannya. Maka hijrah seseorang itu, terhenti pada apa yang dia kehendaki itu.” Sahih Bukhari, Kitab Bada’ Al-Wahy Setiap orang Islam digalakkan untuk mencari harta kekayaan ketika hidup demi kepentingan dunia dan akhirat seperti firman Allah SWT bermaksud: “Dan apabila kamu selesai menunaikan sembahyang, maka bertebaranlah kamu di atas muka bumi Allah serta carilah rezeki kelebihan yang dikurniakan oleh Allah, tetapi pada masa yang sama ingatlah Allah banyak-banyak, semoga kamu berjaya (dunia dan akhirat)” (Surah Al-Jumuah Ayat 62: 10) 

Dan apabila kamu selesai menunaikan sembahyang, maka bertebaranlah kamu di atas muka bumi Allah serta carilah rezeki kelebihan yang dikurniakan oleh Allah, tetapi pada masa yang sama ingatlah Allah banyak-banyak, semoga kamu berjaya (dunia dan akhirat)" - Surah Al-Jumuah Ayat 62: 10


Tuntutan mengenai perkara mencari rezeki ini amat terang dan nyata. Bagi maksud itu maka setiap orang Islam perlu sedar bahawa harta kekayaan yang dimaksudkan amat luas, tetapi terletak kepada kita untuk memilih dan memiliki harta itu dengan cara yang halal. Perkara mengenai tatacara pencarian dan pemilikan harta ini juga telah dijelaskan agar setiap umat berjaya di dunia dan di akhirat. 

Berikut tujuh soalan yang boleh kita gunakan untuk menyemak kedudukan kita pada hari ini. 

7 soalan asas
1. Adakah anda sedar dan tahu apakah objektif utama seseorang itu mencari, mengumpul, menyimpan dan membelanjakan harta kekayaannya ketika di dunia?

2. Selepas mendapat harta kekayaan yang diimpikan bagaimana pula sistem pengurusannya? 

3. Sistem mana yang paling sesuai untuk semua harta kekayaannya? 

4. Apakah jenis pulangan yang kita kehendaki daripada semua harta kekayaan ini? 

5. Adakah kita mahukan pulangan jangka pendek atau pulangan jangka panjang atau pulangan yang berterusan? 

6. Bilakah kita mahu menikmati pulangan harta kekayaan ini? Di dunia atau di akhirat.

7. Sudahkah anda mempunyai perancangan untuk memastikan semua matlamat yang anda inginkan dapat dicapai?

Laksana untuk raih keredaan Allah SWT

Asas utama yang perlu diketahui bagi setiap perancangan harta kekayaan yang akan dibuat dan dilaksanakan adalah bagi mendapat keredaan Allah SWT. Ia menjadi asas dan objektif utama kepada setiap perancangan dan perbuatan dan perancangan harta kekayaan tidak terkecuali. Sukar atau senang di sinilah dugaan dan sesungguhnya sering berdepan dengan pelbagai masalah, tetapi demi mendapat keredaan ini, maka lakukan dengan taat dan tekun. Ini perlu menjadi matlamat utama agar kesungguhan dan keazaman ini akan memberi manfaat kepada orang yang ditinggalkan dan diri kita sendiri yang akhirnya akan bertemu Allah SWT. Apabila hasrat ini berjalan seiring dengan keimanan dan ketakwaan maka diharapkan agar setiap detik perjalanan ini mendapat keberkatan dan perlindungan semata-mata untuk mendapat keredaan Allah SWT jua. Ini juga antara bentuk kemenangan buat diri dan ahli keluarga. Kemenangan yang membawa maksud cukup besar kerana sekurang-kurangnya kita telah cuba melaksanakan perkara yang terbaik dan berdoa agar mendapat belas kasihan balasan pahala daripada Allah SWT baik ketika masih di dunia atau pun di akhirat kelak.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Infitar ayat 10 dan 11 bermaksud: “Padahal sesungguhnya, ada malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu, (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal kamu).”

Tidak dinafikan sepanjang pelaksanaan perancangan ini sering wujud jurang terutama dalam kalangan ahli keluarga sendiri yang kurang kefahaman mengenai kepentingan perancangan harta kekayaan. 

Tanggapan tak tepat

Juga timbul maklumat yang tidak jelas atau tanggapan tidak tepat yang menjurus kepada pandangan yang tidak sihat memungkinkan kepada penerimaan yang tidak menyeluruh kerana takut harta yang akan dimiliki menjadi sedikit atau beranggapan Pemilik harta tidak adil dan berat sebelah dalam membuat pembahagian kelak. Keadaan begini sepatutnya dijadikan satu perkara positif yang mana penerangan boleh dilakukan kepada ahli keluarga agar mendapat bukan hanya satu ilmu tambahan, tetapi meningkatkan penerimaan ke atas perancangan yang ingin dilakukan. 

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah Ayat 2: 155 bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.”

Pada masa sama, jangan pula kita sekali-kali menjadikan kewujudan jurang ini sebagai penyebab untuk membatalkan atau menangguhkan perancangan yang ingin dilakukan. Jadikan jurang ini sebagai hikmah dan jadikan sebagai sesi tazkirah dalam kalangan ahli keluarga sendiri dengan tujuan meningkatkan kefahaman mengapa perancangan harta amat penting dan manfaatnya kepada seluruh ahli keluarga terutama di akhirat kelak. 

Jika dipandang dari segi konteks hari ini, rata-rata manusia semakin sibuk dengan kehendak dan keperluan kehidupan dunia yang semakin canggih lagi mencabar baik sebagai majikan, pekerja, pemimpin, pelajar atau ketua keluarga. Orang Islam juga tidak terkecuali, namun demikian orang Islam perlu pandai untuk mengimbangi kehidupan dunia agar manfaat dapat dinikmati ketika di dunia dan di akhirat. Sekali lagi sebagai pemilik harta dan juga ketua keluarga, maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan agar manfaat yang ingin dicapai tidak terhad ketika kita masih hidup, tetapi juga berterusan apabila kita telah meninggal dunia. 

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (seperti yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang yang fasik.” (Surah Al Imran Ayat 3 : 110)

Ingatlah, peluang untuk menentukan ini hanya akan wujud sekiranya kita sedar dan insaf akan tuntutan ini kerana jika dikehendaki sebaliknya oleh Allah SWT, maka tidak akan terbit hidayah berkenaan. Jadi sentiasa kita memperbanyakkan doa agar kita tergolong dalam golongan yang mendapat hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT. Begitu juga dengan peluang untuk memanjangkan ilmu dan seterusnya menyemai dan menjadikan budaya perancangan harta kekayaan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh keluarga dan kerabat handai. Sekali lagi yang perlu diingat bahawa peningkatan kefahaman dalam kalangan ahli keluarga sendiri akan memberi manfaat kepada kesinambungan keturunan pada masa akan datang.

Bukan itu saja, manfaat paling penting dalam hal ini adalah dengan adanya ilmu, maka kita telah dapat menghindarkan dan menghalang ahli keluarga daripada melakukan perkara yang dilarang atau bertentangan dengan kehendak syarak terutama perkara yang membabitkan kezaliman dalam kalangan ahli waris yang berhak. 

“Takutilah (jauhilah) kezaliman kerana sesungguhnya kezaliman itu adalah kegelapan di hari kiamat dan takutilah (jauhilah) perangai bakhil kerana bakhil itu telah membinasakan orang yang dulu daripada kamu iaitu membawa mereka melakukan pertumpahan darah sesama mereka dan menghalalkan perkara yang diharamkan kepada mereka.”

Guna harta ke jalan yang dituntut

Kehidupan di dunia hanya sementara dan destinasi terakhir adalah di akhirat juga. Jikalau hidup di dunia dipenuhi dengan harta kekayaan dan kesenangan, tetapi tidak menggunakan harta kekayaan ini ke jalan yang dituntut, maka apakah yang akan tinggal di akhirat kelak hanya kerugian. 

Jika anda berminat atau bermasalah boleh kunjungi mana-mana 19 cawangan AmanahRaya di seluruh negara. Semua pegawai AmanahRaya di mana-mana cawangan akan sentiasa bersedia untuk memberi penerangan atau taklimat secara percuma baik secara individu atau pun berkumpulan. Pegawai AmanahRaya dapat memberikan khidmat perancangan setempat dengan memberi keutamaan hasrat Pemilik harta dan akan memastikan keperluan dan kehendak dapat dilaksanakan. Oleh itu, gunakan khidmat ditawarkan oleh AmanahRaya. Pilih AmanahRaya sebagai penggerak utama bagi memastikan hasrat anda untuk memiliki perancangan harta kekayaan dapat dilaksanakan. Adalah menjadi misi AmanahRaya untuk memastikan setiap umat Islam di negara ini juga memiliki perancangan terancang dapat dipenuhi

Tiada ulasan: