Isteri adalah amanah Allah kepada suami, begitu juga sebaliknya. Apabila disebut sebagai amanah bermakna ia bakal ditanya dan disoal di akhirat kelak. Mengikut Imam al-Ghazali perkara yang paling berat untuk dilaksanakan adalah amanah.
Sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, “Takutlah kepada Allah, di dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang ada di sampingmu, barang siapa tidak memerintahkan supaya isterinya mengerjakan solat, dan mengerjakan agama kepadanya, maka ia khianat kepada Allah dan Rasul-Nya.”
Penulis berkesempatan mengikuti perbicaraan kes di Mahkamah Rendah Syariah di sebuah daerah di utara tanah air baru-baru ini. Agak memeranjatkan apabila realitinya masih banyak kes membabitkan keganasan dalam rumah tangga terutama kes suami memukul isteri sehingga mendatangkan kecederaan serius berlaku.
Akhirnya isteri memohon fasakh dan lebih menyedihkan lagi jika pasangan mempunyai anak, maka zuriat menjadi mangsa. Fenomena ini berlaku disebabkan si suami tidak merasai bahawa isteri yang dinikahinya itu adalah amanah Allah SWT untuk menjaganya.
Rasulullah berpesan yang bermaksud: “Sesungguhnya apabila seorang suami menatap isterinya dan isterinya membalas pandangan (dengan penuh rasa kasih sayang), maka Allah menatap mereka dengan pandangan kasih mesra dan jika suami membelai tangan isterinya, maka dosa mereka jatuh berguguran disela-sela jari tangan mereka.” (Hadis riwayat Abu Sa’id)
Betapa hebatnya ganjaran Allah buat suami isteri yang menghiasi rumah tangga yang dibina dengan mawaddah dan rahmah.
Sabda Baginda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak mempunyai budi pekerti.”
Garis panduan tangani isteri nusyuz
Islam meletakkan garis panduan jelas bagi suami dalam menangani masalah isteri nusyuz atau derhaka. Namun tindakan mencederakan isteri dengan alasan isteri derhaka tidak dibenarkan oleh syarak. Apatah lagi kekasaran itu dilakukan disebabkan ketidakpuasan hati terhadap isteri atas perkara kecil. Rasulullah SAW menasihatkan suami yang memukul isterinya dengan sabda:
“Janganlah salah seorang dari kamu dengan sengaja memukul isterinya seperti memukul hamba kerana pada akhirnya kamu akan menidurinya juga.”
Jadikan kisah yang berlaku kepada Saidina Umar al-Khattab sebagai panduan. Diriwayatkan bahawa seorang lelaki pergi ke rumah Umar untuk mengadu perihal isterinya. Maka dia berhenti di hadapan pintu rumah Umar sambil menunggu beliau keluar.
Ketika itu lelaki itu terdengar isteri Umar meleteri beliau dan khalifah itu hanya berdiam saja. Melihat yang demikian, lelaki itu terus pulang ke rumahnya sambil berkata sendirian: “Jika itu tindakan Umar terhadap isterinya sedangkan umum mengetahui sikap Umar yang garang dan tegas, maka siapalah aku ini.”
Akan tetapi Umar ternampak lelaki ini melewati hadapan rumahnya dan lantas memanggil lelaki itu bertanyakan tujuan dia datang mencarinya.
Lelaki itu berkata:“ Wahai Amirul Mukminin aku datang ke rumahmu untuk mengadu perihal isteriku yang suka meleteriku, akan tetapi aku terdengar isterimu juga meleterimu, sedangkan engkau seorang Amirul Mukminin.”
Maka Umar menjawab: “Wahai saudaraku, aku berdiam ketika isteriku meleteriku kerana isteriku sudah menunaikan segala haknya ke atasku, dia yang memasak untukku, membuat roti untukku, membasuh segala bajuku dan menyusukan semua anak-anakku, sedangkan semua itu bukanlah perkara yang wajib dilakukannya. Apabila aku ingat kembali semuanya itu aku tidak memarahinya kerana berleter.
Berkata lelaki itu: “Begitu jugalah perihal isteriku”. Jawab Umar: “Ingatlah segala jasanya padamu, sesungguhnya keadaan itu hanyalah sementara.”
Isteri sebagai teman
Ringkasnya, wahai suami, marilah kita contohi Baginda Nabi Muhammad SAW, Umar dan sahabat lain dalam mengemudi rumah tangga. Jadikanlah isteri sebagai teman. Jika suami impikan isteri solehah sudah pasti kita sendiri perlu berusaha menjadi seorang suami soleh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan