Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Jumaat, Ogos 31, 2012

Pesanan Rasulullah pedoman hidup


Rasulullah SAW begitu prihatin dan sayang kepada kita dan bukti kecintaan Baginda disalurkan melalui pelbagai pesanan serta peringatan buat menjalani kehidupan supaya tidak tergelincir ke kancah hina yang dimurkai Allah. 

Dalam keghairahan dan keasyikan kita menyusuri arus kehidupan, banyak kali kita lupa mengingati pesanan Baginda lalu kita menjadi insan yang cuai, lalai dihanyut keseronokan mengejar nikmat dunia. 
Satu pesanan berharga ditinggalkan oleh Rasulullah SAW: “Takutilah apa-apa yang haram, nescaya engkau orang yang paling banyak menunjukkan ibadahnya di antara manusia. Reda dan tidak mengeluh terhadap apa yang telah dikurniakan oleh Allah, nescaya engkau menjadi orang yang terkaya di kalangan manusia. Bersikap baiklah kepada tetanggamu, nescaya engkau menjadi seorang mukmin. Sayangilah manusia seolah-olah kamu menyayangi diri kamu sendiri, nescaya kamu menjadi seorang Muslim. Jangan banyak ketawa di dalam kehidupanmu, kerana orang banyak ketawa itu, hatinya akan mati.” (Riwayat Imam Ahmad) 


Inilah lima kriteria piawaian Rasulullah SAW untuk memperoleh kehidupan dunia yang berkat dan ganjaran besar di akhirat. 

Pertama, sentiasa berwaspada dengan segala yang diharamkan ke atas kita. Pesanan Baginda itu sangat penting untuk diingati dalam setiap kerja. Jika kita mengabaikan pesanan ini, akan terjebak dalam perbuatan haram. 

Berpandukan nasihat Rasulullah SAW, seorang pemimpin tidak tergamak melakukan rasuah atau apa saja yang bertentangan dengan kehendak agama. Tentu dia tidak mahu menggolongkan dirinya sebagai orang yang ingkar nasihat Rasulullah SAW. 
Jika dia seorang pekerja bawahan, sudah pasti hatinya tertutup rapat untuk cuai dan mengabaikan tanggungjawab diamanahkan kerana sikap sedemikian akan menjadikan sumber pendapatannya haram. 

Kedua, sentiasa reda dengan apa yang dikurniakan Allah. Penting menanamkan sikap reda dan bersyukur kerana tanpa sikap reda, hati didatangi nilai tamak dan berhasad dengki sesama sendiri. Banyak insiden perbalahan berpunca dari tiada rasa reda terhadap pemberian nikmat Allah. 

Rasulullah juga menyarankan supaya menjauhi sikap suka mengeluh terhadap nasib yang menimpa. Kita sebagai mukmin wajar memantapkan diri dengan kekukuhan iman dan takwa yang tinggi. Usaha memperbaiki kualiti nasib diri seharusnya dilaksanakan dengan tekun untuk memperkembangkan potensi diri. 

Berbekalkan tawakal dan doa yang sentiasa diamalkan, sudah pasti apa yang dicita-citakan akan tercapai sekali gus mampu mempertingkat keupayaan mengecapi nikmat dunia. 

Rasulullah SAW juga berpesan supaya menjalani kehidupan berjiran dalam suasana baik dan harmoni. Ingatlah, Abu Hurairah ada memberitahu, Rasulullah SAW berpesan memelihara perhubungan dengan jiran tetangga. 

Kata Baginda: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah berkata-kata yang baik atau diam saja. Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah memuliakan tetangganya. Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah memuliakan tetamunya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Fenomena tidak mengenali jiran tetangga, apatah lagi seandainya berlaku konflik dan krisis dengan jiran, bukan amalan bersosial dalam Islam. Agama menegah perbuatan itu kerana ia tidak akan membuahkan ikatan ukhuwah sebaliknya menimbulkan suasana keruh sesama sendiri. 

Renunglah pula piawai hidup bersosial keempat yang dipesan Rasulullah SAW supaya saling menyayangi sesama sendiri dan memantapkan nilai kasih sayang kepada saudara seagama seperti kita menyayangi diri sendiri. 

Baginda mengatakan kualiti iman seseorang itu belum utuh seandainya dia tidak mencintai saudaranya. “Belum sempurna iman seseorang di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia menyayangi dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Selain peringatan itu sekurang-kurang terdapat tujuh lagi peringatan serupa berkenaan etika hidup berjiran yang ditinggalkan Rasulullah SAW membuktikan pentingnya hidup berjiran dengan gaya sosial, harmoni dan tenteram. 

Suatu ketika, Rasulullah SAW memberi amaran kepada para sahabatnya: “Bukan mukmin yang sebenar, orang yang kenyang perutnya sedangkan jiran sebelahnya dalam kelaparan.” (Riwayat Bukhari at Tabrani) 

Lihatlah betapa bersungguh-sungguh Rasulullah SAW berpesan berkenaan kaedah hidup berjiran supaya dipelihara dengan baik. Jadi, kita kena ambil sikap beringat terhadap apa dipesankan oleh Rasulullah SAW supaya kehidupan di dunia dan akhirat selamat. 

Pesanan kelima ialah supaya kita mengelakkan gelak tawa secara keterlaluan. Memanglah sukar untuk menghindari ketawa kerana ia sudah lumrah manusia khususnya semasa hati berasa senang dan gembira. 

Namun, ketawa dalam skala berlebihan sangat ditegah sehingga Rasulullah SAW memberitahu sikap itu akan mematikan hati.

Tiada ulasan: