Strategi Perancangan Harta Bersepadu kaedah terbaik pemilik, waris
Pada hari nilai harta semakin meningkat dan jumlah harta dikumpul juga banyak, bagaimana pula kerja membabitkan amal serta sedekah jariah. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk mengetahui dan memastikan harta kekayaan serta kemewahan dimiliki dapat dinikmati di dunia dan akhirat.
Jangan harta kekayaan ini menjadikan kita lalai tanggungjawab kehidupan akhirat. Peringatan demi peringatan diberikan al-Quran dan hadis mengenai tanggungjawab serta amanah kepada semua umatnya.
Sementara masih hidup, guna dan pastikan harta kekayaan dimanfaatkan sepenuhnya untuk dunia dan akhirat.
Firman Allah SWT: “Kemudian selepas selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat).” (Surah al-Jumu’ah, ayat 10)
Rancang kehidupan elak permasalahan
Jangan kita sekali-kali membiarkan kehidupan tidak diurus dan dirancang dengan baik kerana ia akan menjadi penyebab kepada permasalahan pada masa depan. Kegagalan membuat perancangan berupaya mendedah, memungkinkan kerugian dan kebinasaan hidup yang nyata.
Itu sebabnya mengapa orang tua-tua sering berkata, “Ikut hati mati, ikut rasa binasa”. Jika kita boleh berasakan kehebatan kehidupan dunia dengan harta kekayaan yang ada, maka bayangkan bagaimana pula dengan kehebatan kehidupan di akhirat yang tiada tandingannya.
Oleh itu, tidak kira pada zaman mana kita hidup dan apa juga arus perubahan melanda, satu perkara penting dituntut bagi setiap orang Islam iaitu mencari rezeki dengan cara halal serta keperluan mengetahui kepentingan mengimbangi kehidupan di dunia dan akhirat berlandaskan agama.
Tak abai tuntutan agama
Janganlah kita hanya mahu berkiblatkan harta kekayaan hingga terlupa tuntutan dan keperluan agama. Tidak juga kita dituntut mengabadikan diri untuk kehidupan akhirat semata-mata sehingga terlupa tanggungjawab di dunia ini.
Firman Allah SWT: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya, oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana saja kamu berada, maka Allah tetap akan membawa kamu sekalian (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan), sesungguhnya Allah amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)
Ini adalah lumrah dunia dulu dan sekarang, yang mana banyak iktibar boleh dilihat serta dipelajari daripada kelemahan dan kelalaian manusia mengakibatkan kerugian yang nyata baik di dunia mahu pun akhirat.
Semuanya boleh berlaku kerana bisikan syaitan dan tekanan kepada kehidupan dunia terlalu penting walaupun sering diingatkan balasan akibat kelalaian. Apa yang diharapkan satu hari nanti kita sedar dan kembali ke pangkal jalan.
Apa yang pasti, syaitan akan sentiasa berusaha tanpa jemu untuk menggagalkan segala usaha kebaikan ingin dilakukan antaranya adalah berlaku amanah. Jadi ingatkan seluruh ahli keluarga dan waris kelicikan syaitan mengatur strategi memastikan Islam terjebak bersamanya.
Sempena Ramadan penuh berkat, diharapkan kita akan terus mendapat hidayah bagi mendapatkan ganjaran pahala di samping kehidupan diredai Allah SWT. Sama-sama kita renung dan fikirkan di mana kita pada tahap ini?
Kerja amal, sedekah jariah
Ramai sedia maklum segala harta kekayaan serta kemewahan akan ditinggalkan apabila berlaku kematian, tetapi ramai juga yang masih tidak sedar harta tidak akan membawa apa-apa kebaikan jika tiada inisiatif dilakukan untuk kerja amal dan sedekah jariah.
Firman Allah SWT: “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan