NASIHAT memiliki kedudukan istimewa dalam Islam kerana memberi nasihat dapat memantapkan jalinan persaudaraan sesama umat Islam. Justeru, apabila nasihat yang disampaikan seorang Muslim semata-mata kerana Allah, ia akan wujud sebagai pengikat kasih sayang sesama saudaranya.
Oleh itu, Rasulullah SAW menjadikan nasihat sebagai tiang agama, sekali gus kayu pengukur dalam melaksanakan ajaran Islam.
Oleh itu, Rasulullah SAW menjadikan nasihat sebagai tiang agama, sekali gus kayu pengukur dalam melaksanakan ajaran Islam.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Maka sahabat pun bertanya: Kepada siapa? Jawab Baginda: Kepada Allah, kepada Kitab-Nya, kepada Rasul-Nya, kepada pemimpin kaum Muslimin dan juga kepada orang awam Muslimin.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Memberi nasihat termasuk sifat para nabi. Oleh itu, nabi dan rasul tidak pernah bosan memberi nasihat kepada kaumnya supaya beriman kepada Allah SWT. Para nabi dan rasul telah menunjukkan contoh teladan terbaik dalam menyampaikan nasihat kepada umatnya.Adab nasihat ini perlu dihayati dan direnung supaya nasihat yang disampaikan itu mencapai matlamat dikehendaki Islam. Pertama, niat yang tulus ikhlas hanya kerana Allah SWT dan mengharapkan reda serta ganjaran akhirat.
Kedua, nasihat yang berdasarkan ilmu dan ketiga, menghiaskan diri dengan akhlak yang lemah lembut. Pemberi nasihat wajib memiliki akhlak lemah lembut dan bersopan santun dalam menyampaikan nasihat.
Hal ini diperintahkan Allah SWT kepada Nabi Musa dan Harun saat berdakwah kepada Firaun. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.” (Surah Taha, ayat 43-44)
Keempat, memilih kaedah yang sesuai dan tepat kerana kaedah memberi nasihat adalah berbeza-beza sesuai dengan situasi, keadaan serta keperibadian seseorang. Dalam banyak keadaan, manusia memerlukan nasihat melalui teladan daripada tokoh yang disegani.
Kelima, nasihat yang diberi tidak bertujuan mencela atau menyebarkan keburukan orang lain. Islam melarang perbuatan keji yang berpunca daripada lidah seperti mengumpat dan mengutuk.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Bukanlah seseorang mukmin itu yang menjadi pencaci, pelaknat, bukan yang suka berkata kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina.” (Hadis riwayat Bazzar dan Hakim)
Keenam, nasihat meliputi urusan dunia dan akhirat supaya yang benar dan hak dapat dijunjung tinggi bersama dan yang salah pula sama-sama dijauhi. Demikianlah hidup bermasyarakat yang menyerlahkan Islam agama nasihat dan seluruh ruang lingkup Islam adalah nasihat.
Akhirnya, yang ketujuh si pemberi nasihat wajib bersabar apabila orang yang dinasihati tidak bersedia menerima nasihatnya. Begitulah asam garam perjuangan dakwah yang menyaksikan ada insan menerima dan ada pula yang menentang.
Justeru, kesabaran dan istiqamah dalam perjuangan penting dalam menyampaikan nasihat Islam kepada ummah sejagat. Namun, nasihat paling utama adalah nasihat untuk diri sendiri sebelum menasihati orang lain.
Jika tidak, dia hanya menipu dirinya sendiri, dan juga dia tidak boleh diharapkan dapat menasihati orang lain. Allah SWT mencela orang-orang yang memerintahkan kebaikan kepada orang lain, namun dia sendiri tidak melaksanakannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah al-Saff, ayat 2-3)
Nasihat yang disampaikan dengan tulus ikhlas akan memberi kesan besar terhadap seseorang dan mendorongnya melaksanakan nasihat diterima. Natijahnya, nasihat itu akan menjadi peringatan ke arah kebenaran dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan