Rasulullah SAW sebagai pemimpin umat dan ketua negara memberi penekanan khusus membimbing belia dengan cara menggesa mereka berakhlak mulia, taat beribadah kepada Allah, taat kepada pemimpin dan mencintai negara.
Membina semangat patriotisme ini, berkait rapat dengan jati diri, perasaan kasih, kesetiaan rakyat terhadap negara serta pemimpin secara menyeluruh. Berasaskan dalil al-Quran dan hadis, ulama sepakat mengatakan taat kepada pemerintah fardu kepada setiap Muslim, manakala menderhaka adalah satu dosa besar.
Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya: “Tiga golongan Allah SWT tidak menegurnya pada hari kiamat, tidak melihat kepada mereka, tidak membersih dosa mereka dan mereka menerima azab yang pedih, seorang yang mengaku setia kepada pemerintah, ia berbuat demikian kerana keduniaan, jika diberi ia tunaikan kesetiaannya tetapi jika tidak diberi, ia menderhaka.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Golongan belia penting dalam membawa perubahan daripada negatif kepada positif, lemah kepada kuat, mundur kepada maju dan terbaik kepada cemerlang.
Tokoh ulama semasa yang berpengaruh, Syeikh Yusof Al-Qaradhawi berkata: “Apabila kita hendak melihat wajah sesebuah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Jika golongan muda hari ini adalah daripada kalangan berakhlak, tentunya sesebuah negara itu akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur, tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.”
Kebangkitan golongan belia akhir-akhir ini amat menggembirakan namun ada juga kes yang mana idealisme kebebasan dan hak diperjuangkan mereka perlu diberi arah tujuan selaras prinsip Islam.
Kegelojohan menyuarakan pandangan dan memperjuangkan hak menyebabkan ada segelintir mereka terjebak aktiviti ekstrim, demonstrasi jalanan, melakukan kekacauan dan huru-hara.
Golongan belia sebenarnya mempunyai idealisme tetapi pada masa sama masih mentah pengalaman hidup dan terbawa-bawa dengan jiwa muda bergelora. Ingatlah, Islam telah menetapkan setiap insan tidak memiliki kebebasan hakiki, bahkan setiap tindak-tanduknya dibimbing oleh prinsip dan peraturan ditetapkan syarak yang bersumberkan wahyu Allah SWT.
Manusia yang baik menurut pandangan Islam ialah orang yang hidup menggunakan sepenuhnya potensi diri untuk memajukan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Generasi belia patriotik inilah yang menjadi cita-cita negara untuk membentuk tamadun Islam dihormati dan disegani masyarakat dunia.
Firman Allah yang bermaksud: “Ingatkanlah ketika serombongan orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! kurniakanlah kami rahmat dari sisimu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.” (Surah Al-Kahfi, ayat 10)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan