Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Jumaat, Mac 23, 2012

Iman rapuh, hasutan iblis dorong lakukan pembunuhan


Kawal emosi elak terjerumus ke lembah kehinaan

GERUN, takut dan rasa marah yang amat sangat apabila kita menatap paparan laporan media saban hari mengenai pembunuhan insan tidak berdosa. seolah-olah nyawa manusia begitu murah.
Sejarah pembunuhan berlaku sejak kewujudan manusia di muka bumi apabila Qabil bertindak membunuh saudaranya, Habil kerana iri hati. Sejak itu, satu persatu insiden pembunuhan menempa manusia seolah-olah membawa karakter buruk Qabil dalam kehidupan.
Allah berfirman, “Orang beriman dan beramal salih kelak Allah yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih sayang.” (Maksud Surah Maryam ayat 96).
Kini, masih ramai manusia mewarisi sikap Qabil hingga tergamak membunuh bagi mencapai sesuatu yang dihajati atau melepaskan dendam kesumat di hati. Malah lebih tragis lagi, manusia masa kini dikatakan berfikiran bijaksana, berintelektual tinggi dan berteknologi canggih, masih terdapat yang mengetepikan nilai kemanusiaan, sebaliknya termakan hasutan syaitan dan usapan nafsu sehingga menggunakan pelbagai kaedah amat kejam ke atas mangsa. 

Akibat tidak berpegang kepada nilai agama yang kukuh, pastinya memudahkan syaitan dan nafsu menjerumuskan kita ke arah yang terpesong daripada acuan agama.

Membunuh adalah dosa besar yang seharusnya dijauhi oleh setiap mukmin yang mengaku beriman dan bertakwa. Perlu kita ingat bahawa membunuh seseorang dengan sengaja, baik atas alasan iri hati, dendam kesumat atau apa saja tanpa alas an yang dibenarkan agama termasuk dalam golongan orang melakukan dosa besar.

Allah amat benci dan melaknat mereka yang terbabit membunuh insan lain dan mengancam dengan azab seksa maha pedih di akhirat kelak. Ini seperti mana kata Allah, “Dan barang siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan mengutuknya serta menyediakan azab besar baginya.” (Maksud Surah An-Nisa’ ayat 93). 
Sebenarnya orang sanggup membunuh orang lain tanpa hak adalah golongan yang tidak memiliki nilai keimanan dan berjiwa rapuh. Walhal, dalam Islam, nilai kasih sayang dan mencintai antara satu sama lain dijadikan tonggak dalam kehidupan bermasyarakat dalam satu ikatan ummah yang utuh berpadu. 

Seharusnya kita sebagai umat Muhammad SAW menyerapkan amalan silaturahim yang kukuh kerana inilah saja jalur kehidupan yang dituntut ke atas kita. Amalan itu seandainya kita padukan sungguh-sungguh dalam kehidupan akan memberikan kesan sangat positif ke arah mewujudkan satu ummah aman dan sejahtera lagi dirahmati Allah.

Telitilah dengan fahaman dan penghayatan sebenar makna Asmaul Husna, Allah Ya Rahman Ya Rahim seandainya diterapkan dengan penuh sedar boleh menjadi ubat ajaib dalam membina perpaduan yang erat sesama ummah. 

Ingatlah bahawa Allah menyatakan, “Orang beriman dan beramal salih kelak Allah yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih sayang.” (Maksud Surah Maryam ayat 96).

Orang yang beriman dan bertakwa sebenar sangat menekankan hubungan baik sesama mukmin dengan memperkasakan nilai sahsiah mahmudah setiap masa dalam kehidupan.

Pada prinsipnya Islam masih membenarkan pembunuhan, tetapi bagi situasi yang diharuskan seperti dalam peperangan. Itupun masih tertakluk kepada etika juga. Dalam peperangan, Islam melarang keras membunuh dan menganiaya wanita, orang tua yang uzur dan kanak-kanak. 

Ini selalu dipesan oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh sahabat Baginda. Demikianlah keindahan Islam yang menjaga maruah manusia.

Dalam Islam, orang membunuh tanpa hak secara hukum syarak dikenakan hukuman qisas, iaitu balasan bunuh ke atas pelakunya. Allah mengatakan, “Wahai orang yang beriman, diperlukan atas kamu qisas dalam pembunuhan, merdeka dengan merdeka, sahaya dengan sahaya, perempuan dengan perempuan. 

“Barang siapa mendapat maaf daripada saudaranya, maka hendaklah dia mengikut secara baik dan membayar (diyat) kepada saudaranya itu dengan baik. Demikian itu satu keringanan daripada Tuhanmu dan rahmat-Nya. Barang siapa yang bertindak zalim, sesudah itu, maka untuknya seksaan yang pedih.” (Maksud Surah al-Baqarah ayat 178)

Dalam satu kenyataan, Rasulullah SAW menyebut kafir bagi pembunuh sebagaimana kata Baginda, “Janganlah kamu menjadi kafir sepeninggalanku dengan cara kamu membunuh sebahagian yang lain.” (Hadis Muttafaq ‘Alaihi). Ini membayangkan bahawa kesalahan membunuh manusia tanpa hak yang diharuskan agama satu dosa besar yang nyata. 

Malah pada satu ketika yang lain Rasulullah SAW meletakkan kedudukan membunuh itu dosa besar kedua terburuk selepas perbuatan menyekutukan Allah. Kata Rasulullah SAW, “Di antara dosa paling besar adalah menyekutukan Allah, membunuh orang lain dan bersumpah palsu.” (Hadis Muttafaq ‘Alaihi)

Begitulah bersungguhnya Rasulullah SAW melarang kita daripada terjebak dalam kesalahan membunuh sehingga perkataan ‘kafir’ diguna pakai dalam pernyataan hadis Baginda itu tadi. Ini seharusnya memberi isyarat bermakna buat kita agar berusaha keras mengawal diri dan emosi supaya syaitan dan nafsu liat tidak berjaya memerangkap kita ke lembah yang hina itu.

Tiada ulasan: