Gejala menyebabkan masalah sosial dalam masyarakat wajar ditangani semua pihak
BERSEMPENA sambutan Hari Anti-Dadah Peringkat Kebangsaan pada 26 Februari 2012, mimbar ingin mengingatkan kepada jemaah sekalian bahawa dadah adalah punca utama berlaku jenayah dan menjadi ancaman kepada kesejahteraan masyarakat dan negara. Menurut sumber yang diambil daripada Agensi Anti-Dadah Kebangsaan, bagi Januari hingga Oktober 2011 secara purata terdapat 616 orang penagih baru dikesan dalam masa sebulan.
BERSEMPENA sambutan Hari Anti-Dadah Peringkat Kebangsaan pada 26 Februari 2012, mimbar ingin mengingatkan kepada jemaah sekalian bahawa dadah adalah punca utama berlaku jenayah dan menjadi ancaman kepada kesejahteraan masyarakat dan negara. Menurut sumber yang diambil daripada Agensi Anti-Dadah Kebangsaan, bagi Januari hingga Oktober 2011 secara purata terdapat 616 orang penagih baru dikesan dalam masa sebulan.
Sesungguhnya dalam jasad manusia ada segumpal darah, Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya, Ingatlah! Itulah hati. (Hadith Muttafaqun 'Alaih)
Berdasarkan Muzakarah Fatwa kali ke-3 pada 13-14 April 1982 dan kali ke-76 pada 21- 23 November 2006, memutuskan sebarang penyalahgunaan dadah termasuk dadah jenis baru seperti ecstasy dan ketamine, hukumnya adalah haram. Mimbar ingin mengingatkan bahawa kerosakan yang dibawa oleh gejala dadah sangatlah besar. Sedarlah, bukan hidup penagih saja yang terjejas. Bukan setakat kesihatan, kewangan si penagih, tetapi yang paling malang gejala ini akan menghilangkan kewarasan, menghilangkan ketawa riang anak-anak dan isteri serta akan di warnai dengan tangisan yang berpanjangan. Kerosakan akibat dadah tidak terhad hanya pada seseorang individu yang menjadi penagih saja, tetapi kerosakan ini akan dirasai ahli keluarga dan siapa yang menyayanginya. Akan ranap harapan ibu bapa, akan musnah impian saudara -mara dan akan hancur masa depan anak-anak dan isteri di bawah tanggungannya malahan akan memusnahkan sesebuah bangsa dan negara.
Pada prinsipnya mereka yang terbabit dengan dadah adalah satu jenayah dan perbuatan berdosa besar kerana telah merosakkan nama baiknya dan menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat. Perbuatan ini sebenarnya semakin menjauhkan diri seseorang daripada Allah SWT. Kadangkala dengan hanya satu perbuatan jenayah saja boleh menghancurkan nilai kehidupan dan menyebabkan kerugian sepanjang hayat di dunia dan akhirat. Oleh itu, usaha membanteras, memerangi jenayah dan perbuatan berdosa tidak boleh dibuat berdasarkan kes-kes terhad atau oleh agensi tertentu tetapi perlu dibuat secara menyeluruh di seluruh negara selari dengan kehendak syariat Allah. Maka amat wajar sekali mimbar menyeru seluruh umat Islam, ibu bapa dan anggota masyarakat berusaha dengan ikhlas memerangi punca segala jenayah. Mimbar mengingatkan bahawa pencemaran jiwa dan hilang kewarasan akal telah menggugat seseorang hamba itu dalam usaha memerangi jenayah dan kemungkaran.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir bermaksud: “Ingat! Sesungguhnya dalam jasad manusia ada segumpal darah, Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya, Ingatlah! Itulah hati.” (Hadith Muttafaqun ‘Alaih)
Berdasarkan hadis ini, jelas jiwa yang tercemar telah menyesatkan dan memalingkan hati manusia menjauhi Allah SWT. Satu lagi perkara yang saling kait mengait dengan hati yang menjadi penghalang usaha ini ialah hawa nafsu. Firman Allah dalam surah Saad, ayat 26 bermaksud: “Wahai Daud, sesungguhnya kami telah jadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan benar; dan janganlah kamu menurut nafsumu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan jalan Allah itu.”
Mimbar ingin mengingatkan kepada penegak jenayah dan pengamal dosa besar, jangan berseronok dengan perbuatan keji dan bergembira dengan kemungkaran. Setiap perbuatan keji itu ada pembalasan yang setimpal dengannya sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Di samping itu, mereka juga akan menghadapi kesan buruk sewaktu menghadapi saat kematian atau sakaratulmaut. Firman Allah dalam surah al-Waaqi’ah, ayat 88-89 bermaksud: “Kesudahannya jika ia (yang mati itu) daripada orang Muqarrabiin. Maka (ia akan beroleh) rehat kesenangan, dan rahmat kesegaran, serta syurga kenikmatan.”
Mereka yang dipermudah dan disenangkan ketika menghadapi sakaratulmaut ialah mereka yang beriman dan beramal kebajikan secara ikhlas. Allah SWT mengutus berpuluh-puluh malaikat rahmat untuk menghibur hatinya ketika menghembuskan nafas terakhir, berpisah meninggalkan anak isteri dan keluarganya sehingga dia menghadapi mati dengan tenang, mudah, bahagia dan gembira. Manakala bagi mereka yang terbabit dengan dosa besar dan kemungkaran menghadapi kesukaran dan keperitan yang bertindih-tindih ketika nazak. Firman Allah SWT dalam surah al-Qiyamah, ayat 29 bermaksud: “Serta kedahsyatan mati pun bertindih-tindih.”
Mereka yang disukarkan sakaratulmaut ialah mereka yang mendustakan agama, tidak mengerjakan solat, sombong dan jahat, serta bergelumang dengan dosa demi dosa. Ketika menghadapi nazak atau sakaratulmaut itu, Allah SWT memperlihatkan kepada dirinya segala dosa dan kejahatan yang dilakukan, seluruh penderitaan zahir dan batin mangsa perbuatannya dikumpulkan dan ditayangkan kepadanya ketika menghadapi saat kematian. Kalau dia membunuh diperlihatkan perbuatan pembunuhan itu. Jika dia menzalimi orang, diperlihatkan kezaliman yang dilakukan. Jika dia mencuri, merompak, merogol akan diperlihatkan segalanya perbuatan itu di saat kematian. Masya-Allah.
Mengakhiri khutbah mimbar menyeru jemaah dan umat Islam sekalian, ingatlah dan insaflah ketika masih sihat, masih berkuasa dan bertenaga, marilah kita sebagai satu ummah memerangi jenayah dan menutup segala pintunya, jadikanlah diri kita sebagai satu ummah yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan terus kekal bertakwa kepada-Nya. - Sumber JAKIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan