Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Jumaat, Februari 10, 2012

Keutamaan pelajari, perkasa ilmu faraid


HARTA pusaka antara ancaman utama kepada perpecahan dan keruntuhan institusi keluarga Islam. Malang sekali jika harta pusaka menjadi sebab perlakuan tidak bermoral hingga sanggup melanggar larangan Allah SWT walaupun sudah dikhabarkan dengan berita balasan buruk lagi dahsyat. Perkara yang dimaksudkan ialah memutuskan silaturahim di kalangan ahli waris sendiri kerana membabitkan hubungan hal bersangkutan ikatan kekeluargaan dan keturunan. 

Mengapa perkara begini boleh berlaku? Apakah punca sebenar menjurus kepada kejadian itu? Sesungguhnya ini adalah simptom yang melanda orang Islam kerana kurang pemahaman ilmu faraid serta kurang kesedaran penting untuk belajarnya. Seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah kepada orang lain. Sesungguhnya aku akan mati, ilmu ini juga akan mati dan akan berlaku kacau-bilau. Sehingga apabila dua orang bertelingkah kerana harta pusaka, mereka tidak akan dapat menemui sesiapa yang boleh menyelesaikan kes mereka.” (Hadis riwayat al-Hakim daripada Ibnu Mas’ud)
Hadis ini jelas memberi penekanan bahawa orang Islam perlu mempelajari ilmu faraid. Apa yang ingin diingatkan juga apabila orang Islam tiada bekalan ilmu faraid walaupun pada zaman Rasulullah hingga hari ini, maka akan timbul pelbagai masalah hingga berakhir dengan pertelingkahan keluarga. Tindakan memutuskan silaturahim dalam kalangan ahli waris yang berhak sendiri adalah perkara paling ditakuti dan kini benar-benar berlaku. Lebih menakutkan, mereka sedar status hubungan di antara mereka, tetapi masih sanggup bertindak memutuskan keluarga sendiri? Ini satu perkara kritikal dan perlu diberi perhatian paling besar kerana penerima harta pusaka (waris yang berhak) telah ditentukan dan ditetapkan mengikut hukum berdasarkan rukun pusaka iaitu waris mempunyai pertalian darah dan hubungan pernikahan yang sah di sisi undang-undang.
Perkara ini jelas menggariskan sebab mengapa seseorang itu diklasifikasikan sebagai waris yang berhak dan seterusnya berhak menerima atau wajib diberi bahagian harta pusaka sebaik berlaku kematian di kalangan ahli keluarga. Kurang ilmu faraid secara terang-terangan boleh mengancam keutuhan hubungan kekeluargaan Islam. Sehubungan itu, perkara utama sekarang adalah mempelajari ilmu faraid sebagai usaha untuk memperkasa dan mengambil berat mengenai ilmu pusaka. Mempelajari ilmu faraid itu amat penting. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah kepada manusia, kerana ia adalah separuh daripada ilmu dan akan dilupakan. Ia juga adalah ilmu pertama akan dicabut daripada umatku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah daripada Abu Hurairah) 

Dalam ilmu fiqh ada satu cabang yang memberi keutamaan kepada ilmu ini. Apabila orang Islam mempunyai ilmu yang tinggi, maka Islam sendiri berupaya untuk mempertingkat dan memastikan ilmu faraid dapat terus berkembang dan dibangunkan berdasarkan kehendak dan keperluan zaman tanpa melanggar ketetapan Allah. Ilmu faraid perlu ditegakkan dan diperkasa agar terus hidup sebati dalam diri setiap orang Islam dan dilaksanakan berdasarkan syarak untuk mendapat ganjaran terbaik daripada Allah SWT. Tanggungjawab ini bukan satu kerja mudah jika terletak dibahu seorang individu saja. Contoh mudah ialah apabila waris meletakkan semua beban kepada seorang waris untuk menyelesaikan harta pusaka tanpa memberi bantuan tenaga atau kewangan. Tidak juga sukar dilakukan jika dilaksanakan secara bersama dan kolektif. Apa yang ditakuti ialah sekiranya orang Islam sendiri melepaskan tanggungjawab ini dan enggan mempelajari ilmu pusaka tanpa menyedari akan impak masa depan? Apa akan jadi sekiranya ramai di antara orang Islam terus menerus memandang ringan perkara ilmu pusaka ini? 

Antara hadis diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Darul Qutni bermaksud: “Daripada Abi Hurairah ra berkata, Sabda Rasulullah SAW: Hendaklah kamu mempelajari ilmu faraid dan ajarkanlah akannya, kerana ia adalah setengah ilmu, ia adalah dilupakan dan ia adalah sesuatu yang mula dicabutkan daripada umatku”. 

Perkara membabitkan ilmu pusaka atau faraid sesungguhnya tidak dapat disangkal amat penting kepada orang Islam. Ilmu pusaka atau faraid bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan kerana ini adalah asas kepada hak-hak waris yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran. Berdasarkan hadis ini jelas menunjukkan kebimbangan Rasulullah SAW agar ilmu ini dijaga, dipelajari dan diturunkan kepada ahli keluarga. Oleh itu, sebagai orang Islam, kita perlu bersama-sama menjunjung tanggungjawab ini dengan memahami ilmu pusaka atau faraid demi kemakmuran ummah. 
Sebagai orang Islam kita perlu menunjukkan keazaman dan kesungguhan untuk bersatu menegakkan dan melaksanakan tuntutan ini segera agar tiada hak dizalimi. Waris berilmu memberi harapan dan hidayah kepada keluarga serta waris berhak yang lain. 

Tetapi bagaimana kita ingin mengetahui sama ada kita memiliki ilmu pusaka atau faraid? Sejauh mana pengetahuan kita dalam hal ini? Salah satu cara ialah untuk menilai diri sendiri? Jangan kita nilai orang lain jika kita enggan menilai diri sendiri. Berilmu atau tidak? Apakah caranya? Buat permulaan, apa kata kita cuba tanya diri kita sendiri? Apakah pusaka mengikut syarak? Pusaka ialah suatu hak yang boleh dibahagikan dan sabit kepada yang berhak selepas yang berhak dulu itu mati, kerana ada hubungan kerabat, suami isteri atau perjanjian. Cuba kita nilai diri sendiri dengan skala 1 hingga 5 berdasarkan pembahagian hubungan suami isteri melalui pernikahan perkahwinan berdasarkan ayat An-Nisa:12. Ini adalah sebagai dalil menunjukkan sebab pernikahan: “Dan bagi kamu seperdua daripada harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh seperempat daripada harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula seperempat daripada harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak, maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah seperlapan daripada harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu. Dan jika simati yang di warisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu), maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah seperenam. Kalau pula mereka (saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada sepertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh simati, dan sesudah dibayarkan hutangnya wasiat yang berkenaan hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.” 

Skala 1 adalah terendah dan 5 tertinggi. Di manakah agaknya skala kita? Selepas itu apa kata jika kita ajukan soalan dan nilaian sama kepada anak yang sudah berkahwin? Apakah agaknya jumlah terkumpul? Kalau Skala 1, apakah tindakan susulan perlu diambil? Untuk diri sendiri? Sekiranya kita berada di skala 3, apakah maknanya? Apa yang pasti kita perlu tepuk dada dan tanya selera. Justeru, persiapkan diri dan ambil langkah positif bagi memastikan keluarga kita tidak tergolong dalam kalangan umat yang memandang ringan ilmu pusaka atau faraid. Apakah kita perlu lakukan jika berskala 4 dan 5? 

Pada tahap ini kita sendiri sebagai orang Islam perlu mengambil langkah pertama ke arah transformasi sendiri atau pun menyebarkan ilmu ini sebaik mungkin. Soalannya, adakah kita sanggup untuk menerima tanggungjawab ini dan hakikat bahawa apa yang ditakuti oleh Rasulullah SAW itu sedang berlaku? 

Atas kesedaran ini apa yang ingin ditekankan bahawa mengetahui ilmu pusaka dan faraid akan membawa kepada banyak kebaikan berbanding kemudaratan, lebih-lebih lagi apabila ilmu memberi landasan kepada pemahaman dan persefahaman dalam kalangan waris yang berhak. 

Tiada ulasan: