Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Jumaat, Ogos 12, 2011

Khutbah Jumaat: Umat tak amal ajaran al-Quran umpama keldai


IMAM al-Qurthubi menjelaskan, Allah SWT menurunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk dan penjelasan bagi manusia. 

Menjelaskan kepada mereka yang halal dan haram, peringatan dan hukum-hakam, serta perbezaan antara haq dan batil.
Sempena Ramadan, marilah kita dengan penuhi iman dan takwa bermuhasabah apakah selama ini kita mengambil al-Quran seperti Allah SWT perintahkan atau hanya beriman dengan sebahagian daripada al-Quran atau mengabaikannya?
Bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat Allah (al-Quran), dan di kalangan kamu ada rasul-Nya (Muhammad SAW). Sesiapa pegang teguh kepada (agama) Allah, ia beroleh petunjuk hidayah ke jalan betul (lurus) - Surah Ali-Imran, Ayat 101
Kebanyakan kita hanya berusaha menjaga jasad al-Quran. Kita tidak meletakkan al-Quran di lantai, di kerusi atau tempat lain yang tidak sesuai. Kita marah jika mendapati sesiapa saja tidak menjaga al-Quran. 

Kita turut marah apabila mendengar dan melihat al-Quran dipijak, dikoyak, dibakar atau dibuang. Kita tidak berdiam diri jika al-Quran dihina atau dipermainkan dalam apa bentuk sekalipun. 

Amat dikesali kerana segelintir umat Islam hanya menjaga jasad al-Quran, tetapi tidak menghayati kandungannya, menerapkan segala perintah dan larangannya. 

Umat Islam sensitif dan marah apabila al-Quran dihina, tetapi perbuatan mereka sendiri seolah-olah ‘menghina atau mengetepikan’ al-Quran dengan tidak mengamalkan ajaran di dalamnya. 
Mimbar juga bimbang ada umat Islam hanya menjadikan al-Quran sebagai perhiasan, disimpan di rumah dan hanya digunakan untuk hal mistik seperti menjadikannya azimat, tangkal, pelaris, penolak bala dan pengusir syaitan.

Mereka juga lebih suka mengambil al-Quran sebagai ‘kitab magik’ yang boleh menguntungkan jualan, memurahkan rezeki, berubat, menghalau hantu dan kepentingan peribadi lain.

Mimbar ingin mengingatkan semua Allah SWT menurunkan al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, malah lebih daripada itu. Membaca al-Quran adalah ibadah (sunat) dan beroleh pahala kerananya, tetapi mengamalkan isi kandungannya wajib.
Bagi mereka yang tidak memikul amanat Allah SWT yang diturunkan melalui al-Quran, Allah membuat perumpamaan yang hina ke atas mereka. Firman Allah yang bermaksud: 

“Bandingan orang yang dipikulkan kepadanya Kitab Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya, samalah seperti keldai yang memikul kitab besar. Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Surah al-Jumu’ah, ayat 5) 
Bayangkanlah jika ada orang yang mengatakan kepada kita, anda seperti keldai. Apakah perasaan kita? 

Apalagi yang menyatakan itu ialah Allah SWT yang kita harapkan keredaan dan keampunan-Nya. Orang beriman, bertakwa dan mengharapkan reda Allah tentu takut akan perumpamaan itu. 

Persoalan besar apakah jawapan kita apabila Allah SWT melontarkan soalan kepada mereka yang membaca al-Quran seperti dalam ayat 101, surah Ali-Imran. 

Firman Allah bermaksud: “Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat Allah (al-Quran), dan di kalangan kamu ada rasul-Nya (Muhammad SAW). Sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, sesungguhnya ia beroleh hidayah ke jalan betul (lurus).”

Ayat ini menunjukkan ada umat Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan sunnah di sisinya disebabkan mereka ingkar ayat Allah. 

Antara pendekatan yang mengangkat martabat umat ialah dengan mengamalkan ajaran al-Quran secara menyeluruh sebagai acuan kehidupan. 

Oleh itu, mimbar menyeru marilah bersama mengambil manfaat untuk meningkatkan ketakwaan dan mengubah segala kelakuan buruk kita dengan mengamalkan segala isi kandung al-Quran supaya kehidupan kita lebih diredai Allah SWT.

2 ulasan:

Mie berkata...

Salam...

Khutbah Jumaat ni sama dgn di tempat saya di KL...

aRiF FiTri berkata...

wslm..iye? sy ambil teks ni kat bhrian arini..