Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Khamis, Oktober 14, 2010

Ilmu penentu ketinggian tamadun bangsa

Umat Islam perlu tingkat kesedaran, bermuhasabah dalam mengurus hidup di dunia, akhirat

DUNIA dan sejarah sudah membuktikan kemapanan ilmu boleh menentukan jatuh bangunnya suatu tamadun manusia. Sememangnya tidak dinafikan kesarjanaan ilmu dan ketrampilan sahsiah mampu memadamkan buntang kejahilan yang kian bersinar kini.
Jika ilmu benar-benar dipelajari dan diamalkan, pasti seluruh manusia akan dapat hidup aman dan harmoni, bahkan penyelesaian kepada segala kemelut, kemunduran dan penghinaan dihadapi umat Islam hari ini ialah dengan kembali kepada al-Quran.
Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-Nya, hanyalah para ulama.” (Surah al-Faathir, ayat 28)

Dalam hal ini, awal tarbiah sama ada secara langsung atau tidak adalah kecantikan budi yang diwarisi daripada ibu bapa melalui interaksi serta pergaulan harian. Akhlak baik yang diwarisi daripada ibu bapa melahirkan anak berbudi bahasa serta pekerti mulia.

Ada kalanya, apa yang diwarisi tidak semestinya baik dalam aspek agama. Oleh itu, warisan hendaklah diselaraskan dengan ilmu dipelajari secara berfokus, supaya generasi yang terdidik akan dapat meneruskan kesinambungan akhlak Rasulullah dan sahabat Baginda.

Dalam Islam, perkataan pendidikan atau tarbiah antara lain bermaksud suatu pendekatan terbaik untuk berinteraksi dengan fitrah insan dan melaksanakan proses pendidikan melalui tunjuk ajar serta teladan.
Suatu teori pendidikan tidak akan sampai kepada matlamat dihajati jika gagal berfungsi dan tidak berkesan. Keberkesanan diukur dengan melihat sejauh mana hasil dihajati bertunas dan berkembang dalam diri individu yang dididik.

Hasil pendidikan juga dapat dilihat melalui perubahan tingkah laku, tindakan dan pemikiran mereka. Pendidikan yang tidak berkesan bukan saja merugikan tenaga, waktu dan wang, lebih dibimbangi apabila hasilnya bertentangan dengan apa dihajati.

Maksud menuntut ilmu bukanlah semata-mata menambah atau memperluas ilmu pengetahuan, tetapi juga untuk mengabdikan pada masyarakat dan meningkatkan mutu peribadi. Antara ilmu dengan budi hendaklah saling isi mengisi manakala budi yang tidak berisi ilmu tidak memberi faedah kepada masyarakat.

Kerana ilmu jugalah manusia akan dibezakan Allah SWT mengikut darjat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)

Selama mana kekuatan masih ada dalam jiwa umat Islam, selama itulah Islam akan tetap hidup subur di seluruh permukaan bumi. Senario semasa menggambarkan kita seolah-olah rela dan pasrah melihat Islam terus layu serta membiarkannya mati.

Kelakuan dan budi pekerti segelintir umat Islam kini ada kalanya tidak jauh berbeza dengan kelakuan jahiliah. Bukan saja tiada usaha menyuburkan kembali, malah ada Muslim yang terus galak membajai benih mazmumah.

Pendek kata, akhlak dan budi seolah-olah butir permata yang sudah hilang daripada kehidupan orang Islam. Setiap insan yang berfikir perlu insaf bahawa kewujudannya mempunyai matlamat, perjalanannya mempunyai haluan dan hidupnya mempunyai tugas serta tanggungjawab.

Justeru, sebagai entiti penting dalam masyarakat, umat Islam tidak boleh lari daripada meningkatkan kesedaran mengenai persoalan ini dan seterusnya bermuhasabah diri ke arah mengurus kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

Konsep kesarjanaan ilmu wajar menjadi prinsip utama dalam kehidupan setiap individu Muslim yang merdeka. Apa yang paling penting adalah pembelajaran bukanlah hanya untuk kelulusan peperiksaan, sebaliknya adalah momentum ke arah memahami erti hidup sebenar.

Setiap ilmu yang dipelajari wajar ditafsir mengikut kacamata ilmiah yang betul kerana makna belajar itu sendiri boleh ditakrifkan sebagai suatu proses pembinaan idea, penghayatan dan aplikasi ilmu. Hasilnya, hakikat akhir proses belajar itu mampu memimpin seseorang ke landasan kebenaran.

Sebab itulah, malang sekali jika ada yang gagal dalam hidup, gagal akhlak dan budinya sewaktu proses pembelajaran atau menuntut ilmu sedangkan ilmu menjadikan seseorang insan itu mulia dan dihormati. Jatuh bangunnya generasi mendatang adalah impak terbesar dari generasi hari ini.

Kebahagiaan tidak hadir bagi individu utama keseronokan, hidup bebas

KEBAHAGIAAN bukan terletak pada banyaknya wang ringgit atau harta semata-mata kerana kebahagiaan berkait rapat dengan ketenangan hati. Kebahagiaan adalah kesenangan hidup, suasana aman serta kemujuran yang dilalui seseorang dalam kehidupan.

Kebahagiaan terletak dalam hati, apabila hati bahagia akan terpancar kebahagiaan di wajah seseorang. Rumah tangga bahagia juga menyumbang ke arah kebahagiaan hidup dalam masyarakat.
Tokoh cendekiawan Islam, Ibnu Khaldun pernah mengatakan: “Bahagia itu ialah tunduk dan patuh mengikut garis yang ditentukan Allah dan sifat perikemanusiaan.”
Tokoh Islam, Ma’adz bin Jabal pernah menyatakan: “Sesungguhnya tak boleh bagi kamu mempunyai kebahagiaan di dunia. Dan engkau lebih berhajat lagi kepada kebahagiaan di akhirat. Maka mulai dengan kebahagiaan kamu dari akhirat lalu ambilkan. Sesungguhnya engkau akan lalu di atas kebahagiaan dari dunia, maka hendaklah engkau mengaturnya.”

Jelasnya, kesenangan hidup dan suasana aman di dunia adalah atas daya usaha kita sendiri, begitu juga kebahagiaan akhirat, kita perlu berusaha mendapatkannya. Melalui amalan baik dan ketakwaan kepada Allah, segala kebahagiaan pasti tercapai.

Ada pandangan cendekiawan Islam mengatakan, untuk mencari bahagia, bebaskan hati daripada dendam dan rasa takut. Hidup sederhana, mengharap sedikit, memberi banyak. Isi dan penuhkan harapan dengan kasih sayang. Lupakan kepentingan diri dan ingatlah orang lain. Lakukan kebaikan sesama manusia seperti anda ingin diperlakukan.

Kalangan remaja sering tersalah anggap mengenai kebahagiaan, mentafsirkan kebahagiaan adalah keseronokan dan keinginan hidup bebas tanpa kongkongan. Sebenarnya itu semua bukanlah kebahagiaan.
Kehidupan yang menjurus kepada kebahagiaan dipilih remaja sering mengakibatkan mereka terjerumus ke kancah pergolakan hidup, pergaulan bebas, melepak, berkeliaran tanpa membuat kerja berfaedah.

Tokoh Islam, Hamka pernah berkata, “Kekayaan harta benda, pangkat atau kedudukan yang tinggi tidaklah dapat menutupi kekerdilan jiwa atau tabiat yang tidak jujur. Malah, bertambah banyak kekayaan atau bertambah tinggi kedudukan, bertambah jelaslah kekerdilan jiwa dan kekurangan seseorang. Oleh sebab itu, kayakan batin lebih dulu untuk menghadapi kemungkinan naik atau kemungkinan turun.”

Ketenangan jiwa juga boleh membawa kebahagiaan dalam hidup seseorang. Firman Allah yang bermaksud: “Orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah Ar-Ra’ad, ayat 28)

Dalam kehidupan bermasyarakat, selalu terjadi perkara berlawanan. Orang miskin dilihat serba kekurangan dan menderita, hidup mereka tenang, bergembira dan bahagia. Orang kaya, serba mewah, berilmu pengetahuan, tetapi hidupnya resah, cemas dan selalu merasa tidak puas.

Sesuatu kita miliki, jika tidak diterima dengan keimanan dan jiwa bersih, hanya akan membuat diri menjadi keluh-kesah. Kita harus menyedari tidak selamanya orang mampu menghadapi kesukaran menimpanya dan tidak selamanya orang berhasil mencapai tujuannya dengan baik.

Oleh itu, remaja perlu dididik dengan keperibadian yang luhur dan jiwa sihat supaya mampu menghadapi apa juga masalah. Dalam kehidupan, kita harus berusaha menjaga kemuliaan hati pada setiap tingkah laku dan akhlak yang ditunjukkan.

Mencari jalan menuju kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat penting dan setiap umat Islam mestilah berusaha untuk mencapai matlamat ini. Teruskanlah mendidik hati dan jiwa supaya mencapai ketenangan serta kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat.

Sabtu, September 18, 2010

Biar Lambat Asal Selamat??


Kita masih lagi dalam musim perayaan yang sinonim dengan kemalangan di jalan raya pada musim raya. Tidak kiralah raya aidilfitri ke, tahun baru cina ke atau deepavali , masih lagi berlaku kemalangan walaupun statistik ops sikap tidak berubah tahun demi tahun(padahal kalau tidak ada pon ops sikap itu, pada hari biasa memang itulah jumlah kematian 'biasa' di Malaysia tiap-tiap hari).Kadang-kadang kematian yang dicatatkan purata setiap hari lebih tinggi dengan jumlah orang yang mati akibat H1N1.Jadi mana lagi bahaya?berada diatas jalanraya atau wabak H1N1?.Perkataan lambat, banyak definisinya.Kalau di jalanraya boleh jadi lambat itu satu kebaikan atau keburukan.Macam mana bole jadi kebaikan??Kalau ketika waktu hujan lebat atau trafik sesak secara normal manusia akan membawa perlahan ataupun lambat.Memang cari nahaslah kalau memecut dalam situasi tersebut.Itu namanya sahaja menempah maut.Kalau keburukan pula, perlahan ini jika kita buat dalam situasi yang salah.Bayangkan di jalan biasa(ada 2 loroang sahaja) kita pandu kereta rehat-rehat sahaja.Tidak perasan dekat belakang kereta kita, berderet-deret kenderaan 'beratur'.Jadi itu mampu menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pemandu lain dan mulalah episod cucuk-mencucuk di belakang.Mahu bagi amaran dekat kita yang membawa lambat.Silap hari bulan , kemalangan...Oleh itu, pandai-pandailah mengawal kelajuan kereta anda dan bertoleransilah di jalanraya(Kalau di luar jalan sopanlah pula,kalau di jalanan??..) .Semoga anda semua sampai ke destinasi dengan selamat dan sebelum kita mulakan perjalana, perlulah dimulai niat yang baik disertakan doa..InsyALLAH sepanjang perjalanan kita, dikira ibadah..Aminnn

Isnin, Ogos 30, 2010

Pembukaan kota Makkah tanda kejayaan perkembangan syiar Islam

PEMBUKAAN kota Makkah antara peristiwa besar dalam sejarah Islam yang berlaku pada Ramadan, tahun ke-8 hijrah. Pembukaan kota Makkah dilihat sebagai kejayaan penting dalam peribadatan dan perkembangan syiar Islam kerana di sini terletak kiblat orang Islam, Kaabah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami sudah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata. Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salahmu yang lalu dan yang terkemudian dan menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu serta menambahkanmu hidayah ke jalan lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya). Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuhnya dan sehebat pertolongan (yang tidak ada tolok bandingnya).” (Surah al-Fath, ayat 1-3)
Peristiwa ini berlaku apabila Bani Bakr dalam naungan Quraisy menyerang Bani Khuzaah dalam naungan Islam pimpinan Rasulullah SAW. Serangan Bani Bakr dibantu pihak kafir Quraisy.
Tindakan ini menimbulkan kemarahan orang Islam kerana dengan pertolongan itu, pihak Quraisy melanggar perjanjian Hudaibiyah yang dipersetujui mereka. Serangan itu juga menyebabkan hampir 20 orang daripada Bani Khuzaah terbunuh.
Oleh kerana serangan itu dibantu pihak Quraisy, maka Amru bin Salim bersama rakannya daripada Bani Khuzaah bergegas ke Madinah untuk memberitahu dan meminta bantuan daripada Rasulullah SAW.

Apabila pihak Quraisy mendengar permintaan Bani Khuzaah kepada Rasulullah SAW, mereka begitu menyesal lalu menghantar Abu Sufian bin Harb bertemu Baginda untuk merayu dan memohon maaf namun, Rasulullah SAW dan sahabat tidak menghiraukannya. Dengan keputusan itu, beliau pulang dengan perasaan hampa dan kecewa ke Makkah.

Oleh kerana perjanjian Hudaibiyah dilanggar pihak Quraisy, maka Rasulullah SAW menyiapkan angkatan Muslimin dengan jumlah mencecah hingga 10,000 orang berangkat ke Makkah. Keberangkatan Rasulullah SAW dan sahabat ke Makkah dapat dijangka oleh pihak Quraisy.
Catatan sejarah menjelaskan bahawa sahabat dapat mematahkan cubaan Hatob untuk mengutuskan surat ke Makkah bagi memaklumkan keberangkatan Muslimin.

Apabila Hatob dihadapkan kepada Rasulullah SAW, beliau menjelaskan bahawa tujuan mengutus surat ke Makkah melalui seorang wanita untuk memaklumkan keluarganya mengenai keberangkatan Muslimin dan bukan berpaling tadah atau murtad. Alasan ini diterima Rasulullah SAW kerana beliau adalah salah seorang pejuang di medan Badar yang Allah SWT janjikan keampunan.

Setiba Rasulullah SAW di Makkah, orang Islam berjaya memasukinya tanpa tentangan sengit. Walaupun pertempuran berlaku, ia dapat dipatahkan oleh Khalid Ibn Walid dan sahabat lain.

Baginda menghancurkan berhala di sekeliling Kaabah sebagai simbol berakhirnya penyembahan berhala di Makkah.