Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Khamis, Oktober 14, 2010

Ilmu penentu ketinggian tamadun bangsa

Umat Islam perlu tingkat kesedaran, bermuhasabah dalam mengurus hidup di dunia, akhirat

DUNIA dan sejarah sudah membuktikan kemapanan ilmu boleh menentukan jatuh bangunnya suatu tamadun manusia. Sememangnya tidak dinafikan kesarjanaan ilmu dan ketrampilan sahsiah mampu memadamkan buntang kejahilan yang kian bersinar kini.
Jika ilmu benar-benar dipelajari dan diamalkan, pasti seluruh manusia akan dapat hidup aman dan harmoni, bahkan penyelesaian kepada segala kemelut, kemunduran dan penghinaan dihadapi umat Islam hari ini ialah dengan kembali kepada al-Quran.
Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-Nya, hanyalah para ulama.” (Surah al-Faathir, ayat 28)

Dalam hal ini, awal tarbiah sama ada secara langsung atau tidak adalah kecantikan budi yang diwarisi daripada ibu bapa melalui interaksi serta pergaulan harian. Akhlak baik yang diwarisi daripada ibu bapa melahirkan anak berbudi bahasa serta pekerti mulia.

Ada kalanya, apa yang diwarisi tidak semestinya baik dalam aspek agama. Oleh itu, warisan hendaklah diselaraskan dengan ilmu dipelajari secara berfokus, supaya generasi yang terdidik akan dapat meneruskan kesinambungan akhlak Rasulullah dan sahabat Baginda.

Dalam Islam, perkataan pendidikan atau tarbiah antara lain bermaksud suatu pendekatan terbaik untuk berinteraksi dengan fitrah insan dan melaksanakan proses pendidikan melalui tunjuk ajar serta teladan.
Suatu teori pendidikan tidak akan sampai kepada matlamat dihajati jika gagal berfungsi dan tidak berkesan. Keberkesanan diukur dengan melihat sejauh mana hasil dihajati bertunas dan berkembang dalam diri individu yang dididik.

Hasil pendidikan juga dapat dilihat melalui perubahan tingkah laku, tindakan dan pemikiran mereka. Pendidikan yang tidak berkesan bukan saja merugikan tenaga, waktu dan wang, lebih dibimbangi apabila hasilnya bertentangan dengan apa dihajati.

Maksud menuntut ilmu bukanlah semata-mata menambah atau memperluas ilmu pengetahuan, tetapi juga untuk mengabdikan pada masyarakat dan meningkatkan mutu peribadi. Antara ilmu dengan budi hendaklah saling isi mengisi manakala budi yang tidak berisi ilmu tidak memberi faedah kepada masyarakat.

Kerana ilmu jugalah manusia akan dibezakan Allah SWT mengikut darjat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)

Selama mana kekuatan masih ada dalam jiwa umat Islam, selama itulah Islam akan tetap hidup subur di seluruh permukaan bumi. Senario semasa menggambarkan kita seolah-olah rela dan pasrah melihat Islam terus layu serta membiarkannya mati.

Kelakuan dan budi pekerti segelintir umat Islam kini ada kalanya tidak jauh berbeza dengan kelakuan jahiliah. Bukan saja tiada usaha menyuburkan kembali, malah ada Muslim yang terus galak membajai benih mazmumah.

Pendek kata, akhlak dan budi seolah-olah butir permata yang sudah hilang daripada kehidupan orang Islam. Setiap insan yang berfikir perlu insaf bahawa kewujudannya mempunyai matlamat, perjalanannya mempunyai haluan dan hidupnya mempunyai tugas serta tanggungjawab.

Justeru, sebagai entiti penting dalam masyarakat, umat Islam tidak boleh lari daripada meningkatkan kesedaran mengenai persoalan ini dan seterusnya bermuhasabah diri ke arah mengurus kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

Konsep kesarjanaan ilmu wajar menjadi prinsip utama dalam kehidupan setiap individu Muslim yang merdeka. Apa yang paling penting adalah pembelajaran bukanlah hanya untuk kelulusan peperiksaan, sebaliknya adalah momentum ke arah memahami erti hidup sebenar.

Setiap ilmu yang dipelajari wajar ditafsir mengikut kacamata ilmiah yang betul kerana makna belajar itu sendiri boleh ditakrifkan sebagai suatu proses pembinaan idea, penghayatan dan aplikasi ilmu. Hasilnya, hakikat akhir proses belajar itu mampu memimpin seseorang ke landasan kebenaran.

Sebab itulah, malang sekali jika ada yang gagal dalam hidup, gagal akhlak dan budinya sewaktu proses pembelajaran atau menuntut ilmu sedangkan ilmu menjadikan seseorang insan itu mulia dan dihormati. Jatuh bangunnya generasi mendatang adalah impak terbesar dari generasi hari ini.

Tiada ulasan: