Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Jumaat, Februari 10, 2012

Keutamaan pelajari, perkasa ilmu faraid


HARTA pusaka antara ancaman utama kepada perpecahan dan keruntuhan institusi keluarga Islam. Malang sekali jika harta pusaka menjadi sebab perlakuan tidak bermoral hingga sanggup melanggar larangan Allah SWT walaupun sudah dikhabarkan dengan berita balasan buruk lagi dahsyat. Perkara yang dimaksudkan ialah memutuskan silaturahim di kalangan ahli waris sendiri kerana membabitkan hubungan hal bersangkutan ikatan kekeluargaan dan keturunan. 

Mengapa perkara begini boleh berlaku? Apakah punca sebenar menjurus kepada kejadian itu? Sesungguhnya ini adalah simptom yang melanda orang Islam kerana kurang pemahaman ilmu faraid serta kurang kesedaran penting untuk belajarnya. Seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah kepada orang lain. Sesungguhnya aku akan mati, ilmu ini juga akan mati dan akan berlaku kacau-bilau. Sehingga apabila dua orang bertelingkah kerana harta pusaka, mereka tidak akan dapat menemui sesiapa yang boleh menyelesaikan kes mereka.” (Hadis riwayat al-Hakim daripada Ibnu Mas’ud)
Hadis ini jelas memberi penekanan bahawa orang Islam perlu mempelajari ilmu faraid. Apa yang ingin diingatkan juga apabila orang Islam tiada bekalan ilmu faraid walaupun pada zaman Rasulullah hingga hari ini, maka akan timbul pelbagai masalah hingga berakhir dengan pertelingkahan keluarga. Tindakan memutuskan silaturahim dalam kalangan ahli waris yang berhak sendiri adalah perkara paling ditakuti dan kini benar-benar berlaku. Lebih menakutkan, mereka sedar status hubungan di antara mereka, tetapi masih sanggup bertindak memutuskan keluarga sendiri? Ini satu perkara kritikal dan perlu diberi perhatian paling besar kerana penerima harta pusaka (waris yang berhak) telah ditentukan dan ditetapkan mengikut hukum berdasarkan rukun pusaka iaitu waris mempunyai pertalian darah dan hubungan pernikahan yang sah di sisi undang-undang.
Perkara ini jelas menggariskan sebab mengapa seseorang itu diklasifikasikan sebagai waris yang berhak dan seterusnya berhak menerima atau wajib diberi bahagian harta pusaka sebaik berlaku kematian di kalangan ahli keluarga. Kurang ilmu faraid secara terang-terangan boleh mengancam keutuhan hubungan kekeluargaan Islam. Sehubungan itu, perkara utama sekarang adalah mempelajari ilmu faraid sebagai usaha untuk memperkasa dan mengambil berat mengenai ilmu pusaka. Mempelajari ilmu faraid itu amat penting. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah kepada manusia, kerana ia adalah separuh daripada ilmu dan akan dilupakan. Ia juga adalah ilmu pertama akan dicabut daripada umatku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah daripada Abu Hurairah) 

Dalam ilmu fiqh ada satu cabang yang memberi keutamaan kepada ilmu ini. Apabila orang Islam mempunyai ilmu yang tinggi, maka Islam sendiri berupaya untuk mempertingkat dan memastikan ilmu faraid dapat terus berkembang dan dibangunkan berdasarkan kehendak dan keperluan zaman tanpa melanggar ketetapan Allah. Ilmu faraid perlu ditegakkan dan diperkasa agar terus hidup sebati dalam diri setiap orang Islam dan dilaksanakan berdasarkan syarak untuk mendapat ganjaran terbaik daripada Allah SWT. Tanggungjawab ini bukan satu kerja mudah jika terletak dibahu seorang individu saja. Contoh mudah ialah apabila waris meletakkan semua beban kepada seorang waris untuk menyelesaikan harta pusaka tanpa memberi bantuan tenaga atau kewangan. Tidak juga sukar dilakukan jika dilaksanakan secara bersama dan kolektif. Apa yang ditakuti ialah sekiranya orang Islam sendiri melepaskan tanggungjawab ini dan enggan mempelajari ilmu pusaka tanpa menyedari akan impak masa depan? Apa akan jadi sekiranya ramai di antara orang Islam terus menerus memandang ringan perkara ilmu pusaka ini? 

Antara hadis diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Darul Qutni bermaksud: “Daripada Abi Hurairah ra berkata, Sabda Rasulullah SAW: Hendaklah kamu mempelajari ilmu faraid dan ajarkanlah akannya, kerana ia adalah setengah ilmu, ia adalah dilupakan dan ia adalah sesuatu yang mula dicabutkan daripada umatku”. 

Perkara membabitkan ilmu pusaka atau faraid sesungguhnya tidak dapat disangkal amat penting kepada orang Islam. Ilmu pusaka atau faraid bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan kerana ini adalah asas kepada hak-hak waris yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran. Berdasarkan hadis ini jelas menunjukkan kebimbangan Rasulullah SAW agar ilmu ini dijaga, dipelajari dan diturunkan kepada ahli keluarga. Oleh itu, sebagai orang Islam, kita perlu bersama-sama menjunjung tanggungjawab ini dengan memahami ilmu pusaka atau faraid demi kemakmuran ummah. 
Sebagai orang Islam kita perlu menunjukkan keazaman dan kesungguhan untuk bersatu menegakkan dan melaksanakan tuntutan ini segera agar tiada hak dizalimi. Waris berilmu memberi harapan dan hidayah kepada keluarga serta waris berhak yang lain. 

Tetapi bagaimana kita ingin mengetahui sama ada kita memiliki ilmu pusaka atau faraid? Sejauh mana pengetahuan kita dalam hal ini? Salah satu cara ialah untuk menilai diri sendiri? Jangan kita nilai orang lain jika kita enggan menilai diri sendiri. Berilmu atau tidak? Apakah caranya? Buat permulaan, apa kata kita cuba tanya diri kita sendiri? Apakah pusaka mengikut syarak? Pusaka ialah suatu hak yang boleh dibahagikan dan sabit kepada yang berhak selepas yang berhak dulu itu mati, kerana ada hubungan kerabat, suami isteri atau perjanjian. Cuba kita nilai diri sendiri dengan skala 1 hingga 5 berdasarkan pembahagian hubungan suami isteri melalui pernikahan perkahwinan berdasarkan ayat An-Nisa:12. Ini adalah sebagai dalil menunjukkan sebab pernikahan: “Dan bagi kamu seperdua daripada harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh seperempat daripada harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula seperempat daripada harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak, maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah seperlapan daripada harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu. Dan jika simati yang di warisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu), maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah seperenam. Kalau pula mereka (saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada sepertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh simati, dan sesudah dibayarkan hutangnya wasiat yang berkenaan hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.” 

Skala 1 adalah terendah dan 5 tertinggi. Di manakah agaknya skala kita? Selepas itu apa kata jika kita ajukan soalan dan nilaian sama kepada anak yang sudah berkahwin? Apakah agaknya jumlah terkumpul? Kalau Skala 1, apakah tindakan susulan perlu diambil? Untuk diri sendiri? Sekiranya kita berada di skala 3, apakah maknanya? Apa yang pasti kita perlu tepuk dada dan tanya selera. Justeru, persiapkan diri dan ambil langkah positif bagi memastikan keluarga kita tidak tergolong dalam kalangan umat yang memandang ringan ilmu pusaka atau faraid. Apakah kita perlu lakukan jika berskala 4 dan 5? 

Pada tahap ini kita sendiri sebagai orang Islam perlu mengambil langkah pertama ke arah transformasi sendiri atau pun menyebarkan ilmu ini sebaik mungkin. Soalannya, adakah kita sanggup untuk menerima tanggungjawab ini dan hakikat bahawa apa yang ditakuti oleh Rasulullah SAW itu sedang berlaku? 

Atas kesedaran ini apa yang ingin ditekankan bahawa mengetahui ilmu pusaka dan faraid akan membawa kepada banyak kebaikan berbanding kemudaratan, lebih-lebih lagi apabila ilmu memberi landasan kepada pemahaman dan persefahaman dalam kalangan waris yang berhak. 

Selasa, Februari 07, 2012

Nokia Belle Official Update Sudah Keluar!!!

Setelah berbulan-bulan menunggu, akhirnya Nokia C7 saya dapat pon 'major update' Nokia Belle daripada update terdahulu 'Symbian Anna'. Pastinya prestasi yang terbaik saya harapkan daripada Belle berbanding Anna. Tidak sabar rasanya update di Nokia Care Centre sementara waranty masih ada..hehe
Nokia C6-01
Nokia C7
Nokia N8
Nokia E6
Nokia E7
Nokia X7
Nokia 500
Update coming soon
Nokia Oro



The long-awaited Belle update for older Nokias that launched with Symbian^3 has started rolling out. We received tons of tips (thanks everyone!) and when we plugged in our Nokia N8, Ovi Suite immediately found an update.
The update is version 111.030.0609, the latest available version of Nokia Belle, even for the Nokia 701. That means that owners of an N8, E7, X7, C7, E6, C6-01 and Oro will be on par software-wise with phones that launched with Belle.
The update for the Nokia 500 will be delayed a few weeks.
Anyway, the update came a day earlier than expected. It's available in the following countries: India, Russia, United Arab Emirates, Turkey, Poland, UK, Germany, Italy, Vietnam and Malaysia. There are others too, you can check the availability here.
Here's a promo video that shows you how to update and what you'll be getting:

Check if it's available for your phone and don't forget to drop us a line in the comments with your model and region.

Jumaat, Februari 03, 2012

Sifat merendah diri pada Rasulullah wajar dicontohi


RASULULLAH SAW amat dicintai dan disayangi kerana peribadinya yang mulia. Sifat merendah diri Baginda amat mengagumkan. Jauh sekali untuk Rasulullah SAW bersifat sombong dan angkuh dengan pemilihannya sebagai uswatun hasanah. 

Sedangkan kita, tanpa disedari telah memiliki sifat angkuh dan sombong melalui percakapan, perbualan, tutur kata, suka menunjuk-nunjuk dan mempamerkan sesuatu berselindung dengan hasrat untuk dipuji dan disanjung.
Berbeza Rasulullah SAW yang melihat sombong itu dari sudut yang nyata. Baginda bersabda bermaksud: “Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia,” (Riwayat Muslim)
 Ibnul Qayyim, cendekiawan dan ahli fiqh  terkenal, abad ke-13, pernah menyatakan bahawa “sesungguhnya hati manusia berdepan dua ‘penyakit’ yang amat besar, jika orang itu tidak menyedari akan melemparkan dirinya ke dalam kehancuran dan itu adalah pasti, dua ‘penyakit’ itu adalah riak dan takbur...” 

Berkata Imam Al Ghazal, orang yang takbur itu ialah orang yang apabila ditegur, dia marah dan benci, sedangkan kalau dia menegur orang lain, ditegurnya dengan keras dan kasar."  

Sebenarnya sifat sombong dan angkuh lahir daripada naluri seseorang yang diterjemah melalui perilaku dan tutur kata. Melalui sifat itu seseorang berasakan dirinya lebih daripada orang lain dan sentiasa hebat untuk dibandingkan. 

Rasulullah SAW telah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku agar kalian merendahkan diri sehingga seseorang tidak menyombong diri atas yang lain dan tidak berbuat zalim atas yang lain.” (Riwayat Muslim)  
Rasulullah mencela sikap angkuh dan bangga diri. Daripada Abu Hurairah menyatakan bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: "Ketika seorang lelaki berjalan, dia berbangga terhadap dirinya hingga mengangkat kepalanya ke atas. Dia berjalan dengan sombong seolah-olah bumi tertelan oleh pakaiannya, maka sesungguhnya dia akan terperosok di dalamnya sampai hari kiamat kelak. (Riwayat Syaikhan dan Syaibani)  

Sifat sombong bukan saja pada pangkat dan kedudukan, malah melalui percakapan. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa yang menyeret bajunya dengan tujuan menyombongkan diri, maka Allah tidak akan melihat dirinya di hari kiamat." (Riwayat Syaikhan Nawawi). 

Diriwayatkan daripada Amru bin Syuaib bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Di hari kiamat, orang yang sombong akan dikumpulkan seperti debu halus. Mereka ditutupi oleh kehinaan pada setiap tempat, kemudian diiring ke penjara di neraka jahanam yang disebut Bulas, mereka dilumat oleh api neraka, disiram dengan minuman ahli neraka berupa lumpur yang membinasakan." (Riwayat Ar- Tirmizi dan Syaibani). 

Adi bin Hatim, putra Hatim yang terkenal sangat dermawan pernah menyebut bahawa Rasulullah pernah bersabda bermaksud: "Saudara semua perlu melakukan kebaikan untuk menjauhkan diri daripada api neraka, walaupun saudara hanya memberi sedekah dengan sepotong kurma. Namun, bagi sesiapa yang tidak mampu, bertuturlah dengan tutur kata yang baik." (Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Hanya melalui keinsafan dan kesedaran, hidup ini hanya sementara dan tugas kita beribadah kepada Allah dapat mengelakkan sifat sombong dan bangga diri. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang merendah diri kepada Allah, Allah akan mengangkatnya.” (Muslim) 

Rasulullah SAW ialah manusia yang amat toleran, amat berani, amat adil dan amat bersopan-santun sekali. Baginda tidak menggunakan apa yang ada pada dirinya untuk menjadi suami yang angkuh dan sombong. Sebaliknya, baginda sendiri sering menolong isteri baginda dalam hal rumah tangga. Sebagai pemimpin pula, baginda tidak pernah menggunakan kuasa untuk bersifat angkuh menyombong diri dan mencela orang bawahan. Baginda sentiasa ramah mesra, sopan-santun dan murah hati tanpa memilih puak, darjat dan keturunan. 

Baginda juga tidak pernah membalas setiap cacian dan cercaan orang kafir. Baginda sering menghampiri dengan memuliakan orang miskin dan anak yatim.  Selalu melawat pesakit meskipun rumahnya jauh di pinggir kota, suka kepada yang baik, sering duduk bersama-sama fakir-miskin, memberi makan kepada orang miskin. 

Baginda memuliakan orang miskin dan anak-anak. Daripada Anas bin Malik, katanya: “Rasulullah SAW bertemu dengan beberapa orang anak lalu baginda memberi salam kepada mereka.” (Hadis riwayat Muslim)  

Baginda Rasulullah SAW tidak pernah mengecewakan sesiapapun, tidak berkata melainkan yang hak dan tertawa baginda setakat senyum saja tanpa hilai ketawa. Jelasnya, baginda tidak bersifat sombong dan takbur walaupun amat dimuliakan umatnya. Sombong dan takbur mempunyai pengertian yang sama iaitu antara sifat yang keji dan tercela. Sifat ini menjadi kebencian dan kemurkaan Allah kepada sesiapa yang memilikinya, walaupun cuma sedikit, dan menjadi penghalang daripada syurga. 



Iktibar daripada Maulidur Rasul


SAMBUTAN Maulidur Rasul bukan setakat berarak sambil berselawat dan disertai jamuan makan. Ia tidak habis setakat itu sahaja.
Ia juga bukan sekadar suka-suka atau menunjuk-nunjuk, Tetapi ia bertujuan mengimbau kembali perjuangan dan pengorbanan nabi Muhammad SAW dalam menegakkan Islam di muka bumi ini.

Rasulullah merupakan contoh yang terbaik kepada setiap umat Islam dalam segala aspek kehidup. Sebab itu, saban tahun hari kelahiran baginda diraikan supaya setiap umat Islam dapat mengambil iktibar daripada setiap sesuatu yang dilakukan dan diamalkan baginda untuk dijadikan panduan dan pedoman.
Baginda adalah contoh terbaik yang bersifat universal. Keseluruhan hidup baginda dapat dijadikan ikutan dan contoh sepanjang zaman.

Ia merangkumi segala aspek daripada kehidupan harian individu kepada aktiviti sosial, ekonomi, politik dan pemerintahan negara.
Dalam hal ini, Allah SWT menyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu menjadi contoh yang paling baik untuk (menjadi ikutan) kamu. (al-Ahzab: 21)
Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, baginda adalah pemimpin ummah yang perlu diikuti dan dicontohi dalam segenap kehidupan.
Sebagai individu, Rasulullah mempunyai peribadi luhur dan murni yang sentiasa mengajak manusia melakukan kebaikan dengan menyeru kepada jalan Allah.

Kata beliau, nabi juga seorang ketua negara yang menerajui bahtera pemerintahan dengan amanah dan cekap di samping seorang suami mithali, seorang bapa yang bijak menyempurnakan tanggungjawab terhadap anak, seorang sahabat yang setia, seorang jiran yang memahami jirannya dan lain-lain.
"Jelasnya, kepemimpinan Rasulullah terserlah dalam seluruh kehidupan baginda.
"Sejak kecil Rasulullah telah diuji di mana seorang demi seorang mereka yang menjadi tempat baginda bergantung dan mengharap kasih sayang sebagaimana anak-anak kecil yang sebaya dengan baginda telah pergi menemui Al-Khaliq.

"Ia dimulai dengan kematian ayahandanya Abdullah semasa baginda dalam kandungan ibundanya lagi," katanya kepada Mega, baru-baru ini.
Ia diikuti dengan kematian ibundanya Aminah ketika mana baginda baru mula mengerti erti belaian kasih sayang seorang ibu.
Selepas itu datuknya, Abdul Mutalib pula pergi menemui ilahi yang mana penjagaan baginda selepas itu diambil alih oleh bapa saudaranya Abu Talib.

Menurut Mohd. Sukki, semua ujian itu telah mematangkan baginda. Ia juga menunjukkan bahawa usaha dakwah kepada kebaikan memerlukan pengorbanan di samping di uji dengan pelbagai cabaran.
Selain itu, jelasnya, ujian tersebut juga bertujuan menjauhkan Rasulullah daripada tuduhan liar bahawa ilmu yang baginda sebarkan adalah hasil warisan dan pengajian yang diperolehi daripada ibu bapa dan datuknya. Sebaliknya ia adalah wahyu ilahi.

"Begitu juga untuk menghindar daripada tuduhan yang mengatakan segala kematangan dan perilaku yang mulia pada diri Rasulullah SAW adalah kerana hasil penjagaan dan didikan ibu bapa dan datuk baginda," jelasnya.
Kehidupan sebagai anak yatim piatu juga mengajar baginda yang bakal menjadi nabi dan rasul untuk berdikari.
Seterusnya melahirkan dalam diri baginda sifat kasih terhadap orang susah dan menderita terutama anak yatim piatu.
Perjuangan untuk meninggikan kalimah Allah bukannya dihamparkan dengan permaidani merah tetapi dibentangkan dengan onak dan duri di sepanjang perjalanan menuju matlamatnya yang suci.

Begitu juga ketika nabi SAW beruzlah di gua Hira', ia merupakan satu proses tarbiah pada diri baginda dengan bertafakur dan merenung kebesaran serta keagungan Allah SWT jauh daripada kezaliman dan kebobrokan hidup masyarakat jahiliah yang dipenuhi dengan dosa dan noda.
"Ringkasnya, nabi SAW mendapat tarbiah secara langsung daripada Allah untuk menjadi pemimpin ikutan ummah dalam segenap kehidupan," kata beliau.

Secara sedar atau tidak, di sebalik kehangatan sambutan maulidur rasul, ramai yang masih gagal menghayati dan mengamalkan sunah nabi yang merupakan suatu kemestian bagi setiap individu Muslim.
Apakah sambutan yang diraikan saban tahun itu hanya sekadar satu majlis ritual untuk keramaian semata-mata?
Mohd. Sukki berkata, ramai di kalangan umat Islam sehingga sekarang masih tidak mengetahui dan mendalami sunah nabi.

Kata beliau, amat merugikan apabila sambutan yang menelan belanja ribuan ringgit tidak mendatangkan hasil yang memberangsangkan dalam mengubah cara hidup umat Islam.
"Saban tahun Maulidur Rasul disambut, tetapi pegangan agama tetap longgar. Bahkan ada antara pemuda dan pemudi siangnya menyambut Maulud pada, malamnya pula disusuli dengan hiburan yang melampau dan melalaikan.
"Akhirnya selawat yang didendangkan pada siang harinya itu ditinggalkan sebagai suatu kenangan sahaja," tegas beliau.

Menurut Mohd. Sukki, ini bukan bermakna sambutan Maulidur Rasul yang diadakan itu tidak mendatangkan sebarang kebaikan. Tetapi anjakan paradigma perlu wujud agar umat Islam tidak sekadar beretorik dengan memuji dan berselawat kepada Rasulullah.

Apa yang lebih penting daripada itu adalah i kehidupan nabi diamalkan dalam kehidupan harian umat Islam hari ini.
"Apatah lagi apabila kita melihat dunia Islam pada hari ini semakin gawat dengan pelbagai masalah. Justeru, usaha yang bersungguh-sungguh perlu digembleng agar dapat mengembalikan kecemerlangan dan kegemilangan Islam.
"Cara terbaik untuk merealisasikan perkara ini ialah dengan mencontohi Rasulullah dalam segenap segi kehidupan kita.

"Baginda merupakan contoh terbaik yang bersifat universal iaitu keseluruhan hidup Baginda dapat dijadikan ikutan dan contoh di sepanjang zaman," tambahnya.