Golongan songsang jejas akidah cabaran bentuk negara aman
Keamanan dan ketenteraman adalah antara nikmat terbesar Allah SWT kerana dengannya kita dapat melakukan urusan agama serta kehidupan tanpa sebarang ketakutan, kebimbangan dan kegerunan seterusnya membantu kita mempertingkatkan kualiti hidup cemerlang.
Sedarkah kita musuh Islam pastinya gembira dengan keadaan ini. Peperangan dan pembunuhan umat Islam yang berlaku hari ini adalah 'fitnah' yang telah dikhabarkan Rasulullah SAW"
Terkini apa yang sedang dialami oleh umat Islam di Syria dan Mesir apabila rakyat yang tidak berdosa, orang daif, anak-anak tidak berdaya, golongan wanita yang lemah sering menjadi mangsa. Mereka diseksa, dipukul, dianiaya, disembelih, dirogol dan dibakar hidup-hidup tanpa ada belas kasihan.
Keadaan huru-hara yang semakin hari bertambah, kekacauan berterusan, pembunuhan kejam bukan saja memberi kesan buruk dalam kehidupan seharian, malah boleh membantut pelaksanaan amal ibadah seterusnya menyekat usaha pembangunan umat Islam dan negara.
Prihatin nasib umat Islam
Sebagai umat Islam yang prihatin, kita tidak seharusnya hanya menjadi penonton terhadap penderitaan, kezaliman dan kesusahan dialami mereka. Kita juga berperanan membantu mengurangkan situasi buruk mereka dengan tenaga, fikiran atau sekurang-kurangnya mendoakan keamanan dan kesejahteraan mereka.
Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah, akidah Asya’irah dan Maturidiyyah yang kita warisi daripada ulama terdahulu yang bersambung sanadnya hingga Rasulullah SAW wajib dipertahankan. Percayalah, dengan akidah yang benar kita dapat menyatukan umat Islam seluruh dunia tanpa mengira perbezaan bahasa, budaya dan warna kulit.
Situasi buruk yang melanda umat Islam hari ini adalah agenda rapi musuh Islam sejak berkurun lamanya. Mereka bergembira dan bersorak dengan penderitaan ini. Agenda jahat mereka telah diatur dan dilaksanakan dengan jayanya.
Mereka sememangnya tidak akan meredai Islam, umatnya dan tidak akan berhenti melemahkan serta menghancurkan Islam hingga ke akar umbi. Inilah perancangan rapi dilaksanakan mereka dan lebih malang lagi dilaksanakan umat Islam yang bersekongkol dengan mereka.
Kesatuan umat yang rapuh, akidah menyeleweng, minda dan pemikiran lemah dan kejahilan bermaharajalela, ekonomi tidak menjamin, kebergantungan umat Islam pada bangsa asing dalam pelbagai aspek antara faktor agenda jahat mereka.
Apa yang berlaku kepada umat Islam hari ini sebenarnya mempunyai hikmah dan pengajaran untuk dihayati. Dalam usaha menjunjung dan memartabatkan Islam sememangnya kita memerlukan keadaan yang aman dan tenteram.
Tanpa keamanan dan kesejahteraan, kita tidak dapat mencapai matlamat membentuk sebuah negara Islam berdaulat. Realitinya, umat Islam di negara kita sedang berdepan pelbagai tribulasi dan cabaran seperti serangan fahaman songsang, akidah menyeleweng dan tuntutan bukan Islam yang boleh mencabar kewibawaan serta kemurnian Islam.
Malah, masih ada lagi pihak yang suka membawa isu khilafiah dalam ibadah, walhal ia sudah lama diperdebatkan ulama silam. Inilah punca yang akan menambahkan kecelaruan dan pergaduhan dalam masyarakat.
Sedarkah kita musuh Islam pastinya gembira dengan keadaan ini. Peperangan dan pembunuhan umat Islam yang berlaku hari ini adalah ‘fitnah’ yang telah dikhabarkan Rasulullah SAW.
Tidak tumpahkan darah umat Islam
Rebutlah waktu yang masih berbaki dengan melakukan amalan ketaatan. Jangan sesekali membabitkan diri dalam menumpahkan darah umat Islam secara zalim sesungguhnya sesiapa yang membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT tanpa hak, maka wajib baginya qisas.
Ingatlah Firman Allah SWT bermaksud: “Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu, Kami tetapkan atas Bani Israel, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul Kami dengan membawa keterangan yang jelas kemudian kebanyakan daripada mereka sesudah itu benar-benar menjadi orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.” (Surah al-Maaidah, ayat 32)
Jangan sesekali kita mengambil harta umat Islam secara zalim, merampas harta mereka sesungguhnya akibat buruk daripada perbuatan itu amat besar. Jauhi daripada melakukan huru-hara dan pemberontakan di negara ini.
Sumber: Khutbah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan