Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Jumaat, Mei 10, 2013

Imej tidak baik terhadap Islam wajar diubah


Allah SWT telah menurunkan Islam kepada seluruh manusia dalam keadaan sempurna dan lengkap untuk diamalkan sepanjang zaman. Tidak ada kecacatan pada ajaran Islam yang membimbing manusia ke arah kejayaan di dunia dan akhirat. 

Firman Allah SWT: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku, dan telah Aku reda Islam sebagai agama bagi kamu.” (Surah al-Maidah, ayat 3) 
Ironinya, umat Islam sekarang dalam keadaan lemah dan ketinggalan. Rakyat di negara Islam hidup dalam kemiskinan, mundur, berperang sesama mereka. Senarai negara yang berada dalam keadaan bergolak dan perang saudara majoritinya terdiri daripada negara Islam. 


Momokkan ajaran Islam 

Kesempatan ini digunakan bukan Islam untuk memomokkan ajaran Islam dengan tuduhan bahawa agama Islam menolak kemajuan, mengamalkan diskriminasi jantina, menyekat kebebasan individu dan mengajar keganasan. Gambaran Islam di mata bukan Islam amat buruk. 

Hakikatnya, apa yang berlaku itu bukan disebabkan oleh ajaran Islam. Sebagai penganut Islam kita perlu yakin bahawa ajaran Islam itu sempurna dan terbaik. 

Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya ‘Aina al-Khalal’ (Di Mana Kepincangan), sebenarnya umat Islam bukan lemah, tetapi kurang kesedaran, lupa diri, tidak menggunakan seluruh kekuatan dan potensi serta tidak berdikari (banyak bergantung kepada Barat). 
Imej tidak baik umat Islam perlu diubah segera. Usaha untuk menampilkan imej baik Islam perlu dilakukan oleh setiap Muslim dan seterusnya mengubah keseluruhan ummah. Allah SWT tidak akan mengubah nasib umat Islam tanpa dilakukan oleh umat Islam sendiri. 

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang pada diri mereka.” (Surah Ar-Rad, ayat 11) 

Sebenarnya setiap usaha untuk kebaikan memberi manfaat kepada diri pelakunya sendiri, selain memberi kesan positif kepada keluarga, masyarakat dan agama. Amalan kebaikan bukan setakat memberi kebaikan kehidupan di dunia, bahkan turut menyediakan bekalan pahala di akhirat. 

Iltizam satu bentuk hijrah 

Sesungguhnya, iltizam dan komitmen ke arah kebaikan adalah satu bentuk hijrah yang dituntut agama. Hijrah ke arah kebaikan termasuk dalam kategori berjihad. Usaha melakukan kebaikan memberikan peluang pahala yang besar tidak wajar dilepaskan begitu saja. 

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang yang beriman dan mereka yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Baqarah, ayat 218) 

Penggemblengan seluruh kekuatan yang dimiliki umat Islam di seluruh dunia adalah formula sebenar kebangkitan Islam. Jika seluruh umat Islam bersatu dalam satu matlamat yang sama, nasib umat Islam akan berubah menjadi lebih baik, seterusnya agama Islam menjadi agama contoh. 

Umat Islam perlu bersatu dan mengetepikan segala perbezaan pendapat dan fahaman. Allah SWT menegah dan benci kepada mereka berpecah belah. 

Firman Allah SWT: “Dan berpeganglah kamu semuanya dengan tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai.” (Surah Ali-Imran, ayat 103) 

Melalui asas perpaduan terbina masyarakat yang kuat ekonomi, tinggi akhlak, bijak menguasai ilmu terkini, hidup penuh harmoni dan terhindar daripada budaya tidak baik

Tiada ulasan: