Masyarakat perlu bekerjasama demi meneruskan agenda pembangunan
Pemimpin perlu memahami dan menyedari tanggungjawab itu akan dinilai dan dibalas oleh Allah. Segala kemampuan dan kebolehan memimpin juga datang daripada Allah. Justeru pemimpin berjiwa besar perlu memahami tindak-tanduk mereka dan merasakan kekuasaan itu bukan hak milik mutlak.
Tampuk kepemimpinan yang dipilih oleh rakyat perlu meneruskan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara. Dakwah dan tarbiah umat juga mesti diteruskan kerana perjuangan menegakkan Islam adalah bersifat jangka panjang dan tidak terhenti disebabkan oleh kemenangan atau kekalahan.
Berhenti cari kesalahan
Mengharungi pasca pilihan raya, kita perlu berhenti mencari kesalahan dan menuding jari kepada pihak lawan, tetapi bersama meluncurkan idea baru dalam meneruskan agenda pembangunan negara serta ummah.
Usah menjadikan perbezaan ideologi sebagai alasan untuk merencat kestabilan sedia ada dan menjadikan rakyat sebagai mangsa keadaan. Apa yang penting sekarang ialah nasib rakyat dan negara, bukannya imej atau kedudukan parti politik masing-masing.
Individu perlu matang dan bijak menjalankan peranan sebagai masyarakat yang demokratik. Bukannya sering bercakaran dan bermusuhan kerana ia akan mendatangkan kerugian kepada diri sendiri, bangsa serta negara.
Jika umat Islam saling bertelagah, mewujudkan pertelingkahan dan fitnah memfitnah, musuh Islam di luar sana tentu sekali tersenyum lebar dengan kegoncangan yang melatari perpaduan umat Islam. Justeru, masyarakat dan pemimpin perlu membuka minda supaya tidak terjerat dengan persengketaan berpanjangan. Kesalahan perlu diperbetulkan dan keadilan juga mesti ditegakkan.
Pemerintah atau pemimpin memerlukan sokongan daripada institusi masyarakat untuk meneruskan agenda pentadbiran negara. Masyarakat perlu mendokong keharmonian dan perpaduan bukannya menyemarakkan kebencian antara satu sama lain.
Sokong pemimpin terpilih
Pihak mana pun disokong mahupun yang dipilih, pemimpin terpilih itu perlu diberikan sokongan padu supaya pembangunan negara tidak tersekat disebabkan perbezaan ideologi politik. Kita semua saling memerlukan seperti satu binaan yang kukuh.
Sabda Rasulullah SAW: “Orang beriman itu ibarat sebuah bangunan, setiap satu menyokong yang lainnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Tiada yang lebih dan tiada yang kurang. Setiap kelemahan boleh ditampung dengan sesuatu kelebihan dan setiap kelebihan juga pasti ada ruang kebocoran di sebaliknya. Maka tiada istilah perseteruan selepas pilihan raya ini.
Ada kala yang dianggap musuh itu mampu memperbaiki dan menampung kelompongan yang wujud. Sejajar itu, firman Allah perlu dijadikan sumber inspirasi bagi seluruh umat Islam supaya tidak ghairah membudayakan permusuhan dalam masyarakat pada hari ini.
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Dipilih sebagai pemimpin adalah satu amanah yang berat untuk dilaksanakan.
Maka, pemerintah memerlukan masyarakat yang berpandangan terbuka dan komited. Kewujudan kelompok ilmuwan penting sebagai kuasa pencetus idea serta ejen penyemak dan pengimbang (check and balance).
Wajar beri teguran
Kestabilan politik, keamanan dan kemajuan negara menjadi tujuan utama dan tanggungjawab bersama tanpa mengira parti mana. Teguran wajar diberikan dan peringatan secara adil perlu dilontarkan untuk kebaikan bersama.
Firma Allah SWT: “Oleh itu berikanlah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran al-Quran) kerana sesungguhnya ia bermanfaat.” (Surah al-A’la, ayat 9)
Sebagai satu unit masyarakat, kita perlu bersatu padu kerana sinergi wujud daripada kesepaduan itu akan menghasilkan satu daya tolakan yang kuat untuk memacu pertumbuhan, kestabilan dan kemakmuran negara.
Perbezaan fahaman dan persengketaan yang menjadi batu penghalang perlu ditolak ke tepi kerana arus kemajuan yang kuat perlu diusahakan oleh seluruh masyarakat untuk mewujudkan sebuah masyarakat dinamik dan negara aman makmur serta mendapat kerahmatan daripada Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan