Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Jumaat, Disember 14, 2012

Ibadah bangunkan rohani, jasmani


Ibadah mempunyai skop yang luas, tidak hanya terhad kepada perkara ritual agama, tetapi juga merangkumi setiap aspek kehidupan manusia termasuk dalam melaksanakan pembangunan. 

Pelaksanaan pembangunan pula tidak mungkin menjadi ibadah kecuali mengikut kaedah yang telah ditetapkan. Oleh sebab ibadah mempunyai perkaedahan tertentu, sekali gus ibadah juga menjadi perkaedahan kepada pembangunan. 
Dua jenis ibadah 

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan (diri) kepada-Ku.” (Surah al-Dhariyat, ayat 56)

Ibadah terbahagi kepada dua jenis iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. Ibadah khusus ialah amalan yang disyariatkan Allah sama ada wajib atau sunat seperti solat, puasa, zakat, haji, doa, membaca al-Quran dan berdakwah.

Ibadah umum pula ialah semua amalan kebaikan yang disyariatkan Allah bagi menghubungkan manusia dalam masyarakat demi kebaikan dan keharmonian hidup bersama. Amalan kebaikan itu sama ada berbentuk fardu ain, fardu kifayah atau sunat. 

Contoh ibadah umum fardu ain ialah menuntut ilmu dan bekerja mencari nafkah, manakala ibadah fardu kifayah pula ialah melaksanakan pembangunan, menjalankan penyelidikan, berniaga dan mempertahankan negara.

Amalan kebaikan berbentuk sunat pula ialah seperti ziarah-menziarahi, tolong-menolong, bekerjasama dan sentiasa bertimbang rasa. 
Sebenarnya ibadah khusus membawa kepada pembangunan kerohanian, manakala ibadah umum membawa kepada pembangunan material dan fizikal. 

Bagi memastikan setiap bentuk ibadah yang dilakukan diterima Allah SWT, ia mesti mengikut kaedah pelaksanaan dan peraturan yang telah ditetapkan.

Dilaksana secara sepadu

Mengerjakan ibadah khusus, tiga perkara ini mesti dilaksanakan secara sepadu. Rasa ketauhidan kepada Allah sebagai tunjang, fekah menggariskan peraturannya dan akhlak pula menimbulkan rasa kelazatan dalam beribadah serta menghayatinya.

Bagi ibadah umum yang membawa kepada pembangunan fizikal pula, kaedahnya ditentukan oleh lima syarat.

Pertama, dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah; 

Kedua, isi atau kandungan usaha tidak melanggar syariat; 

Ketiga, pelaksanaannya mengikut syariat; 

Keempat, natijah atau hasilnya juga tidak bercanggah syariat; 

Kelima, segala usaha dan tugas tidak melalaikan mereka menunaikan ibadah khusus. 

Kaedah pelaksanaan setiap bentuk ibadah itu adalah ditunjangi oleh tauhid. Justeru, gabungan antara kaedah ibadah khusus dan ibadah umum membentuk satu kaedah pembangunan berteraskan Islam. 

Pembangunan menjadi alat manusia mengabdikan diri kepada Allah. 

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan (diri) kepada-Ku.” (Surah al-Dhariyat, ayat 56) 

Tiada ulasan: