SEKALI lagi Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, akan bergema dengan bacaan ayat suci al-Quran secara bertajwid dan bertaranum yang diperdengarkan qari serta qariah dari 43 negara.Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-54, bermula malam ini, menunjukkan komitmen Malaysia meneruskan tradisi memartabatkan al-Quran dan menyatupadukan umat Islam dari seluruh dunia. Lebih membanggakan, usaha negara selama ini mendapat sambutan negara Islam lain.
Buktinya, daripada 50 negara yang menyertai Majlis Tilawah Peringkat Antarabangsa ke-53 tahun lalu, 76 negara menghantar wakil mereka untuk memeriahkan tilawah peringkat antarabangsa kali ini yang berlangsung selama lapan hari dari 6 hingga 13 Julai.
Majlis perasmian malam ini akan disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. Tema majlis kali ini ialah al-Quran Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah.
Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa pertama diadakan di Malaysia pada 9 Mac 1961 bersamaan 22 Ramadan 1380. Penganjuran pada peringkat antarabangsa ini melahirkan ramai tokoh dalam tilawah al-Quran.
Sepanjang 54 tahun penganjuran tilawah peringkat antarabangsa, qari Malaysia muncul juara sebanyak 28 kali dan qariah Malaysia pula menjadi johan sebanyak 35 kali.
Peserta negara, Ahmad Maasom Pergau menjadi johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa pertama pada 1961 dan Faridah Mat Saman pula muncul johan peringkat antarabangsa pertama pada 1964.
Dalam sejarah tilawah itu, selain qari Malaysia, peserta dari Iran, Indonesia, Thailand, Libya, Kuwait dan Mesir juga pernah dinobatkan sebagai johan qari dan bagi qariah pula, peserta dari Indonesia, Thailand, Brunei, Filipina dan Pakistan pernah menduduki takhta johan qariah.
Penguasaan peserta dari Malaysia dalam tilawah peringkat antarabangsa memang tidak dinafikan, namun peningkatan peserta luar negara semakin bertambah baik dari masa ke semasa.
Peserta negara, Ismail Hashim dari Kedah dan Faridah Mat Saman dari Kelantan, paling banyak menjuarai tilawah membaca al-Quran peringkat antarabangsa. Mereka masing-masing muncul johan sebanyak lapan kali.
Ismail muncul johan qari pada 1963, 1965, 1966/67, 1969, 1970, 1971, 1974 dan 1975. Faridah pula johan pada 1964, 1965, 1972, 1976, 1977, 1989, 1990 dan 1991. Seorang lagi qariah negara, Rahmas Abdul menjadi johan sebanyak lima kali.
Peserta qariah negara yang lain, Rodziah Abdul Rahman dan Rogayah Sulong masing-masing muncul juara sebanyak empat kali dalam tilawah peringkat antarabangsa.
Tahun lalu, qari dan qariah negara, Amirahman Abas dan Suraya Abu Hassan, mengharumkan nama Malaysia apabila kedua-duanya diumumkan johan qari dan qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-53.
Pada Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-54 tahun ini, negara diwakili juara qari dari Kelantan, Muhammad Anuar Ghazali dan dan qariah dari Wilayah Persekutuan, Che Aminah Che Awang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan