HALAL membawa maksud luas mengenai tatacara hidup orang Islam yang menitikberatkan aspek halalan thoyyiba iaitu kesucian, amalan kebersihan dan kehidupan sihat. Dari sudut pandangan Islam, makanan yang baik lagi halal mampu membentuk ketrampilan peribadi seseorang yang akhirnya menyumbang kepada pembentukan ummah.
Sebagai umat Islam kita wajib memastikan sumber makanan dan minuman adalah halal dan memenuhi panduan pemakanan syariat Islam.
Sebagai umat Islam kita wajib memastikan sumber makanan dan minuman adalah halal dan memenuhi panduan pemakanan syariat Islam.
Ia mestilah selari dengan syariat, tidak bercanggah dan disertai keikhlasan kepada Allah SWT. Makanan halal di sisi syarak adalah makanan bersih zatnya, suci kaedah perolehannya serta bebas dari sebarang kemudaratan, sebaliknya makanan haram sekalipun lazat tetap keji di sisi Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu.” (Hadis riwayat Muslim)
Oleh itu, seorang Islam sama ada pengusaha makanan halal dan individu hendaklah mengambil kira setiap perkara dari segi modal perniagaan, pelaburan, hasil pendapatan serta hendaklah dijauhi unsur haram seperti judi, riba atau rasuah.
Ajaran Islam amat menitikberatkan persoalan makanan halal dan bersih kerana makanan haram yang dimasukkan ke dalam tubuh seseorang akan membawa kepada kesan mendalam terhadap tingkah laku, budi pekerti, kejernihan hati serta penerimaan doa kepada Allah SWT.
Panduan pemakanan dalam Islam adalah berlandaskan konsep memberi kemudahan, menjaga nyawa, menjamin kesihatan tubuh badan dan akal. Kerana itu setiap makanan yang memberi manfaat kepada tubuh badan dan akal fikiran dibenarkan oleh syarak.
Firman Allah yang bermaksud: “Oleh itu, makanlah dari apa yang dikurniakan Allah kepadamu dari yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu menyembah-Nya. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa sedang ia tidak dianiaya dan tidak melampaui batas; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Manakala yang haram dan memudaratkan fikiran serta badan diharamkan dan ditegah.” (Surah al-Nahl ayat 114-115)
Syed Qutb dalam Tafsir Fi Zilalil Quran menyatakan, sama ada ilmu manusia dapat mengetahui hikmah pengharaman sesuatu perkara atau tidak, namun yang pasti, Allah Maha Mengetahui dan amat mengatasi keupayaan kita untuk mengetahui sesuatu perkara. Allah tidak mengharamkan sesuatu, kecuali pasti perkara itu mempunyai bahaya dan kemudaratannya.
Ulama terkenal, Abdullah Sahl al-Tusturi berkata, sesiapa yang makan makanan haram, maka akan bermaksiatlah anggota tubuhnya sama ada atas kehendaknya atau tidak, sama ada dia tahu atau tidak dan sesiapa makan makanan yang halal, maka seluruh anggota tubuhnya akan tunduk taat dan mudah melaksanakan kebajikan. Berdasarkan kepada pandangan ini menunjukkan pemakanan halal mempunyai kedudukan penting dalam kehidupan di dunia ini dan berkait rapat dengan balasan hari akhirat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mana-mana hamba, dagingnya itu tumbuh dari perkara yang haram dan amalan riba, api nerakalah yang patut (untuk membakar dan menghilangkan) daging itu.” (Hadis riwayat Ibn Marduiah)
Dalam mengharungi perkembangan semasa di era global dunia hari ini, banyak makanan dan minuman ditawarkan kepada kita perlu diperiksa dan diteliti sebaiknya. Perkara yang halal lagi baik hendaklah menjadi keutamaan manakala yang haram dan tidak baik semestinya dihindari.
Kita juga dituntut menjauhi barang syubhah yang mengelirukan dan tidak jelas hukumnya. Kita sepatutnya berwaspada supaya tidak mengambil atau mencubanya melainkan setelah dipastikan halal dan kebaikannya kerana makanan dan minuman syubhah boleh mengheret kepada penggunaan barangan haram secara tidak disangka-sangka.
Ada peniaga yang tidak bertanggungjawab memperdayakan pengguna seperti memalsukan logo halal atau menggunakan logo halal pada produk haram. Walaupun matlamat perniagaan untuk mencari rezeki dan mendapat keuntungan, namun soal keberkatan dan keikhlasan tidak boleh diketepikan atau dipandang remeh.
Mereka yang melakukan penipuan ini sebenarnya telah mengkhianati masyarakat Islam dan melakukan amalan syaitan yang menyesatkan. Akta Perihal Dagangan 2011 diharap dapat membantu mengatasi masalah ini dan semua pihak perlu mematuhi akta yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan