ANDAINYA setiap individu muslim memahami dan menyedari betapa cintanya Allah SWT kepada orang yang berbuat baik, sudah tentu dia akan merebut cinta Allah itu dengan mengisi setiap ruang waktu kehidupannya berbuat amal salih.
Dan sesiapa mengerjakan sesuatu dosa, maka sesungguhnya dia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. - Surah al-Nisa, ayat 111
Jika setiap muslim itu benar-benar menginsafi betapa Allah SWT sangat membenci perlakuan jahat dan maksiat, sudah tentu dia akan berasa takut untuk mendekati segala perbuatan jahat dan mungkar. Jika sudah terlanjur, dia akan segera meninggalkannya dan bertaubat kepada Allah SWT.Mukmin yang menjerumuskan dirinya dalam perlakuan jahat dan amalan mungkar sebenarnya terdedah kepada dosa, kemurkaan serta balasan Allah SWT sama ada di dunia atau akhirat kelak. Inilah perlu ditakuti muslim yang masih tidak mengendahkan tegahan Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesiapa mengerjakan sesuatu dosa, maka sesungguhnya dia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’, ayat 111)
Mereka yang meninggalkan larangan Allah SWT melalui fasa perubahan yang dinamakan hijrah atau transformasi diri. Tindakan ini perlu dilakukan setiap masa kerana amalan muhasabah memang digalakkan dan diterjemahkan usaha berubah kepada lebih baik dalam bentuk perlakuan.
Mukmin yang sengaja tidak menghiraukan tegahan Allah dibimbangi ajal menjemputnya lebih dulu sebelum sempat bertaubat. Dinyatakan dalam hadis, Allah SWT cemburu kepada hamba-Nya yang melakukan perkara ditegah.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT memiliki sifat cemburu, dan kecemburuan Allah itu ialah apabila orang mukmin melakukan perbuatan yang diharamkan oleh-Nya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sesungguhnya akhlak yang mulia adalah buah daripada ibadah yang sempurna. Ibadat yang difardukan Allah SWT seperti solat lima waktu, puasa, zakat fitrah dan ibadah haji, selain bukti kepatuhan kepada Allah SWT, juga membentuk pelakunya menjadi manusia berakhlak mulia.
Dengan kemuliaan akhlak itulah, manusia mampu menjauhi segala amalan mungkar yang ditegah Allah SWT.
Mukmin yang insaf bahawa hidup ini sementara dan amat singkat, sedangkan masa berlalu setiap saat adalah usianya, akan memandang umurnya masih berbaki itu sangat bernilai dan tidak wajar dibazirkan kepada perkara sia-sia.
Apalagi menjerumuskan diri ke kancah kejahatan dan maksiat. Hidup ini sebenarnya adalah kesempatan emas untuk memburu dan berlumba-lumba mengejar amal kebajikan sebagai bekalan menemui Allah SWT kelak.
Diceritakan, suatu hari seorang lelaki yang gemar berbuat maksiat datang menemui ahli sufi bernama Ibrahim bin Adham untuk meminta nasihat (dengan harapan ia dapat meninggalkan amalan maksiatnya).
Ibrahim bin Adham lalu menasihati lelaki itu dengan berkata: “Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu lakukan maksiat.”
Syaratnya ialah, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan (kamu) makan rezeki-Nya; jika kamu berbuat maksiat, jangan tinggal di bumi-Nya, jika kamu masih bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat dilihat oleh-Nya.
Jika malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakan kepadanya, ketepikan kematianku dulu kerana aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal salih. Jika malaikat Zabaniah datang hendak mengiringimu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya.
Nasihat Ibrahim bin Adham itu amat menusuk kalbunya, membuatkan lelaki berkenaan insaf. Air matanya bercucuran kerana tidak tahan mendengar nasihat sangat mengesankan dan sedar bahawa semua syarat itu tidak mampu dilaksanakannya. Mulai saat itu dia bertaubat kepada Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan