Konflik di kalangan kakitangan boleh diselesai dengan dakwah, kaunseling semangat
PANDANGAN serta kata-kata nasihat secara berhikmah dalam interaksi seharian adalah satu bentuk komunikasi dakwah atau kaunseling berkesan yang murah, mudah serta boleh dilakukan sesiapa saja kerana ia antara kaedah berkesan penyelesaian masalah, termasuk di tempat kerja.
Malah, susah dan senang adalah asam garam kehidupan sama ada dalam urusan kerjaya, perhubungan, kewangan mahupun kesihatan.
Indahnya Islam, kita diingatkan di sebalik dugaan atau cabaran itu ada hikmah lebih besar.
Antaranya mendekatkan diri, menguatkan hati dan lebih menghargai nikmat Maha Pencipta. Ia juga untuk menguji sejauh mana kesabaran kita serta membuka peluang mendapat ganjaran dan kebaikan yang lebih tinggi.
Sesuatu masalah atau konflik di tempat kerja seperti ketidakpuasan hati, perselisihan faham, tugasan diberi, cara atau bentuk arahan, keputusan, polisi, kenaikan pangkat, tidak dapat dielakkan kerana pandangan, cara berfikir serta pengharapan seseorang itu berbeza-beza.
Namun, yang utama cara kita mengurus dan berdepan situasi itu supaya ia tidak menggugat kualiti, menjejaskan imej diri serta organisasi pada mata pelanggan.
Hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana setiap anggota itu adalah saham dan modal yang akan menentukan untung rugi serta keharmonian sesebuah organisasi. Bahkan untuk melihat kejayaan sesebuah organisasi, lihatlah anggotanya.
Apatah lagi jika konflik dalaman menimbulkan ketegangan suasana, ada yang tampil meluahkan ketidakpuasan hati, membuat aduan, memohon dipindahkan ke bahagian lain, sering tidak hadir ke pejabat, tidak memberikan tumpuan atau kerjasama baik apabila diminta.
Kesan ini sangat merugikan jika tidak ditangani dengan bijaksana melalui komunikasi berkesan seperti kata nasihat, pandangan, saranan dan bimbingan bersifat mententeramkan, menstabilkan emosi, menjernihkan keadaan, mengikis sikap dan pandangan negatif terhadap orang lain.
Menurut Dr Abd Karim Zaidan dalam Usul al-Da’wah, semua usaha itu adalah nasihat pengajaran baik yang mampu menyuntik semangat dan sokongan.
Firman Allah yang bermaksud: “Serulah (wahai Muhammad) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran baik dan berbahaslah dengan mereka dengan lebih baik.” (Surah al-Nahl, ayat 125)
Profesor Dr Yusof al-Qaradawi berkata, yang perlu dinasihatkan adalah untuk menghindarkan sifat berputus asa dan tersangat bersedih hati kerana ia akan hanya melemahkan seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu bersifat lemah dan bersedih, padahal kamu orang yang beriman.” (Surah Ali-Imran, ayat 139)
Sering kali konflik dianggap sebagai masalah individu dan jika berkaitan dengan hubungan antara staf pula, ia hendaklah diselesaikan antara mereka tanpa membabitkan pihak majikan. Malah, kesannya juga tidak dilihat secara langsung berkait dengan integriti dan produktiviti pekerja.
Akibatnya, banyak masalah boleh diselesaikan secara komunikasi tidak dapat dirungkai dengan segera menyebabkan ia berlarutan sehingga yang kecil menjadi besar dan rumit.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang Mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujrat, ayat 10)
Usaha secara komunikasi dakwah dan kaunseling boleh dilakukan sesama rakan terutama oleh staf lebih berusia atau berpengalaman kepada yang muda dan masih baru, pegawai atasan serta majikan. Bagi pihak majikan, ini boleh dilakukan secara formal dengan menubuhkan unit kaunseling.
Sesetengah jabatan sudah mengambil inisiatif ini sesuai panduan dan saranan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 tahun 2009, Pelaksanaan Aplikasi Psikologi: Budaya Kerja Pencapaian Diutamakan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Ia membabitkan aktiviti khidmat runding, motivasi dan kepuasan kerja pegawai. Aplikasi ini bertujuan mewujudkan pegawai memiliki nilai, etika kerja dan sikap positif serta berupaya mengurus isu serta masalah psikologi di tempat kerja.
Usaha ini bukan sekadar menjadikan organisasi tempat yang menyeronokkan atau ibarat rumah kedua, malah dapat mengeratkan lagi silaturahim, menghasilkan perkhidmatan dan produk berkualiti, lebih utama ia mengundang rahmat kepada semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan