Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Jumaat, November 04, 2011

Khutbah Jumaat: Ganjaran haji mabrur perlukan pengorbanan


PADA saat ini umat Islam seluruh dunia sedang menunaikan ibadah haji, salah satu Rukun Islam dan satu kewajipan mesti ditunaikan bagi mereka yang memenuhi syarat ditentukan syarak. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; antaranya ialah) makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” (Surah Ali-Imran ayat 97)
Berdasarkan kesungguhan dan pengorbanan tinggi jemaah haji membuat persiapan melaksanakan ibadah itu, maka diharapkan mereka mendapat ganjaran setimpal daripada Allah SWT dengan memperoleh haji yang mabrur.
Haji mabrur adalah haji yang diterima dan dikurniakan ganjaran syurga oleh Allah SWT. Ini adalah kedudukan paling tinggi dan istimewa, malah ingin dikecapi sesiapa saja yang menunaikan ibadah haji. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: Satu umrah dengan umrah yang lain adalah penghapus dosa dan haji mabrur (diterima) amalannya, tidak dibalas baginya melainkan dengan syurga.” (Hadis riwayat al-Bukhari) 

Ganjaran besar ini tidak memungkinkan seseorang itu mencapainya dengan begitu mudah. Bahkan akan menghadapi pelbagai kesukaran, pengorbanan serta cabaran berasaskan kekuatan iman dan takwa. 

Secara umumnya, seseorang yang ingin mencapai haji mabrur di sisi Allah hendaklah melaksanakan beberapa perkara dengan ikhlas. Imam Nawawi menjelaskan dalam kitab Syarah Muslim, haji yang mabrur adalah yang tidak bercampur dengan dosa dan tidak riak. 
Kedua, sumber yang halal seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik.” (Hadis riwayat Muslim) 

Justeru, sewajarnya sebagai seorang yang akan menunaikan haji meneliti dan bermuhasabah kembali segala pendapatan, perbelanjaan, bekalan dan pakaiannya daripada sumber yang halal. 

Mempelajari ilmu berkaitan ibadah haji dan umrah. Syeikh Mustafa az-Zarqa’ dalam buku Fatwa Hukum Haji dan Kelebihannya ketika ditanya makna haji mabrur, menyatakan ciri haji yang diterima antaranya tidak melampau dalam mengerjakan kewajipan haji, tidak mengabaikan adab haji dan sunnahnya. 

Memperbanyakkan taat, ibadat, sedekah, menjadi teladan (kepada orang lain) dengan memiliki budi pekerti baik, memberi makan sekadar kemampuan, berkata-kata dengan lembut, dapat mengawal setiap cabaran ditempuh, bersikap berlapang dada dan pemaaf, kembalinya dari haji dengan memandang tinggi kehidupan akhirat dan berniat kekal (seperti keadaan itu) dan istiqamah. 

Oleh itu, umat Islam dinasihatkan berusaha mendalami ilmu berkaitan pelaksanaan ibadah haji dan umrah supaya segala perbuatan dan adab dilaksanakan dengan betul dan sempurna. Perbuatan cela perlu dijauhi kerana tujuan asal untuk menyucikan dosa. 

Perkara khurafat seperti mengusap makam Nabi Ibrahim, menanam batu di Arafah, memotong kelambu Kaabah, mencari tiang jin perlu dijauhi. 

Banyak juga persoalan ditimbulkan bahawa mereka yang memperoleh haji mabrur dikatakan akan mengalami peristiwa pelik antaranya tersesat dalam perjalanan, hilang harta benda atau mendapat mimpi. 

Pandangan ini tidak betul kerana ibadah haji seseorang itu diterima ataupun ditolak Allah SWT dilihat setelah kembali dari menunaikan haji. 

Al-Khawwas dalam kitab Bughyatul Mustarsyidin berkata, setelah kembali mengerjakan haji, mereka berakhlak dengan akhlak Rasulullah SAW, tidak mencebur diri dalam dosa dan tidak memandang dirinya lebih tinggi daripada seorang hamba Allah SWT, tidak berebut mendapat sesuatu daripada perkara dunia. Manakala tanda tidak di terima ialah mereka kembali kepada keadaan sebelum mengerjakan haji. 

Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 

Tiada ulasan: