Penerimaan masyarakat penting, antara lain mampu mengekalkan kesinambungan pelaksanaan operasi ketenteraan. Dengan sokongan, kerjasama serta pengorbanan semua masyarakat, ATM akan berupaya menempa kejayaan memartabatkan integriti pertahanan demi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan strategik negara.
Transformasi dilalui ATM antaranya melalui kepemimpinan berwibawa bagi menentukan sebarang perubahan yang berlaku menjana impak positif. Kepemimpinan berwibawa dalam pengurusan akan menentukan pencapaian yang tinggi dan sistematik.
Malah, pendekatan kepemimpinan yang berkesan mampu memberi kepuasan serta memperkasa semangat juang warga ATM untuk berkorban demi agama dan negara.
Sesungguhnya umat Islam beruntung kerana mempunyai contoh unggul pemimpin iaitu Rasulullah SAW. Baginda dikagumi bukan saja oleh umat Islam malah disanjung musuh Islam kerana mempunyai kebolehan memimpin, bertanggungjawab dengan penuh amanah selari dengan kehendak Allah SWT.
Pahlawan Islam Solahuddin al-Ayubi menjadikan model kepemimpinan ini sehingga dapat menundukkan Recon the Lion dan berjaya membebaskan bumi Palestin.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat al- Bukhari)
Sesungguhnya menghayati konsep kepemimpinan Rasulullah SAW dan menerapkan nilai ketenteraan Islam dalam warisan sejarah silam akan menjadi nilai tambah ke arah meningkatkan ketrampilan, kegagahan serta tahap profesionalisme angkatan tentera kita.
Lantaran itu, gabungan kesepaduan dan kebersamaan antara organisasi ATM, masyarakat dan lainnya perlu diterapkan bagi menjamin serta memastikan kesejahteraan bersama, selaras gambaran dijelaskan Rasulullah SAW.
Sabda Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang mukmin bagi seorang mukmin lain seperti sebuah bangunan, sokong menyokong antara satu sama lain, dan Rasulullah SAW mengisyaratkan dengan menyilangkan antara jari jemari Baginda.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Justeru, seluruh warga Malaysia hendaklah memberi dokongan yang padu kepada seluruh warga angkatan tentera.
Moga-moga ia akan menyemarakkan lagi iltizam dan tahap profesionalisme mereka untuk terus menjadi benteng pertahanan negara yang ampuh, berwibawa serta sentiasa berusaha memberi khidmat terbaik demi kepentingan rakyat dan negara tercinta.
Mudah-mudahan masa depan pewaris generasi kita akan terus dapat menghirup udara segar keamanan dan keselamatan bumi Malaysia bertuah ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah an-Nisaa, ayat 58)
Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
2 ulasan:
Sesungguhnya Rasulullah adalah idola dan contoh terbaik dalam menjalani kehidupan seharian..
yup..moga kita mampu mengikuti sgala sunnah Baginda
Catat Ulasan