MAIJ |
Alim ulama pada ketika itu dilantik menjadi penasihat dengan diberi gelaran Guru Sultan. Raja-Raja Melayu dan pemimpin Melayu sudah menggubal dasar dan undang-undang yang dilaksanakan dengan mengambil kira kedudukan Islam sebagai agama negara dengan memasukkan Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam di bawah kuasa Sultan dan Raja.
Hari ini segala-galanya berlalu, tanpa langkah yang strategik, berani, umat Islam dibimbangi sedang menghitung hari, berada di ambang untuk menghadapi nasib bermusafir kelana di rumah sendiri. Disebabkan keadaan ini maka kedudukan dan kedaulatan agama Islam semakin hari makin dicabar, perpaduan umat Islam juga semakin rapuh serta imej Majlis Agama Islam diperlekehkan sama ada dari segi bidang kuasa dan fungsi.
Ramai dalam kalangan umat Islam pada hari ini tidak menghormati pandangan serta kewibawaan bahkan ada yang mempertikaikan titah Sultan yang menaungi kuasa Majlis Agama Islam. Mimbar ingin menegaskan antara punca kepada berlakunya perkara ini ialah terdapat sesetengah pihak yang mengutamakan kepentingan politik mengatasi kepentingan agama. Kedudukan Majlis Agama Islam dipandang rendah dan dianggap hanya sebagai agensi kerajaan semata-mata, akibatnya kedaulatan dan bidang kuasa sebagai pihak berkuasa agama dinafikan, kesucian akidah Islam diseret menjadi percaturan politik dan perpecahan dalam kalangan umat Islam menjejaskan fungsi dan peranan Majlis Agama Islam.
Penghakisan martabat Islam di bumi ini bukanlah sesuatu yang tidak mungkin terjadi atau tidak di rancang secara tersirat baik dari dalam mahupun dari luar negara. Jika dihalusi pencerobohan terhadap Islam bukan saja tampak berlaku, tetapi berlaku dalam terang lagi bersuluh. Ia mungkin bermula dengan satu jamuan, satu nyanyian, satu perkhemahan, satu lawatan. Ia mungkin bermula dari segenggam garam, setahil emas, ia mungkin dari satu kalimah, satu ceramah. Jika umat Islam masih lagi belum insaf, masih lagi berdegil dan masih lagi sombong mempertahankan ego, memilih untuk bertelagah, maka umat Islam sebenarnya sudah memberikan petanda yang salah, petanda seolah-olah menggalakkan pencerobohan lebih besar boleh berlaku ke atas umat Islam dan institusi Islam.
Mimbar ingin mengingatkan pencerobohan boleh berlaku melalui manipulasi fakta sejarah, melalui perbuatan mempersendakan lagu kebangsaan, penghinaan bendera negara, melalui pelanggaran menghormati kalimah suci Allah yang sekian lama eksklusif kepada umat Islam. Oleh kerana itu umat Islam wajib menghayati semangat Bersatu Teguh Bercerai Roboh. Kita hendaklah berpegang teguh kepada ajaran Islam supaya kita tidak diceroboh, hilang pedoman, dihina dan sebagainya.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-An’am ayat 153 bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (lain dari Islam), kerana jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu daripada jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.”
Imam Hasan al-Bana dalam kitabnya Usul Ishrin mengariskan Islam ialah sistem yang syumul, merangkumi seluruh aspek kehidupan, Islam adalah negara dan watan, pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan, rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang, ilmu dan kehakiman. Islam merangkumi material dan harta benda, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan fikrah, akidah yang benar dan ibadat yang sah. Majlis Agama Islam wajib menghayati tafsiran yang sedemikian dalam hasrat melakukan transformasi peranan, agenda dan pendekatan. Justeru mimbar menyeru kepada semua pihak demi kedaulatan agama Islam di negara ini, marilah sama-sama kita memperkasakan kedudukan Majlis Agama Islam, mengembalikan bidang kuasa dan fungsinya, memperbetulkan pandangan terhadap Majlis, meningkatkan komitmen untuk mempertahankan kedaulatan agama Islam dan pelaksanaan dasar Majlis Agama Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan