Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Khamis, Mei 12, 2011

Rasulullah didik sahabat dengan akhlak mulia

Gambar Hiasan

   Kepincangan dalam hidup banyak disebabkan sikap 'tidak benar' demi mengejar dunia 

PERKARA paling mudah dilakukan bagi menonjolkan Islam sebagai agama yang benar dan mengajak kepada kebaikan ialah dengan berakhlak mulia kerana setiap manusia mampu berbuat baik sesama makhluk, menjauhi maksiat dan kezaliman.
Caranya, menjadikan amal dan perbuatan Rasulullah SAW sebagai model kerana itu asas dibina Rasulullah SAW ketika membina masyarakat Islam selepas hijrah iaitu membentuk sahsiah mulia.
Umum tahu bukan mudah menyatupadukan hati, tetapi ia dilakukan Rasulullah SAW dengan mudah meskipun ada cabarannya kerana akhlak ditonjolkan Baginda menjadi pengajaran paling berkesan berbanding keyakinan diberikan sahabat di sekelilingnya. 

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu.” (Surah Al-Ahzab, ayat 21) 

Sejarah membuktikan keperibadian mulia membentuk masyarakat yang cemerlang tamadunnya kerana ia tidak mampu dimusnahkan fitnah. Rahsia kejayaan Rasulullah SAW membentuk barisan sahabat yang kukuh dan mantap sahsiah dipaparkan dalam al-Quran. 

Tanpa apa-apa kepentingan di dunia, Baginda memimpin orang kanannya dengan keluhuran Islam, ada wahyu Baginda sampaikan, ada kebuntuan Baginda bermusyawarah. Laba ini menjayakan kepemimpinan yang akhirnya dikagumi kerana integriti, bukan kepentingan diri. 
Ia juga kerana Baginda tahu sahsiah adalah asas pembinaan diri setiap individu yang menentukan jatuh bangunnya bangsa serta faktor pembinaan sesebuah tamadun dan hadharah, bahkan ini sebab utama diutuskan Rasulullah SAW. 

Diriwayatkan Ahmad dan Al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” 

Antara sahsiah mulia ditunjukkan Rasulullah SAW kepada sahabat ialah bersifat benar, sabar dan pemaaf. Benar meliputi perbuatan, perkataan dan gerak hati. Tidak ada sekelumit perbuatan menyebabkan kemurkaan Allah dijadikan ikutan. 

Hari ini, kebanyakan kepincangan urusan pentadbiran, hatta dalam institusi kekeluargaan sekalipun adalah disebabkan sikap ‘tidak benar’ yang menjadi taruhan demi kemenangan di dunia. 

Selain itu, sabar dalam semua keadaan adalah perkara paling mudah tetapi sukar dilakukan jika hati kita tidak reda terhadap qada dan qadar Allah. Sifat sabar dibentuk Rasulullah sehingga dikagumi sahabat dan musuh yang bersama Baginda semasa hayatnya. 

Tidak tergambar betapa kesabaran Rasulullah menyelamatkan agama dan usaha syiar Baginda akhirnya dapat dinikmati seluruh Muslim hari ini. 

Menghadapi fitnah dan ancaman musuh yang datang dari segenap ceruk sukar ditepis, apatah lagi fitnah terhadap Rasulullah, tetapi daripada api yang asalnya sukar dihidupkan, fitnah akhirnya menjadi bara yang tidak padam. 

Sehingga ke hari ini Rasulullah SAW masih menjadi bahan jenaka dan cacian golongan kuffar, tetapi Islam tetap rendang menaungi, kerana sikap sabar yang Baginda pusakakan menjadi ‘tuan’ kepada khalayak nafsu. 

Satu sifat mulia yang ditonjolkan Rasulullah SAW ialah sifat pemaaf terhadap kesilapan dilakukan sahabat dan musuh, mudah bertolak ansur serta tidak pernah marah melainkan kesalahan itu dilakukan kepada Allah. 

Rasulullah tidak pernah melemahkan diri Baginda dengan menghukum orang lain ataupun tenggelam oleh rasa marah yang mengawal akal. Ketenangan Baginda menggambarkan peribadi baik dan menunjukkan personaliti disukai ramai. 

Justeru, antara tunjang membela agama ialah memiliki sahsiah mulia. Cara terbaik membentuknya ialah dengan pendidikan ‘qudwah hasanah’ atau model amali untuk ikutan yang baik. Setiap individu haruslah berperanan sebagai qudwah antara satu sama lain. 

Aspek harus diambil perhatian ialah peribadi yang seimbang dalam pemikiran, tindakan sikap sikap terhadap konsep berilmu, beramal dan berakhlak yang sebenar. 



1 ulasan:

syahnabil@duitcyber berkata...

Assalamualaikum...Mudah-mudah kita berjaya mendidik diri& keluarga kita ke Jalan yang diredhai Allah...