Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Khamis, Februari 12, 2009

Safiyah membunuh musuh Islam

SAFIYAH binti Abdul Mutalib adalah ibu saudara Nabi Muhammad. Ayahnya, Abdul Mutalib bin Hasyim adalah pemimpin kaum Quraisy yang disegani. Dia adalah adik kandung kepada Hamzah bin Abdul Mutalib yang digelar 'Singa Allah' dan digeruni oleh pihak musuh Islam.

Safiyah melibatkan diri dalam perang mengikut batasan-batasan yang dibenarkan oleh Islam. Dalam Perang Uhud, Safiyah dan wanita Muslimah membantu tentera Islam yang berperang dengan memberikan air minuman dan merawat mereka yang luka.

Pada awalnya, tentera Islam meriah kemenangan. Namun kemudian mereka ingkar perintah Nabi lalu turun dari Bukit Uhud bagi mendapatkan harta rampasan perang. Apabila pihak musuh melihat hanya tinggal seorang dua tentera Islam yang mengawal Bukit Uhud, mereka berpatah balik menyerang tentera Islam semula.

Akibatnya, tentera Islam mengalami kekalahan mengejut sehingga ramai tentera Islam lari menyelamatkan diri daripada dibunuh pihak musuh.

"Mengapa kamu semua lari dari medan perang dan meninggalkan Rasulullah seorang diri," jerit Safiyah dengan mengangkat tombak di tangan. Beliau mengarah kepada tentera Islam yang melarikan diri.

Namun, tiada seorang tentera Islam yang mempedulikan jeritan Safiyah dan terus lari meninggalkan medan peperangan. Hanya beberapa pahlawan Islam bergadai nyawa menyelamatkan Nabi daripada kepungan tentera pihak musuh. Hamzah terbunuh dalam perang ini dan berita kematiannya sampai ke telinga Safiyah.

"Suruh ibu kamu pulang ke rumah supaya dia tidak sedih dan terkejut melihat keadaan mayat ayah saudara kamu yang diperlakukan dengan kejam," kata Nabi kepada Zubir apabila mengetahui Safiyah sedang menuju ke tempat jasad tentera-tentera Islam yang dikumpulkan untuk dikebumikan.

"Nabi meminta ibu pulang ke rumah." Zubir menyampaikan pesanan nabi apabila bertemu dengan ibunya.

"Ibu sudah mengetahui tentang keadaan mayat ayah saudara kamu. Insya-Allah, ibu dapat bersabar dan tabah melihat mayatnya sebelum dia dikebumikan," balas Safiyah dengan nada tenang.

Sifat kepahlawanan Safiyah terserlah dalam perang Khandak. Apabila Nabi dan angkatan tentera Islam keluar dari kota Madinah bagi menentang pihak musuh, kaum wanita dan kanak-kanak ditempatkan di dalam satu rumah sebagai benteng pertahanan. Hasan bin Thabit, penyair pada zaman itu ditugaskan bagi melindungi rumah itu daripada bahaya.

"Saya mahu pergi mengintip rumah yang menjadi benteng pertahanan pihak Islam. Seandainya tidak ada kaum lelaki di dalam rumah itu, kita dapat serang dan menangkap semua kaum wanita dan kanak-kanak bagi dijadikan tebusan. Sudah tentu tentera Islam yang berjuang di luar itu mengaku kalah," kata ketua kaum Yahudi keturunan Quraizah kepada pengikutnya.

"Kami akan menunggu di bawah benteng ini dan menunggu arahan tuan," balas pengikutnya yang bersetuju dengan cadangan ketua mereka.

"Saya melihat ada seorang Yahudi yang sedang mundar-mandir rumah kita. Saya bimbang sekiranya dia perisik kepada orang Yahudi berketurunan Quraizah," komen Safiyah kepada Hasan yang masih duduk mendiamkan diri.

"Saya minta kamu keluar dari rumah ini dan bunuh Yahudi itu sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada kita semua," pinta Safiyah kepada Hasan yang belum menunjukkan apa-apa reaksi.

"Kamu sahajalah keluar dan bunuh Yahudi itu," balas Hasan dengan muka bersahaja.

"Kamu lupa saya ini adalah seorang wanita." Safiyah mengingatkan statusnya kepada Hasan apabila mendengar kata-kata Hasan itu.

"Safiyah, saya hanya penyair dan bukannya pahlawan. Seandainya saya pahlawan, sudah tentu saya mengikuti Nabi ke medan peperangan," Hasan mendedahkan perkara sebenar tentang dirinya.

"Sekiranya begitu, biar saya mencari jalan lain bagi menghapuskan Yahudi itu." Safiyah kecewa dengan jawapan Hasan itu.

Dia mencari sebatang kayu yang paling keras dan keluar dari rumah itu dengan penuh berhati-hati. Safiyah berjalan perlahan-lahan mencari orang Yahudi yang mengelilingi rumah itu.

Apabila dia berjaya menemuinya, dia memukul kepala Yahudi itu dengan kuat sehingga Yahudi itu rebah menyembah bumi.

"Saya sudah bejaya membunuh Yahudi itu. Sekarang, kamu pergi ambil barang-barang yang ada pada mayat Yahudi itu," kata Safiyah kepada Hasan.

"Mengapa kamu tidak mengambil barang-barangnya selepas kamu membunuhnya tadi?" tanya Hasan dengan pantas.

"Tidak manis sekiranya saya mengambil barang-barang daripada badan seorang lelaki," balas Safiyah dengan nada sindiran.

"Saya tidak memerlukan barang-barang Yahudi itu. Kamu sahajalah ambil barang-barangnya," Hasan menolak permintaan Safiyah itu.

Safiyah yang kecewa dengan kata-kata Hssan, keluar sekali lagi dari rumah itu. Dia menghampiri mayat Yahudi itu. Dia mencampakkan Yahudi itu ke bawah benteng itu.

"Lebih baik kita beredar dari sini. Saya rasa Rasulullah sudah menempatkan beberapa pahlawan Islam bagi melindungi kaum wanita dan kanak-kanak di rumah itu," lapor salah seorang Yahudi Bani Quraizah.

"Lihat buktinya sekarang!" kata salah seorang pengikut mereka apabila melihat mayat ketua mereka di bawah benteng.

"Mungkin benar kata kamu. Lebih baik kita melarikan diri sebelum kita menjadi mangsa pahlawan Islam," ajak seorang lagi pengikut kaum Yahudi yang mula melarikan diri.

Safiyah adalah wanita Islam pertama yang berjaya membunuh musuh Islam. Dia tidak gentar walaupun tiada seorang lelaki pun yang membantunya semasa menghadapi Yahudi itu.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

uhh,.artikel ni aq tawu..kuar kat utusan an?

aRiF FiTri berkata...

aa..menarik ak msok la dlm blog ak..