Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Sabtu, Januari 17, 2009

Remaja teras kekuatan umat



DUNIA sekali lagi menyaksikan kekejaman yang dilakukan ke atas bumi Palestin. Kali ini Semenanjung Gaza dibedil dengan hebatnya, kononnya untuk menghapuskan pejuang-pejuang Hamas yang dilabel pengganas oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.

Sungguhpun begitu, tempat-tempat awam seperti hospital, masjid dan universiti pula yang disasarkan dengan bedilan bom, lantas mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa.

Serangan darat menambah buruk lagi keadaan rakyatnya. Lebih 800 nyawa sudah gugur dan beribu-ribu lagi cedera dalam permainan senjata Israel. Apatah lagi dengan sekatan bekalan makanan dan ubat-ubatan, kelangsungan hidup rakyat Palestin kini sangat kritikal dan mereka hidup dalam keadaan yang sangat memilukan.

Di kaca televisyen, kita boleh melihat visual bom berangkai dilepaskan sewenang-wenangnya di tempat awam, seolah-olah nyawa rakyat Palestin seperti sudah tiada harga lagi.

Tindakan provokasi

Persengketaan Palestin-Yahudi Israel bukanlah sesuatu yang baru. Negara Palestin adalah tempat lahir dan tinggal sebahagian besar para Rasul dan Nabi Allah menyebarkan Islam, kawasan terletaknya Masjid al-Aqsa, tempat berlakunya Israk dan Mikraj serta kiblat pertama umat Islam.

Menurut sumber sejarah, bangsa Yahudi hanya duduk memerintah selama empat kurun sahaja semenjak zaman Nabi Allah Daud, Nabi Sulaiman dan dijajah pula oleh bangsa Parsi dan Rom selepas itu. Umat Islam pula telah memerintahnya semula selama 12 kurun semenjak ditadbir oleh Saidina Umar r.a pada tahun 636 Masihi sehingga diambil alih oleh Kerajaan Uthmaniah.

Puak Yahudi tidak berputus asa dan dengan sokongan Britain yang berjanji untuk mewujudkan negara Yahudi di bumi Palestin, mereka telah mempengaruhi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengeluarkan Ketetapan 181 (UNISCOP 1947) pada November 1947. Ketetapan ini telah membahagikan 55 peratus tanah Palestin kepada pendatang haram Yahudi dan selebihnya diserah kepada penduduk asal Palestin yang sah.

Akhirnya Yahudi berjaya menubuhkan negara Israel secara haram pada 1948 dengan sokongan Britain dan nasionalis Arab Palestin. Ia bercanggah dengan prinsip PBB sendiri kerana tidak mengambil kira hak dan suara rakyat Palestin.

Peperangan Arab-Israel yang diakhiri dengan kekalahan di tangan Arab akibat kelemahan pimpinan politik dan tentera telah memberi peluang kepada Israel menambah peluasan wilayah mereka kepada 78 peratus wilayah Palestin.

Sekutunya Amerika Syarikat (AS) merestui tindakan peperangan Israel dan baru-baru ini menolak pelan damai Hamas-Israel dengan hujah bahawa Hamas merupakan kumpulan militan yang bertindak merampas kuasa daripada Pihak Berkuasa Palestin.

Namun begitu, tindakan ketenteraan Israel kali ini lebih dilihat untuk mencetuskan provokasi terhadap negara Islam yang lain, iaitu Iran dan Hizbullah. Iran yang diketahui mempunyai program pembangunan nuklear dan telah berupaya membangunkan kekuatan ketenteraan seperti membina jet pejuang dan bom sendiri telah mencetuskan kebimbangan di kalangan kuasa besar.

Maka tindakan ini tidak lebih daripada provokasi Presiden Bush sebelum tamat penggal pemerintahannya untuk mengheret Iran dan negara Islam lain ke dalam peperangan Israel-Palestin agar mereka mempunyai alasan untuk menutup program pembangunan nuklear dan melemahkan kekuatan negara tersebut.

Ia secara tidak langsung menguji dan mengheret pentadbiran Barrack Hussien Obama, presiden AS seterusnya ke kancah peperangan.

Sesungguhnya sebagai umat Islam dan manusia yang bertanggungjawab, kita kesal kerana negara Barat yang kononnya kuat mempertahankan hak-hak asasi manusia, demokrasi dan sebagainya berlepas tangan apabila berlaku pencabulan hak asasi rakyat Palestin. Penubuhan negara Israel secara haram diiktiraf sah oleh pihak Barat tetapi mereka tidak mengiktiraf pergerakan Hamas yang memenangi pilihan raya secara demokrasi.

Membina kekuatan

Amat sedih apabila terdapat negara Islam terpaksa bertungkus lumus dan bersusah payah menjawab surat tunjuk sebab kepada PBB kerana dikatakan melanggar hak asasi manusia, sedangkan PBB sendiri tidak bertanggungjawab dengan ketetapan sedia ada untuk Palestin atau negara Islam yang lain.

Justeru sebagai remaja yang melihat situasi penderitaan saudara di Palestin dan tempat lain, runtunan emosi seperti marah, sedih dan sebagainya sudah pasti wujud, tetapi seharusnya diikuti dengan perasaan untuk membantu semangat memajukan negara dengan rasa tanggungjawab dan iltizam untuk memajukan umat.

Tunjuk perasaan dan tindakan memulaukan barangan Yahudi dan AS mungkin merupakan langkah yang boleh dilakukan sebagai protes terhadap tindakan mereka, tetapi ia merupakan tindakan jangka pendek. Persoalannya, adakah umat Islam sendiri telah bersedia untuk memulaukan barangan dengan mencipta barangan keluaran mereka sendiri?

Oleh itu sebagai strategi jangka masa panjang, umat Islam perlu berusaha membina kekuatan agar dapat dimanfaatkan untuk menjaga kemaslahatan umat Islam serta membina pelan tindakan yang konsisten dan tersusun di mana kesemua negara Islam terlibat sama.

Dalam melakukan proses tersebut, remaja seharusnya meningkatkan ilmu duniawi, dan dalam pada masa yang sama harus berusaha meningkatkan kefahaman terhadap iman dan akhlak.

Misalnya, remaja boleh membantu bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga untuk keperluan umat Islam dengan sentiasa istiqamah dalam menambah pengetahuan dan kemahiran. Sekiranya remaja mempunyai bakat kepimpinan, bakat tersebut boleh disuburkan untuk memimpin bangsa agama dan negara.

Jika remaja tersebut mempunyai bakat dalam mencipta sesuatu yang baru, bakat tersebut boleh digunakan untuk kepentingan orang Islam. Justeru, tidak kira apa bidang yang diceburi, remaja merupakan aset penting kepada negara yang diharapkan menjadi penyumbang kepada kemajuan umat Islam dan membina kekuatan yang diharapkan.

Krisis di Palestin juga seharusnya memberi pengajaran terutamanya kepada remaja Islam berusaha menyusun strategi jangka panjang, meningkatkan pengetahuan terhadap sejarah lampau dan tentang pentingnya keamanan dan perpaduan.

Remaja Islam harus menginsafi bahawa kemajuan teknologi boleh dijadikan alat untuk membuat kebaikan, tetapi juga teknologi juga boleh digunakan untuk menganiayai dan menindas orang. Apabila teknologi berada pada tangan yang rakus dengan kuasa, maka ia akan membawa mala petaka yang besar terhadap masyarakat sekelilingnya.

Perbezaan antara orang Islam dengan Yahudi ialah mereka mempunyai semangat jihad yang tinggi. Walaupun tanpa sokongan alat ketenteraan yang besar dan kuat, mereka mempunyai semangat juang yang sangat tinggi untuk mengembalikan hak mereka.

Tentera Israel berani melakukan kezaliman terhadap penduduk Palestin kerana banyak bergantung kepada kelengkapan tentera dan mendapat sokongan kuasa-kuasa besar.

Justeru, inilah masanya umat Islam bersatu dan berusaha untuk membina kekuatan sendiri. Umat Islam wajib bersatu padu mempertahankan Islam dan tidak bergantung harap bantuan orang bukan Islam untuk menyelamatkan maruah Islam.

Kesimpulan

Israel akan pasti terus berusaha untuk mengusir rakyat Palestin dan menguasai sepenuhnya negara Palestin. Di negara lain, umat Islam juga terhina di bumi sendiri. Sikap tidak peduli umat Islam tentang persoalan akidah, ibadah, syariat dan akhlak akan menjerumuskan umat Islam di bawah telunjuk Yahudi dan pakatan mereka.

Umat Islam, khususnya remaja Islam harus berhati-hati terhadap propaganda Amerika terhadap perjuangan Palestin dan umat Islam seluruh dunia di dalam media yang kebanyakannya dikuasai oleh mereka.

Muslim perlu kekuatan jati diri hadapi keganasan



MEDIA Barat sentiasa menggambarkan umat Islam dari sudut negatif. Memang sukar menghapuskan tindakan prejudis Barat terhadap umat Islam memandangkan kuasa media amat berpengaruh.

Kuasa media sesuatu yang luar biasa. Napoleon Bonarparte, pemerintah Perancis yang menaiki takhta kuasa pada 1799 pernah berkata: "Saya lebih takut kepada empat surat khabar di Perancis daripada empat ribu senjata. Apabila saya biarkan empat surat khabar itu berleluasa, tentu hanya empat minggu saja saya sempat menduduki takhta kerajaan."

Kata-kata Napoleon itu merujuk kepada pengaruh yang dapat disebarkan melalui bahan bacaan. Apa saja bahan berita atau maklumat dengan mudah dapat disebar melalui media mampu mempengaruhi pembaca untuk mempercayainya sebagai sesuatu yang benar.

Penghinaan dilemparkan kepada umat Islam perlu diselesaikan dengan bijaksana. Sekarang umat Islam sekadar membantah melalui tunjuk perasaan dan menulis surat bantahan setiap kali ada penghinaan dibuat melalui media terhadap umat Islam.

Persoalannya, apakah tindakan itu berkesan? Apa untungnya umat Islam berkumpul membuat bantahan meninggalkan urusan kerja masing-masing. Anak kecil yang sepatutnya berada di sekolah dibawa bersama-sama.

Apa kesannya membakar dan memijak bendera negara yang ditujukan bantahan itu, manakala tulisan yang ditulis sebenarnya pula dibaca di kalangan mereka yang menyertai bantahan saja.

Umat Islam bermati-matian menunjukkan kemarahan yang belum tentu diberi perhatian oleh negara itu. Suasana huru-hara berlaku di negara umat Islam sedangkan di negara itu terus aman serta rakyatnya dapat menjalankan tugas harian seperti biasa.

Negara Islam memulau barangan negara bukan Islam, tetapi berapa lama? Umat Islam terpaksa bergantung kepada barangan keluaran negara bukan Islam.

Jadi, sebenarnya siapa yang untung dalam proses bantahan itu? Sebenarnya umat Islam diumpamakan seperti seekor anjing garang yang kuat menyalak tetapi berada dalam kurungan.

Hakikatnya, umat Islam kini berada dalam keadaan lemah. Pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap umat Islam yang memberi tekanan secara berterusan. Apabila berlaku keganasan dan perbuatan melampau di mana-mana bahagian di dunia ini, umat Islam terus dipersalahkan.

Persepsi masyarakat dunia terhadap umat Islam sekarang sentiasa dikaitkan dengan keganasan dan perbuatan melampau. Justeru, sentimen anti Islam semakin meluas. Fobia Islam dijadikan satu aliran pemikiran baru di Barat dan seluruh dunia.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan sekarang ialah kekuatan umat Islam sekadar mampu berada dalam fasa defensif, yakni bertahan dan cuba mencari ruang kekuatan baru. Keupayaan dan ruang bagi umat Islam melakukan fasa agak terbatas disebabkan kelemahan sistem pertahanan, ekonomi, sosial dan pendidikan.

Kekuatan yang dimiliki umat Islam tidak mampu untuk bertindak offensif. Dengan kedudukan sekarang, jika dilakukan tindakan offensif bakal mengundang masalah lebih besar kepada umat Islam. Masyarakat Barat sudah lama memandang Islam sebagai 'musuh' yang perlu sentiasa diawasi dan dikenakan tekanan secara berterusan. Barat sedar keupayaan Islam untuk menguasai dunia seperti yang pernah berlaku pada era kegemilangan Islam dulu.

Berdasarkan kepada kajian dan pemerhatian beberapa pihak, umat Islam dijangka mampu mengambil alih penguasaan dalam percaturan politik, ekonomi dan ketenteraan pada beberapa dekad akan datang. Hal ini berlaku sekiranya umat Islam bersatu dan menguasai ilmu.

Justeru, Barat begitu prejudis terhadap Islam dan digambarkan melalui sudut yang tidak baik dengan menggunakan media.

Umat Islam memang tidak mampu menghalang media Barat melaporkan mengenai Islam mengikut kaca mata mereka kerana media Barat dikuasai individu dan pertubuhan anti Islam. Apa yang perlu dilakukan sekarang ini ialah umat Islam jangan mudah terpengaruh dengan apa yang dimuatkan dalam media Barat.

Untuk mengimbangi kekuatan media Barat, masyarakat Islam di seluruh dunia perlu bergabung membentuk kumpulan media sendiri. Sekarang ini, di kalangan negara Islam lebih bergantung kepada sumber yang disediakan media Barat.

Hakikatnya, umat Islam perlu mengatur strategi dan bertindak untuk memulihkan imej, kuasa dan kekuatan. Tidak guna menyalahkan pihak lain yang berniat jahat terhadap umat Islam. Keadaan itu sepatutnya dijadikan sebagai cabaran untuk lebih gigih menghadapinya.

Ketika Rasulullah SAW memimpin kerajaan di Madinah, strategi menghadapi segala ancaman pihak kafir dilakukan dengan teliti. Perkara utama dilakukan ialah menyatukan seluruh kekuatan penganut Islam tanpa mengira batasan geografi dan bangsa.

Perpaduan yang dibentuk bukan bertujuan memusuhi dan memerangi mana-mana pihak dengan kekuatan. Islam adalah agama keamanan dan menghormati pihak lain. Tidak ada agama lain seperti Islam yang begitu menekankan kepada aspek hormat menghormati.

Umat Islam harus sedar bahawa tindakan melampau bukan jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi sekarang. Semakin banyak tindakan itu dilakukan, semakin lemah kedudukan umat Islam.

Tindakan keganasan yang dilakukan kumpulan pelampau Islam menyebabkan umat Islam tertekan dan menjadi sasaran pengawasan negara kuasa besar. Banyak negara Islam terpaksa tunduk kepada arahan Barat berkaitan pemantauan aktiviti ekstrim pertubuhan Islam.

Jihad yang mampu dilakukan oleh seluruh umat Islam sekarang ialah membina kekuatan melalui jati diri. Umat Islam perlu bangkit menjadi umat contoh yang dihormati, bukannya dikeji.

Rabu, Januari 07, 2009

Asyura rai kemenangan tegak kebenaran Islam


MASAK bubur asyura beramai-ramai antara aktiviti sambut Maal Hijrah.

Umat digalak berpuasa hari ke-10 Muharam tambah amalan sunat tingkat takwa

MEREKA yang menyedari dan mengerti kelebihan serta keistimewaan Muharam akan menanti kemunculan serta meraikannya dengan penuh kesyukuran kerana Muharam antara bulan penuh keberkatan.

Allah menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah 12 bulan, dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab), dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya seperti mereka memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawa Allah berserta orang bertakwa." (Surah at-Taubah, ayat 36)

Sesungguhnya apabila menjelma saja fajar Muharam di ufuk timur, bukan sekadar petanda bermula tahun baru (yang perlu diterokai dengan penuh keazaman supaya kehidupan masa depan lebih baik daripada kehidupan semalam mengikut acuan ajaran Islam), ia juga mengingatkan mengenai hijrah Rasulullah SAW. Berpandukan peristiwa hijrah Rasul dari Makkah ke Madinah yang penuh dengan kegetiran dan pengorbanan, maka Saidina Umar Al-Khattab menetapkan permulaan takwim dalam Islam.

pada Muharam juga umat Islam meraikan hari Asyura yang menyelitkan pelbagai peristiwa dalam perkembangan Islam sejak Nabi Adam hingga Nabi Muhammad SAW. Pada hari Asyura ramai nabi mendapat kemenangan dan keselamatan pelbagai gangguan, ancaman dan seksaan dalam memperjuang kesucian ajaran Islam.

Contohnya, pada hari itu Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara selepas meringkuk selama tujuh tahun. Nabi Ibrahim keluar dengan selamat dari unggun api yang dinyalakan Raja Namrud untuk membakarnya. Hal itu terakam dalam ayat bermaksud: "Kami berfirman: Wahai api jadilah dingin dan selamat atas Ibrahim." (Surah al-Anbia', ayat 69) Nabi Nuh dan kira-kira 80 pengikutnya turun dari bahtera dengan selamat dan aman, selepas berada di dalamnya enam bulan kerana dilanda banjir besar dan taufan mengerikan.

Demikianlah antara peristiwa yang berlaku pada hari Asyura. Asyura berasal daripada bahasa Arab, 'Asyara' yang bermaksud 10. Ini bermakna Asyura ialah hari ke-10 dalam takwim Islam. Pada tarikh itu, banyak peristiwa membanggakan berpihak kepada orang Islam yang perlu dirai serta diingati semua. Sesungguhnya Asyura selalu dikaitkan dengannya ialah ibadah puasa sunat Asyura. Mengikut riwayat Ibn Abbas, junjungan besar Nabi Muhammad SAW melakukan puasa Asyura sejak di Makkah kerana mengikut kebiasaan masyarakat setempat. Namun, selepas Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Baginda dapati orang Yahudi juga melakukan ibadah puasa lalu Baginda mengajukan pertanyaan, "Apa ini? Kaum Yahudi menjelaskan: Ini hari baik, ini adalah hari Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka, maka berpuasalah Nabi Musa." Seterusnya Nabi bersabda: "Maka aku lebih berhak dengan Musa daripada kalian." Kemudian Baginda berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa Asyura.

Apabila puasa Ramadan diwajibkan, Rasulullah SAW meninggalkannya (menjadi ibadah sunat). Hal itu diceritakan Saidatina Aisyah: "Kemudian ketika puasa Ramadan diwajibkan, Rasulullah meninggalkan puasa Asyura. Maka barang siapa berkehendak, dia berpuasa dan barang siapa berkehendak, dia meninggalkannya." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan At-Tirmizi)

Sesungguhnya puasa sunat Asyura dianggap Baginda Rasulullah SAW sebagai sangat utama selepas puasa Ramadan. Dengan tegas Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Puasa yang utama (afdal) sesudah Ramadan ialah puasa pada Muharam." (Hadis riwayat Muslim) Rasulullah SAW memberi panduan jelas agar puasa Asyura tidak menyamai puasa orang Yahudi menerusi sabda Baginda yang bermaksud: "Puasalah kalian pada hari Asyura, bezakanlah dengan orang Yahudi, berpuasalah satu hari sebelum dan sesudahnya." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Kelebihan puasa Asyura dapat ganjaran pahala dan menghapuskan dosa. Diriwayatkan Imam Muslim, Abu Daud, At-Tirmizi dan An-Nasa'e daripada Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Puasa Asyura, sungguh aku berharap kepada Allah untuk melebur dosa tahun lalu."

Apa yang dimaksudkan Baginda ialah yang terhapusnya cuma dosa kecil, manakala dosa besar boleh terhapus melalui taubat dengan mengikut syaratnya.

Sementara peluang masih ada, kita harus berlumba mengerjakan ibadah sunat bagi menambah kekuatan iman dan mendekatkan diri kepada Allah dengan harapan menjadi insan yang taat, bertakwa serta diredai-Nya di dunia dan akhirat.

MALU Nabi Ayyub

Nabi ALLAH Ayyub a.s , seorang nabi yang telah dikurniakan ALLAH pelbagai nikmat kesenangan termasuk kekayaan harta, kerajaan yang luas, isteri dan anak-anak yang soleh solehah. Sebagaimana manusia lain yang beriman kepada ALLAH , Nabi Ayyub tidak terlepas juga dengan ujian-ujian yang ditimpakannya oleh ALLAH bagi menguji tahap keimanan hamba-Nya yang taat itu.
Syaitan yang tidak senang dengan sifat tawadu’ dan bersyukur yang ada pada Nabi Ayyub kerana kekayaan yang diberi kepadanya langsung tidak membuatkannya lalai beribadat kepada ALLAH. Lalu syaitan berjumpa ALLAH untuk menyatakan hasratnya untuk menghasut Nabi Ayyub dan menggoyahkan pegangan aqidahnya. Syaitan juga meminta ALLAH agar segala nikmat yang diberi kepada Nabi Ayyub ditarik semua sekali. Tetapi ALLAH tahu Nabi Ayyub tetap utuh imanya walaupun diuji ujian-ujian yang berat kepada dirinya. ALLAH memperkenankan permintaan syaitan bagi mempertontonkan kepada syaitan kepatuhan Nabi Ayyub kepada-Nya dalam setiap keadaan tidak kira susah atau senang.
Nabi Ayyub ditimpa malang satu-persatu. Hasil tanamannya tidak subur , harta semakin susut, anak-anak Nabi Ayyub pual ditarik nyawanya dan ujian yang paling besar , menghidapi penyakit yang mengerikan. Bahana penyakit tersebut menyebabkan rakyatnya takut berjumpa dengannya keran dikhuatiri berjangkit dengan mereka. Walaupun dalam keadaan sebegitu, Nabi Ayyub tetap berzikir kepada ALLAH dan membuatkan rasa geram syaitan makin membuak-buak. Syaitan mendapat jalan , untuk meggoda isteri seperti yang dibuatnya untuk megusir Nabi Adam dari syurga.
Dalam keadaan serba kekurangan dan lemahnya iman , isteri Nabi Ayyub termakan hasutan syaitan itu. Isteri Nabi Ayyub berjumpa suaminya lalu berkata “Wahai suamiku, sampai bilakah kita hidup disiksa ALLAH seperti sekarang? Aku cukup merindukan kesenangan yang kita kecapi dahulu bersama anak-anak, sahabat-sahabat, rakyat, kesihatan dan harta yang banyak.Engkau mohonlah kepada ALLAH agar kita semua dibebaskan dari segala penderitaan dan musibah yang berpanjangan ini”
Nabi Ayyub menjawab “Isteriku , kau menangisi kebahagiaan dan kesejahteraan yang ALLAH kurniakan kepada keluarga kita dan engkau juga memintaku memohon kepada ALLAH agar dibebaskan segala kepayahan?”. Aku ingin bertanya kepadamu, “berapa lama kita diberi kenikmatan kemewahan , makmur dan sejahtera?”. Jawab isterinya, “sudah berpuluh-puluh tahun”. Tanya Nabi Ayyub lagi , “penderitaan yang kita tanggung ini sudah berapa lama?”. Jawab isteri, “7 tahun”. “Sebenarnya aku malu” kata Nabi Ayyub lagi. “Kita baru ditimpa kesusahan dalam 7 tahun padahal kesenangan yang diperoleh dahulu bertahun-tahun lamanya, tetapi ingin mohon kembali kepada ALLAH lagi kesenangan?”. Sambungnya lagi, “Engkau telah termakan hasutan syaitan durjana , sehingga timbul rasa kesal atas takdir ALLAH ini dan menyebabkan imanmu menipis”
Setelah ditinggalkan isterinya, Nabi Ayyub tinggallah keseorangan di rumah tanpa ditemani sesiapun. Dia bermunajat kepada
ALLAH dengan sepenuh hati dan kasih sayangnya.

Kisah ini menunjukkan betapa sifat malu(malu yang bertempat) ini benteng daripada hasutan syaitan dalam diri manusia. Mustahil bagi orang yang beriman tiada sifat mahmudah(terpuji) ini. Sebab itulah malu itu sebagai ‘komponen’ penting dalam iman seseorang. Kadang-kadang bila manusia ditimpa musibah misalnya , penyakit mereka cepat meradang dan marahkan tuhan. Perbuatan itu sudah tentu membuatkan mereka menjadi orang yang kufur. Kita sebagai orang Islam, hendaklah percaya segala musibah itu tanda ALLAH masih menyayangi diri kita sebab itulah iman kita diuji untuk menilai tahap keimanan kita kepada-Nya. ALLAH juga menunjukkan sifatnya Maha Pengampun apabila kita ditimpa penyakit dan bersabar maka penyakit itu menjadi suatu kifarah atau penghapus dosa kita yang terdahulu. Kita harus ingat segala nikmat yang kita kecapi boleh ditarik ALLAH bila-bila masa. Sepatutnya , malu dizahirkan dalam keadaan yang sukar tersebut menjadikan diri kita lebih hampir kepada ALLAH dan tidak berputus harap kepada-Nya. Barulah kita ini menjadi hamba-hamba yang taat dan mendambakan rahmatnya, insyallah…

‘SAAD’ surah ke-38
41-44

‘AL-ANBIYAA’ surah ke-21
83-84