Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Sabtu, Januari 17, 2009

Muslim perlu kekuatan jati diri hadapi keganasan



MEDIA Barat sentiasa menggambarkan umat Islam dari sudut negatif. Memang sukar menghapuskan tindakan prejudis Barat terhadap umat Islam memandangkan kuasa media amat berpengaruh.

Kuasa media sesuatu yang luar biasa. Napoleon Bonarparte, pemerintah Perancis yang menaiki takhta kuasa pada 1799 pernah berkata: "Saya lebih takut kepada empat surat khabar di Perancis daripada empat ribu senjata. Apabila saya biarkan empat surat khabar itu berleluasa, tentu hanya empat minggu saja saya sempat menduduki takhta kerajaan."

Kata-kata Napoleon itu merujuk kepada pengaruh yang dapat disebarkan melalui bahan bacaan. Apa saja bahan berita atau maklumat dengan mudah dapat disebar melalui media mampu mempengaruhi pembaca untuk mempercayainya sebagai sesuatu yang benar.

Penghinaan dilemparkan kepada umat Islam perlu diselesaikan dengan bijaksana. Sekarang umat Islam sekadar membantah melalui tunjuk perasaan dan menulis surat bantahan setiap kali ada penghinaan dibuat melalui media terhadap umat Islam.

Persoalannya, apakah tindakan itu berkesan? Apa untungnya umat Islam berkumpul membuat bantahan meninggalkan urusan kerja masing-masing. Anak kecil yang sepatutnya berada di sekolah dibawa bersama-sama.

Apa kesannya membakar dan memijak bendera negara yang ditujukan bantahan itu, manakala tulisan yang ditulis sebenarnya pula dibaca di kalangan mereka yang menyertai bantahan saja.

Umat Islam bermati-matian menunjukkan kemarahan yang belum tentu diberi perhatian oleh negara itu. Suasana huru-hara berlaku di negara umat Islam sedangkan di negara itu terus aman serta rakyatnya dapat menjalankan tugas harian seperti biasa.

Negara Islam memulau barangan negara bukan Islam, tetapi berapa lama? Umat Islam terpaksa bergantung kepada barangan keluaran negara bukan Islam.

Jadi, sebenarnya siapa yang untung dalam proses bantahan itu? Sebenarnya umat Islam diumpamakan seperti seekor anjing garang yang kuat menyalak tetapi berada dalam kurungan.

Hakikatnya, umat Islam kini berada dalam keadaan lemah. Pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap umat Islam yang memberi tekanan secara berterusan. Apabila berlaku keganasan dan perbuatan melampau di mana-mana bahagian di dunia ini, umat Islam terus dipersalahkan.

Persepsi masyarakat dunia terhadap umat Islam sekarang sentiasa dikaitkan dengan keganasan dan perbuatan melampau. Justeru, sentimen anti Islam semakin meluas. Fobia Islam dijadikan satu aliran pemikiran baru di Barat dan seluruh dunia.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan sekarang ialah kekuatan umat Islam sekadar mampu berada dalam fasa defensif, yakni bertahan dan cuba mencari ruang kekuatan baru. Keupayaan dan ruang bagi umat Islam melakukan fasa agak terbatas disebabkan kelemahan sistem pertahanan, ekonomi, sosial dan pendidikan.

Kekuatan yang dimiliki umat Islam tidak mampu untuk bertindak offensif. Dengan kedudukan sekarang, jika dilakukan tindakan offensif bakal mengundang masalah lebih besar kepada umat Islam. Masyarakat Barat sudah lama memandang Islam sebagai 'musuh' yang perlu sentiasa diawasi dan dikenakan tekanan secara berterusan. Barat sedar keupayaan Islam untuk menguasai dunia seperti yang pernah berlaku pada era kegemilangan Islam dulu.

Berdasarkan kepada kajian dan pemerhatian beberapa pihak, umat Islam dijangka mampu mengambil alih penguasaan dalam percaturan politik, ekonomi dan ketenteraan pada beberapa dekad akan datang. Hal ini berlaku sekiranya umat Islam bersatu dan menguasai ilmu.

Justeru, Barat begitu prejudis terhadap Islam dan digambarkan melalui sudut yang tidak baik dengan menggunakan media.

Umat Islam memang tidak mampu menghalang media Barat melaporkan mengenai Islam mengikut kaca mata mereka kerana media Barat dikuasai individu dan pertubuhan anti Islam. Apa yang perlu dilakukan sekarang ini ialah umat Islam jangan mudah terpengaruh dengan apa yang dimuatkan dalam media Barat.

Untuk mengimbangi kekuatan media Barat, masyarakat Islam di seluruh dunia perlu bergabung membentuk kumpulan media sendiri. Sekarang ini, di kalangan negara Islam lebih bergantung kepada sumber yang disediakan media Barat.

Hakikatnya, umat Islam perlu mengatur strategi dan bertindak untuk memulihkan imej, kuasa dan kekuatan. Tidak guna menyalahkan pihak lain yang berniat jahat terhadap umat Islam. Keadaan itu sepatutnya dijadikan sebagai cabaran untuk lebih gigih menghadapinya.

Ketika Rasulullah SAW memimpin kerajaan di Madinah, strategi menghadapi segala ancaman pihak kafir dilakukan dengan teliti. Perkara utama dilakukan ialah menyatukan seluruh kekuatan penganut Islam tanpa mengira batasan geografi dan bangsa.

Perpaduan yang dibentuk bukan bertujuan memusuhi dan memerangi mana-mana pihak dengan kekuatan. Islam adalah agama keamanan dan menghormati pihak lain. Tidak ada agama lain seperti Islam yang begitu menekankan kepada aspek hormat menghormati.

Umat Islam harus sedar bahawa tindakan melampau bukan jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi sekarang. Semakin banyak tindakan itu dilakukan, semakin lemah kedudukan umat Islam.

Tindakan keganasan yang dilakukan kumpulan pelampau Islam menyebabkan umat Islam tertekan dan menjadi sasaran pengawasan negara kuasa besar. Banyak negara Islam terpaksa tunduk kepada arahan Barat berkaitan pemantauan aktiviti ekstrim pertubuhan Islam.

Jihad yang mampu dilakukan oleh seluruh umat Islam sekarang ialah membina kekuatan melalui jati diri. Umat Islam perlu bangkit menjadi umat contoh yang dihormati, bukannya dikeji.

Tiada ulasan: