Dalam kehidupan yang penuh mencabar keimanan ini, marilah kita berusaha
mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Istiqamah dalam melakukan
perkara yang diredai Allah dan jauhilah perkara yang mengundang
kemurkaan-Nya.
Mudah-mudahan kita mendapat kejayaan sebenar di dunia dan akhirat.
Dalam mencari dan mendalami erti takwa, mimbar pada hari ini akan
membicarakan mengenai Hiburan Yang Diredai.
Manusia dan hiburan tidak dapat dipisahkan. Seperti tubuh badan
memerlukan makanan, begitulah jiwa manusia memerlukan kepada hiburan.
Ruang lingkup hiburan sangat luas. Ia merangkumi muzik, sukan dan
permainan, lakonan dan seumpamanya. Ringkasnya, apa saja yang
mendatangkan kegembiraan dan keceriaan pada jiwa, itulah hiburan.
Allah Yang Maha Mencipta amat memahami bahawa manusia kadangkala dirundung musibah dan duka.
Islam tak haramkan hiburan
Ketika itu, manusia mula mencari sesuatu yang dapat menceriakan
jiwanya. Kadangkala pula manusia ingin berhibur atau dihiburkan kerana
mendapat sesuatu berita gembira. Oleh itu, Islam datang bukan untuk
mengharamkan hiburan dan kegembiraan, tetapi lebih kepada memberi garis
panduan serta membimbing manusia untuk memilih hiburan yang mengundang
keredaan Allah SWT.
Sedarlah, hiburan hanyalah sebagai rencah kehidupan. Kerana itu,
tidak patut bagi manusia mementingkan hiburan lebih daripada mengabdikan
diri kepada Allah SWT atau dengan kata lain, berhibur tanpa dibatasi
syariat.
Amat tidak wajar lagi apabila seseorang itu memberi sepenuh tumpuan
dalam hidupnya untuk hiburan semata-mata sehingga melupakan
tanggungjawabnya sebagai hamba kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW adalah insan dan Rasul yang amat prihatin dengan
jiwa manusia. Baginda menyantuni isu hiburan dengan penuh hikmah. Dalam
riwayat Imam al-Bukhari, seperti yang dikhabarkan oleh Ummul Mukminin
Saidatina Aisyah ketika beliau menghantar pengantin perempuan kepada
pengantin lelaki daripada kaum Ansar, Baginda bertanya:
Bermaksud: Wahai Aisyah! Mengapa tiada bersama kamu hiburan?
Sesungguhnya Orang Ansar sukakan hiburan. Hadis ini menunjukkan Nabi SAW
prihatin dengan kecenderungan berhibur sesuatu kaum. Lebih-lebih lagi
dalam majlis dan hari yang bertujuan untuk kegembiraan dan kesukaan
seperti majlis perkahwinan, hari raya dan seumpamanya.
Dalam hadis sahih diriwayatkan Imam al-Bukhari, Ummul Mukminin,
Saidatina Aisyah menceritakan bahawa Abu Bakar masuk ke dalam rumahku
dan ketika itu aku sedang bersama-sama dua hamba wanita dari kalangan
Ansar, mereka berdua sedang mengalunkan (menyanyikan) syair yang
kebiasaannya diucapkan kaum Ansar ketika perang Buath. Aisyah
menyatakan, Dan mereka berdua bukan dari kalangan penyanyi.
Pada ketika itu, apabila Abu Bakar melihatnya, beliau pun berkata,
Wajarkah seruling syaitan dibunyikan di rumah Rasulullah SAW? Dan pada
hari itu adalah hari raya. Maka, Rasulullah SAW pun bersabda yang
bermaksud: Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kaum memiliki hari raya,
dan ini hari raya kita.
Biarpun Rasulullah SAW menerima hiburan seperti yang disebutkan
dalam hadis tadi, sudah pasti terdapat batasan dan panduan yang Islam
gariskan untuk umat Islam.
Kitab Fiqh Ala Mazahibil Arbaah menerangkan empat syarat utama,
pertama perkataan sesuai dengan adab dan ajaran Islam. Ini termasuklah
lirik atau skrip yang mengajak manusia mendekati Allah SWT serta
menjauhkan manusia daripada menderhaka-Nya.
Hiburan galak maksiat dilarang
Islam melarang perkataan atau ucapan yang mengundang kerosakan
akidah bahkan menggalakkan maksiat walaupun dalam situasi bersenda
gurau.
Kedua, persembahan dan penampilannya tidak mengghairahkan nafsu
syahwat serta mengundang fitnah. Lihatlah bagaimana sesuatu hiburan itu
digayakan sama ada sopan dan penuh ketertiban atau sebaliknya.
Sekiranya ada unsur seperti aksi yang menggoda nafsu apatah lagi berlainan jantina.
Ia jelas diharamkan. Ketiga, acara tidak disertai dengan sesuatu
yang haram, seperti hidangan arak, dadah, perjudian, mendedahkan aurat
serta percampuran antara lelaki dan perempuan tanpa batas.
Kita dapati pada hari ini acara hiburan dipakej dengan pelbagai perkara haram yang mengundang kemurkaan Allah.
Kejadian yang berlaku ke atas anak remaja kita baru-baru ini,
sebagai peringatan untuk kita di dunia sebelum hukuman yang lebih
dahsyat di akhirat.
Keempat, hiburan itu tidak melalaikan sehingga perintah Allah SWT
diketepikan. Misalnya apabila tiba waktu solat, maka hendaklah
ditunaikan kewajipan itu terlebih dulu kerana itu adalah perintah Allah
SWT yang pastinya jauh lebih penting daripada berhibur.
Janganlah kerana leka dan tenggelam dalam dunia hiburan sehingga
tanggungjawab selaku hamba Allah diketepikan atau dilewat-lewatkan.
Hiburan yang melalaikan jelas adalah agenda terancang musuh Islam
untuk melemahkan umat ini terutama generasi muda. Inilah masanya umat
Islam berwaspada, bertindak dan bersatu bagi membendung isu ini daripada
terus merebak dan menjadi barah.