Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Jumaat, April 27, 2012

Khutbah Jumaat: Elak sertai gerakan mencabar keutuhan moral, kesusilaan


SISTEM moral dan etika antara sistem yang mempengaruhi kehidupan manusia serta mencerminkan keimanan seseorang. Peraturan yang digariskan dalam sistem moral dapat mempengaruhi lingkungan kehidupan insan dan menjadi pedoman serta panduan. 

Sejarah membuktikan keruntuhan sistem moral akan menghakis ketamadunan yang dibina, tidak kiralah betapa hebatnya tamadun itu. Diceritakan dalam al-Quran bagaimana umat ditimpa bala bencana dahsyat disebabkan kebejatan moral, kelemahan iman dan menularnya budaya hidup songsang.
Lihat saja bandar Sodom yang didiami umat Nabi Lut satu ketika dulu telah dihempas ke bumi hingga mengakibatkan bandar itu hancur dan kesannya kita dapat lihat sehingga sekarang.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Nabi Lut ketika ia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun di dunia ini. Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsumu bukan kepada wanita, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.” (Surah al-Aa’raf, ayat 80-81) 

Amalan cara hidup songsang sebagai lesbian, gay dan biseksual sebenarnya bertentangan undang-undang, norma agama dan moral di negara kita. Amalan itu diharamkan dan termasuk dalam dosa besar. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya yang paling aku takuti menimpa umatku adalah perbuatan kaum Lut.” (Hadis riwayat Ibn Majah) 

Gerakan mencabar keutuhan moral dan kesusilaan masyarakat berteraskan ajaran Islam dapat dilihat menerusi penganjuran demonstrasi dan perhimpunan mempromosikan budaya hidup songsang termasuk gerakan LGBT oleh kumpulan bertopengkan perjuangan hak asasi manusia. 
Penganjuran program seperti Seksualiti Merdeka pada dasarnya adalah manifestasi ideologi kemanusiaan sekular yang sekarang ini bergerak pantas di dokong arus pemikiran liberalisme atau budaya kebebasan secara melampau tanpa menghiraukan kepentingan umum. 

Apa yang menjadi kebimbangan ialah kemudaratan yang memberi kesan terhadap kelangsungan tamadun dan kehidupan beragama manusia. Kita sedar pelbagai cara dilakukan mereka yang tidak bertanggungjawab melemahkan kehidupan bermoral, perpaduan umat Islam serta keamanan negara. 

Antaranya melalui pencemaran budaya, gerakan budaya hidup songsang, penyebaran fitnah perpaduan sama ada melalui media massa, alam siber yang melanggari undang-undang negara. 

Mereka juga mengadakan pelbagai helah termasuk mencetuskan perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan atas dasar menuntut hak dan kebebasan. Namun objektif isu yang diperjuangkan begitu kabur dan tersasar. 

Setiap insan tidak memiliki kebebasan mutlak, bahkan setiap tindak-tanduknya dibimbing oleh prinsip dan peraturan ditetapkan syarak yang bersumberkan wahyu Allah SWT. Hak digariskan dan dijamin oleh Islam sudah pasti tidak bertentangan dengan hak Allah yang menjamin kemaslahatan umum. 

Sesuatu yang diperjuangkan sebagai hak mestilah sesuatu yang tidak sama sekali bertentangan dengan kebenaran, keadilan, kewajaran dan kesesuaian fitrah insan serta tidak mendatangkan kemudaratan, musibah, malapetaka atau kehancuran terhadap masyarakat. 

Justeru, umat Islam diseru supaya tidak bersama dengan golongan ini, jangan terpengaruh pujuk rayu dan tipu daya mereka. Marilah bersama mempertahankan tanah air dari merebaknya budaya songsang dan berlakunya kekacauan. 

Sesungguhnya kekuasaan dan pertolongan Allah SWT sentiasa bersama jemaah dan mereka yang benar. Firman Allah yang bermaksud: “Jika Allah menolong kamu maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jugalah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri.” Surah Ali-Imran, ayat 160) 

Di tangan kitalah letaknya tanggungjawab dan kuasa bagi menghentikan kekacauan dan kehancuran oleh gerakan yang memperjuangkan amalan hidup menjijikkan itu. Berdasarkan maqasid syariah, tanggungjawab setiap umat Islam untuk menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. 

Salah satu prinsip penting yang mesti dilaksanakan umat Islam bagi memastikan kedaulatan agama kekal terpelihara ialah dengan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran. 

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 

Tiada ulasan: