ALAM barzakh adalah suatu kerehatan yang damai bagi jenazah beriman dan berbekalkan amal salih serta ketakwaan.
INILAH saat dinanti-nantikan setiap manusia, tidak kira agama apa yang dianuti, pastinya mati akan datang menjemput kita. Sebagai seorang Islam yang berpegang kepada al-Quran dan hadis, kita mempercayai kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati wajib dilalui semua manusia.
Bagaimana sihat seseorang, kuasa dan kekayaan, manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini. Malah, nabi dan rasul iaitu manusia yang paling dekat dengan tuhan, bahkan yang menjadi kekasih Allah pun tidak dapat lari daripada kematian, menghadapi alam barzakh dan hari penghakiman di padang Mahsyar.Firman Allah yang bermaksud: “Di mana saja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat.” (Surah an-Nisaa’, ayat 78)Persoalan mati adalah suatu kejadian yang paling hebat, suatu kejadian yang tidak dapat dielakkan. Bila seseorang manusia itu mati, ia dikatakan kiamat kecil berlaku pada diri kerana jasadnya menjadi busuk, dimakan cacing, tulang belulang menjadi hancur lebur dan roh keluar dari badan manusia.
Kubur atau alam barzakh adalah tempat permulaan alam akhirat. Sebagaimana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian, maka jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran seksaan kubur di alam barzakh.
Sebaik saja ahli keluarga dan sahabat handai selesai mengebumikan dan berjalan pulang, maka suasana gelap, dua malaikat Munkar dan Nakir datang menghampiri serta mendudukkan jenazah.
Bagi jenazah yang beriman dan berbekalkan amal salih serta ketakwaan unggul maka alam barzakh adalah suatu kerehatan yang damai. Tetapi bagi jenazah yang ingkar, sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah Allah, alam barzakh adalah episod ngeri hingga datangnya hari kiamat.
Mereka berkeadaan seperti orang lemas dalam air yang meraung meminta pertolongan. Ingatlah wahai sekalian umat Islam bahawa pada akhir zaman ini, semakin kurang yang bercakap mengenai kematian, alam barzakh dan Mahsyar kerana sibuk dengan kelazatan kehidupan dunia.
Akhirnya mereka terkejut besar apabila malaikat Izrail datang mencabut nyawa. Saidina Ali pernah berkata: “Manusia tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga daripada tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian datang secara mendadak.”
Kesibukan mencari keseronokan dunia adalah penyumbang terbesar kelalaian manusia mengingati mati dan membuat persediaan menghadapi kematian. Contohnya, penagih dadah sanggup melakukan apa saja termasuk mengambil ubat jalanan yang mengandungi dadah dan bahan terlarang bagi menambah lagi nikmat keseronokan.
Perbuatan ini seolah-olah menggali lubang kubur sendiri. Mereka ini akan menanggung seksaan hidup dengan penyakit kronik yang akhirnya membawa kepada kehancuran dan kematian.
Berdasarkan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ada ajaran sesat tidak menerima hakikat kematian pemimpinnya. Mereka sering mendakwa keajaiban pemimpin yang kadangkala lebih hebat daripada Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin.
Firman Allah bermaksud: “Tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Maka sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali-Imran, ayat 185)
Menghadapi kematian pemimpin yang disayangi sememangnya perit dan sukar diterima. Kita perlu mencontohi sikap waras Abu Bakar ketika berdepan kewafatan Nabi SAW. Beliau memujuk Umar al-Khattab yang masih terkejut seraya berkata: “Ketahuilah, sesiapa yang menyembah Muhammad SAW, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah sentiasa hidup tidak akan mati.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan