Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Isnin, April 25, 2011

Larangan dalam agama demi keamanan bukan bebankan manusia


ISLAM agama keamanan. Menurut Dr Mahmood Mustafa Ayoub dalam buku karangannya, Islam Faith And Practice, Islam adalah kalimah terbitan daripada perkataan 'salama' yang bermaksud 'mempersetujui dan memperakui sesuatu atau memiliki keamanan.'

Kata kerjanya ialah ‘aslama’ yang bermaksud menyerahkan segala urusan hidup kepada kehendak Allah. Muslim adalah mereka yang melakukan penyerahan itu.
Agama Islam mempunyai prinsip undang-undang bertujuan memberi keamanan kepada manusia. Ini dapat dilihat daripada pelaksanaan syariah dalam kehidupan manusia.
Al-Quran menjelaskan matlamat ini di dalam surah Anbia, ayat 107 yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.”

Inilah tujuan sebenar perutusan Rasulullah SAW yang memperkenalkan sistem syariah Islam kepada manusia. Syariah mempunyai konsep keadilan dan keamanan.

Dr Mohammad Hashim Kamali dalam bukunya, Principles Of Islamic Jurisprudence menyatakan kalimah rahmah membawa pengertian jelas mengenai apa yang ingin disampaikan oleh al-Quran dan Sunnah iaitu menghilangkan kemudaratan yang wujud dalam kehidupan manusia, mengelakkan daripada terjadinya sebarang kerosakan dan membina keadilan seterusnya membina keamanan sejagat.

Dengan penjelasan ini, rahmat yang dibawa Nabi Muhammad SAW adalah pelaksanaan maslahah dalam kehidupan manusia yang perlu dijaga dan dipertahankan dari sebarang unsur yang boleh membawa kepada kemusnahannya.
Ulama Usulul Fiqh menjelaskan ada tiga pembahagian maslahah iaitu dhoruriyyat, hajiyyaat dan tahsiniyyat.

Dr Abdul Karim Zaidan dalam bukunya Al-Wajir Fi Usulul Fiqh menjelaskan dhoruriyyat ialah perkara sangat diperlukan manusia bagi menjamin kehidupan sempurna. Dhoruriyyat juga bagi memastikan kehidupan manusia tidak terjejas.

Lima perkara yang sangat diperlukan itu adalah agama, jiwa, keturunan, akal, dan harta. Kelima-lima perkara ini perlu dititik beratkan dan dilindungi.

Manusia memerlukan agama yang benar untuk memastikan aktiviti harian mereka dipandu oleh prinsip dibawa agama itu kerana manusia tidak akan mampu mencapai kebahagiaan hidup tanpa panduan agama.

Lantaran kepentingan agama, Allah mengizinkan sahabat pada zaman Rasul SAW berperang bagi melindungi agama Islam dari dimusnahkan oleh musuh Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Telah diizinkan (berperang) bagi orang yang diperangi kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa menolong mereka.” (Surah Al-Hajj, ayat 39)

Islam menitikberatkan aspek menjaga jiwa dan Allah menegah sama sekali manusia daripada melakukan perbuatan membunuh bertujuan memberi jaminan kepada perlindungan jiwa mereka.

Begitu juga penjagaan keturunan daripada sebarang unsur yang boleh merosakkannya. Daripada keturunan, terbinanya kesinambungan zuriat manusia di dunia. Penekanan Islam ini dapat dilihat daripada pengharaman zina.

Islam tidak hanya melarang perbuatan boleh membawa kepada zina, bahkan turut menyediakan hukuman kepada mereka yang melakukan zina. Larangan mendekati zina dengan ketetapan hukuman membuktikan Islam mementingkan perlindungan keturunan.

Hukuman yang ditetapkan bukan bertujuan mendenda mereka yang melakukan perbuatan itu, tetapi di sebalik pelaksanaan hukuman tersembunyi hikmah untuk melindungi keturunan manusia.

Akal penting kerana dengan pertimbangan akal yang waras memastikan tindakan dilakukan tepat. Ketepatan dalam membuat keputusan penting bagi manusia kerana ia mempengaruhi aktiviti harian dan memberi kesan langsung kepada keharmonian hidup.

Perkara terakhir perlu dilindungi manusia ialah harta. Untuk mendapatkan harta, manusia memerlukan usaha, tenaga dan masa. Harta membantu manusia memenuhi keperluan untuk hidup seperti makan, minum, berkeluarga dan sebagainya.

Sesungguhnya, Islam tidak sama sekali datang untuk memberi beban kepada manusia. Islam selaku agama milik Pencipta manusia pastinya sudah mengetahui kelebihan dan kelemahan yang ada pada manusia.

Allah sama sekali tidak membebankan makhluk dengan hukuman yang ditetapkannya. Semua bentuk larangan Allah mengandungi kemudaratan kepada manusia dan semua perkara yang dihalalkan Allah mengandungi hikmah kebaikan kepada manusia.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban serta belenggu (kesusahan) yang ada pada mereka” (Surah al-Araf, ayat 157)

Tiada ulasan: