Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Sabtu, Februari 19, 2011

Panduan mendidik hati bersih jauhi perasaan dengki, khianat

SUDAH menjadi lumrah, ada sesetengah manusia yang berasa kurang senang apabila melihat kelebihan nikmat dikurniakan Allah kepada orang lain. Untuk menghapuskan perasaan negatif itu, kita seharusnya mengikuti panduan digariskan Nabi SAW.

Diceritakan kepada sahabatnya, Abu Zarr Al-Ghifari, katanya Nabi SAW pernah suatu hari berpesan kepadanya: “Lihatlah kepada orang yang berada di bawah mu dan jangan melihat orang yang berada di atas mu kerana yang demikian lebih patut supaya kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang diberikan kepadamu.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)
Ini satu panduan terbaik buat kita menelusuri kehidupan di dunia dengan tidak menyimpan perasaan hasad dengki dan iri hati terhadap orang lain. Memang benar, ada manusia diberikan nikmat kurniaan dalam bentuk limpahan kekayaan kebendaan ataupun anak yang ramai.
Dalam hal pemilikan harta kekayaan dunia, seharusnya kita meneliti bagaimana orang itu mendapat hasilnya. Mungkin kerana kecekapan dan kegigihan usaha penuh dedikasi sehingga memperoleh nikmat Allah itu. Kita fikir dan renunglah sebagai iktibar supaya turut sama berusaha gigih.

Kita dilarang keras melakukan sebarang pengkhianatan ataupun perbuatan sabotaj terhadap usaha dan perolehan mereka.

Cubalah kita membawa mata hati berfikir dan melihat kepayahan hidup orang lain yang lebih rendah daripada kita. Sudah tentu pada ketika itu kita berasa sangat bersyukur kerana berada dalam keadaan lebih baik.

Ini sebenarnya inti pati hadis Nabi SAW yang mengajak seluruh umatnya bersyukur atas segala nikmat dimiliki dan tidak melihat kepada golongan yang sudah kaya dan mewah hidupnya sehingga terkocak dalam hati rasa dengki.
Rasulullah SAW meminta kita sentiasa bersikap syukur atas nikmat diberikan Allah dan bersifat qanaah, iaitu berasa cukup kurniaan Allah.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya sangat beruntunglah orang yang memeluk Islam, diberikan rezeki yang cukup, dan Allah menjadikannya berasa puas terhadap apa yang Dia berikan kepadanya.” (Hadis riwayat Muslim, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Namun, dalam aspek ibadah, kita harus melihat kepada orang yang lebih baik daripada kita. Jika ada kalangan sahabat atau ahli masyarakat yang hebat amal ibadat wajib mahupun sunat, perlu dijadikan ikutan supaya kita juga tergolong dalam kategori mukmin salih dan kuat beribadah.

Ingat pesanan Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain. Kerana bagi orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan bagi wanita pun ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan.” (Surah An-Nisa’, ayat 32)

Selain itu, perbuatan berdengki dengan nikmat dimiliki orang lain akan membawa kepada kemurkaan Allah dan menyebabkan si pelaku hilang pahala segala amalnya. Oleh itu, kita sewajarnya mendidik hati supaya bersih daripada tompokan rasa dengki.

Rabu, Februari 09, 2011

Bagaimana caranya agar blog saya memuat lebih cepat?



Kelajuan di mana beban blog anda sangat penting untuk menarik lebih banyak pembaca ke blog anda. Jika blog anda memerlukan masa yang lama untuk load, banyak pembaca boleh meninggalkan blog anda sebelum mereka memiliki kesempatan untuk membacanya. Berikut adalah beberapa tips dan trik yang akan membantu memuatkan blog anda lebih cepat dan menarik lebih ramai pengguna:

Posts

waktu buka blog anda boleh dipengaruhi oleh jumlah posting anda paparkan di laman utama anda. Anda boleh dengan mudah mengedit jumlah posting yang ditampilkan di halaman utama dari tab Tetapan | Format. Anda kemudiannya boleh memilih jumlah posting yang ingin ditampilkan pada halaman utama. Kami menyarankan memaparkan 10 atau lebih sedikit posting di halaman utama.



Pihak Ketiga JavaScript dan Link

Untuk kelajuan load blog optimum, kami cadangkan untuk menggunakan Google / Blogger widget, JavaScript dan link. Namun, jika anda perlu menggunakan pihak ketiga JavaScript dan link, blog anda akan memuatkan lebih cepat jika anda menempatkan semua JavaScript di bahagian bawah blog anda. Jika anda mempunyai JavaScript pihak ketiga dan link pada sidebar anda, menempatkan mereka di di bahagian bawah sidebar.

click HERE for more info

Orang awam perlu salur maklumat kegiatan maksiat



Konsep amar makruf nahi mungkar jadi pegangan masyarakat demi kebaikan ummah

MAKSIAT kini bukan saja berlaku dalam rumah, bilik hotel, tempat kerja, taman rekreasi, pusat beli-belah, ruang meletak kereta, di tepi lebuh raya, malah dalam kereta sedang bergerak juga boleh berlaku perkara melanggar hukum syarak.

Akibat hilang tumpuan kerana asyik melakukan maksiat, kereta yang dipandu perlahan dilihat ke kiri dan ke kanan hingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
Segelintir pasangan kekasih pula dikesan menjadikan laluan kecemasan Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) berhampiran taman perumahan sebagai lokasi memadu kasih pada waktu tengah malam berikutan keadaan jalan yang agak gelap.
Melihat senario ‘kereta rosak’ di tepi lebuh raya khususnya pada waktu malam, kita percaya ia tidak berlaku di lebuh raya LEKAS saja, tetapi turut berlaku di lebuh raya dan jalan biasa lain kerana kegiatan maksiat tidak mengenal tempat dan waktu.

Timbul pula persoalan apakah kurangnya penguatkuasaan atau keprihatinan orang awam menyebabkan maksiat berleluasa tanpa mengira tempat dan hairan juga kerana ramai sudah berani melakukan perkara tidak senonoh di tempat agak ‘terbuka’ juga.

Walau apapun, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk melakukan sesuatu supaya maksiat ini dapat dibanteras.

Sesetengah orang tidak memahami apakah itu jenayah khalwat kerana berpendapat khalwat hanya berlaku dalam rumah, bilik hotel, rumah tumpangan atau pejabat.
Khalwat mempunyai tafsiran lebih daripada itu iaitu apabila seorang lelaki atau perempuan bukan mahram berada di mana-mana tempat terselindung yang boleh menimbulkan syak, mereka sedang melakukan perbuatan tidak bermoral.

Justeru, melakukan maksiat dalam kereta tanpa mengira kereta itu bergerak atau tidak, termasuk dalam melakukan jenayah khalwat kerana pasangan berada dalam tempat terselindung dan sunyi.

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, merujuk kesalahan khalwat adalah lelaki atau perempuan yang didapati berada bersama seorang atau lebih yang bukan mahramnya di mana-mana tempat terselindung dalam keadaan boleh menimbulkan syak mereka sedang melakukan perbuatan tidak bermoral.

Hukuman kesalahan jenayah khalwat yang diperuntukkan dalam undang-undang jenayah syariah jika disabitkan ialah denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dari sudut penguatkuasaan, masyarakat sering menyangka kuasa menangkap pesalah khalwat terletak di tangan pegawai penguatkuasa agama negeri semata-mata. Realitinya, ada empat pihak yang mempunyai bidang kuasa untuk menangkap pesalah khalwat iaitu hakim syarie, pegawai penguat kuasa agama, pegawai polis atau pegawai masjid.

Ini bermakna, jika serbuan menangkap pesalah khalwat dilakukan, tidak semestinya memerlukan pegawai penguat kuasa agama kerana pegawai masjid atau salah seorang daripadanya iaitu siak, imam, bilal dan nazir masjid yang dilantik Jabatan Agama Islam Negeri dibenarkan menangkap dan dibantu orang awam.

Namun, jika pegawai masjid yang menangkap pesalah khalwat, hendaklah menyerahkan mereka kepada pegawai penguat kuasa agama atau pegawai polis yang terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Orang awam juga masih boleh berperanan mencegah perlakuan mungkar dengan memberi maklumat berkenaan kesalahan itu kepada pegawai penguatkuasa agama ataupun pegawai polis yang paling hampir dengan pelaku kesalahan khalwat.

Sering juga kita dengar jika sesuatu kawasan atau premis sudah diketahui orang ramai sebagai lubuk maksiat, pegawai penguatkuasa agama akan dipersalahkan kerana tidak mengambil sebarang tindakan.

Seolah-olah, mereka tidak menjalankan tugas dan hanya membiarkan perkara itu berleluasa. Secara logiknya, bagaimana pegawai penguat kuasa agama mengetahui perkara itu jika tiada sebarang aduan diajukan.

Seharusnya masyarakat perlu mengadu kepada pegawai penguat kuasa agama ataupun polis yang berhampiran dan bukan hanya memandang kesalahan itu kemudian merungut di kedai kopi tanpa mengambil sebarang tindakan.

Ada juga yang membuat aduan tetapi tidak mahu memberikan nama dan maklumat diperlukan oleh pegawai penguat kuasa agama. Maklumat ini diperlukan untuk membuat siasatan atau mengambil keterangan ketika dakwaan terhadap pesalah nanti.

Sikap itu mungkin kerana tidak mahu dicop suka menjaga tepi kain orang atau khuatir identiti diketahui pihak diadukan, nanti mereka mengambil tindakan di luar jangkaan atau membalas dendam.

Seiring konsep amar makruf nahi mungkar, masyarakat tidak boleh berlepas tangan dan menganggap untuk menangani masalah ini adalah tanggungjawab pegawai penguat kuasa agama.

Konsep amar makruf nahi mungkar dituntut untuk menjaga kemaslahatan umat Islam seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali-Imran, ayat 104)

Oleh itu, tanggungjawab mencegah kemungkaran lebih-lebih lagi pada saat masalah sosial kian meruncing menjadi tanggungjawab bersama bukan pihak tertentu kerana semua akan dipertanggungjawabkan terhadap perkara berlaku di sekeliling mereka.

Bagi tempat atau lokasi yang diketahui menjadi sarang maksiat seperti kawasan gelak di tepi lebuh raya, pihak berwajib perlu kerap melakukan rondaan untuk membanteras jenayah tanpa perlu menunggu aduan orang ramai.

Kepada mereka yang melihat perkara menimbulkan syak wasangka, hendaklah berani membuat laporan bukan mengelak diri kerana tidak mahu campur tangan hal orang lain.