Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Selasa, November 30, 2010

Dedahkan keaiban orang bukan ikut syariat Islam

Usaha memelihara kepentingan sesama Muslim tidak akan tercapai jika fitnah berleluasa

MEMALUKAN seseorang dengan mencari dan mendedahkan keaiban pada mata masyarakat adalah perbuatan mazmumah. Soal mencari dan mendedahkan keaiban orang lain ini dengan sesuka hati sangat dipandang berat oleh Islam.
Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka terhebahnya tuduhan yang buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah al-Nur: 19)
Atas dasar ini maka dikehendaki setiap orang menyimpan rahsia atau menutup keaiban saudaranya lebih-lebih lagi jika ia hanya semata-mata prasangka atau tuduhan buruk yang tidak berasas.

Ini kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah dan perselisihan yang akibatnya amat berat ditanggung oleh orang itu sendiri dan juga masyarakat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat kelak.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Menjelaskan mengenai perkara mendedahkan keaiban ini, Ibn Hajar dalam Kitab Fath al-Mubin membahagikan manusia kepada dua golongan. Pertama, orang yang tidak pernah disebut melakukan kejahatan atau kemungkaran.
Jika terdengar atau diketahui bahawa mereka melakukan sesuatu kemungkaran, maka tidaklah harus didedah atau diperkatakan. Jika tetap diperkata atau didedahkan juga kemungkaran didengari itu maka ia menjadi ghibah (umpat) yang hukumnya haram dan berat dosanya.

Kedua, orang yang sudah terkenal dengan kejahatan atau kemungkarannya secara terang-terangan malah tidak mempedulikan sebarang nasihat yang diberikan dan tidak malu dalam melakukan kejahatan secara terbuka.

Golongan ini harus didedahkan keaibannya. Mendedah dan bercakap mengenai kejahatan mereka dalam situasi ini tidak lagi dianggap mengumpat. Malah, ada kalanya wajib didedahkan kejahatannya kepada orang ramai supaya mereka sentiasa berwaspada dengan tingkah lakunya.

Sebab jika didiamkan tentulah ia akan bermaharajalela dan kejahatannya semakin hari akan bertambah, sehingga membahayakan masyarakat.

Menurut sesetengah ulama pula, adalah sunat merahsiakan keaiban manusia dalam empat perkara iaitu keaiban berkaitan hak Allah, keaiban lampau yang tidak diketahui orang, keaiban orang berkedudukan dalam masyarakat dan keaiban dilakukan untuk melindungi kepentingan anak yatim.

Setiap manusia mempunyai kehormatan diri yang tidak boleh dinodai dengan diselidiki keaibannya, sekalipun ia berbuat dosa selama dilakukan secara bersembunyi.

Abu al-Haisam pegawai kepada Uqbah bin Amir (salah seorang sahabat Nabi) berkata: “Saya pernah memberitahu Uqbah bahawa saya mempunyai jiran yang suka minum arak dan saya akan melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya mereka datang menangkapnya. Lantas Uqbah berkata: “Jangan! Tetapi nasihatilah mereka itu”. Abu al-Haisam menjawab: “Saya sudah melarang tetapi mereka masih berbuat demikian. Justeru, saya tetap akan melaporkannya kepada pihak berkuasa.”

Uqabah berkata lagi: “Jangan! Sebab saya pernah mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang menutupi suatu keaiban, maka ia seolah-olah menghidupkan anak yang ditanam hidup-hidup dalam kuburnya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasa’i).

Bagaimanapun, semua orang tetap ada keaibannya yang tertentu sama ada kecil atau besar dan tentu dia tidak suka diketahui orang. Apatah lagi jika ada orang sengaja mencari keaiban seterusnya menyebarkan ke sana-sini, tentu dia akan marah. Lebih buruk lagi jika ia membawa kepada perselisihan dan pergaduhan.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu mencari-cari keaiban orang lain, bererti kamu sudah merosakkan mereka atau setidak-tidaknya hampir merosakkan mereka itu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Hibban)

Sebenarnya hal ini bertentangan dengan dasar Islam yang menganjurkan umat Islam supaya saling berkasih-sayang, hormat-menghormati, bantu-membantu dan tidak benci-membenci antara satu sama lain.

Bagi orang yang suka menyebarkan keaiban orang lain, seharusnya berfikir bahawa dirinya juga tidak sepi daripada aib dan cacat. Jika dia tidak suka keaibannya dicari dan didedahkan maka mengapa pula dia sanggup mencari dan mendedahkan keaiban orang lain. Tidakkah dia bimbang suatu hari nanti orang lain pula akan mencari dan mendedahkan keaibannya.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Wahai orang yang telah menyatakan beriman dengan lidahnya, tetapi iman itu belum sampai ke dalam hatinya! Janganlah kamu menyakiti orang Islam dan janganlah pula mencari-cari keaiban mereka. Sebab sesiapa yang mencari keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mencari pula keaibannya. Sesiapa yang telah dicari keaibannya oleh Allah, maka Dia akan mendedahkannya, meskipun ia berada dalam perjalanan yang jauh.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Segala bentuk perbuatan dan tindakan yang kita lakukan hendaklah berlandaskan syariat Islam. Jika syariat Islam tidak dipedulikan, usaha menghidupkan semangat kerjasama dalam masyarakat seperti bantu-membantu, hormat-menghormati dan memelihara kepentingan sesama Muslim tidak akan tercapai. Sebaliknya, akan wujud masyarakat yang penuh dengan kejahatan dan kemungkaran.

Ucapan salam disertai berjabat tangan eratkan persaudaraan

UCAPAN ‘Assalamualaikum’ boleh jadi asing bagi segelintir masyarakat mungkin kerana sudah terbiasa mengucapkan ‘hello’ dan ‘bye-bye’ apabila bertemu serta berpisah sehingga ucapan salam yang mulia, dipinggirkan.

Bak kata pepatah alah bisa tegal biasa. Namun, perlu difahami ucapan salam yang disyariatkan mempunyai impak besar dalam memelihara hubungan ukhuwah sesama manusia. Malah, ucapan itu dinilai sebagai ibadah dalam konteks mempraktikkan sunnah Rasulullah.
Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Demi zat yang diriku berada di bawah kekuasaan-Nya, tidak akan masuk syurga selagi kamu tidak beriman, tidak akan beriman selagi kamu tidak saling cinta mencintai. Apakah kamu ingin ku khabarkan mengenai amalan yang apabila dilakukan pasti membuatkan kamu saling mencintai? Kalangan sahabat menjawab: Ya, wahai Rasulullah. Nabi bersabda: Sebarkanlah salam dalam kalangan kamu.” (Hadis riwayat Muslim).
Selain itu, ucapan salam disertai perbuatan berjabat tangan juga sunnah yang dituntut. Walaupun begitu, ia masih tertakluk kepada hukum bersentuhan antara bukan mahram yang perlu dipelihara.

Amalan berjabat tangan antara lelaki dan perempuan ajnabi seakan menjadi perkara biasa walhal ia perbuatan dosa yang semestinya dijauhi. Justeru, jangan mudah menghulurkan tangan untuk berjabat dengan sesiapa saja kecuali selepas dipastikan segala ketetapan agama dipatuhi sepenuhnya.

Ataupun, jika terdesak untuk berjabat tangan berusahalah mengelak dengan cara bijaksana tanpa menjatuhkan maruah dan kehormatan orang lain.

Membongkokkan badan sambil berjabat tangan juga perbuatan dilarang bagi mengelak wujudnya unsur syirik penyembahan kepada sesama makhluk. Adapun perbuatan saling berpelukan dan berciuman ketika bertemu adalah diharuskan terutama apabila seseorang pulang daripada musafir seperti ketika menyambut kepulangan jemaah haji.
Perbuatan berdiri untuk mengagungkan seseorang yang lain juga adalah tidak disukai Nabi Muhammad. Justeru, sahabat tidak berdiri apabila melihat Baginda.

Bagaimanakah ucapan salam yang sebenar-benarnya disyariatkan. Diriwayatkan, bertandang seorang lelaki kepada Rasulullah seraya mengucapkan ‘Assalamualaikum’. Nabi bersabda: Sepuluh kebaikan. Kemudian datang yang lain sambil mengucapkan ‘Assalamualaikum warahmatullah’. Nabi bersabda: Dua puluh kebaikan. Kemudian datang yang lain dan mengucapkan ‘Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh’. Baginda bersabda: Tiga puluh kebaikan.” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Disebabkan hebatnya ucapan salam dan pahala disediakan untuknya, umat Islam diseru tidak lagi memandang remeh amalan baik mengucapkan salam ketika bertemu dengan saudaranya.

Diriwayatkan, sekelompok orang Yahudi datang menemui Rasulullah sambil mengucapkan ‘Assaamu alaikum’ yang bermaksud racun untuk kamu. Lalu dijawab Nabi: ‘Alaikum’. Saidatina Aisyah kemudian menambah lagi: Bahkan racun dan laknat buat kamu.”

Nabi kemudian bersabda lagi: “Wahai Aisyah sesungguhnya Allah mencintai kelembutan dalam segala hal. Aisyah membalas, apakah Tuan tidak mendengar apa yang mereka ucapkan. Nabi menjawab lagi sambil berkata: “Aku telah membalasnya dengan mengucapkan ‘alaikum’ yang bermaksud untuk kamu juga.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Marilah kita mempraktikkan amalan salam dan menyebarluaskan amalan itu dalam kehidupan seharian supaya umat Islam akan sentiasa dilindungi dan dirahmati kerana kita saling mendoakan antara satu sama lain.

Khamis, November 04, 2010

Tafsir Ayat: Ibadat saie Safa ke Marwah lambang kecekalan, ketakwaan

FIRMAN Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya Safa dan Marwah itu sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa menunaikan ibadat haji ke Baitullah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) antara kedua-duanya. Dan sesiapa suka rela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 158)

Ibrahim al-Sari berkata, Safa bermaksud batu keras dan kental. Oleh itu, sebatang pohon tidak tumbuh di atasnya manakala Marwah pula ialah batu lembut. Kedua-dua tempat itu dijadikan syiar Allah untuk dilaksanakan salah satu daripada rukun haji iaitu bersaie.
Syiar bermaksud tanda atau lambang ibadah kepada Allah. Oleh itu, ditakrifkan syiar sebagai setiap apa yang diperintahkan kepada hamba Allah sebagai satu ibadat kepada Allah dengannya daripada segala urusan agama seperti tawaf, saie, wukuf di padang Arafah dan melontar Jamrah di Mina.
Sayid Qutub dalam kitab tafsirnya berkata, sesiapa yang berkeliling antara dua bukit, bererti dia menunaikan syiar untuk Allah.

Syeikh Sya’rawi pula menyatakan, dua bukit Safa dan Marwah mengingatkan nostalgia lama bagaimana Hajar iaitu ibu Ismail berulang alik antara kedua-duanya mencari air untuk anaknya selepas ditinggalkan Ibrahim di sisi Baitullah al-Haram.

Bagaimana fikiran seorang perempuan ketika ditinggalkan suaminya bersama anak kecil di tempat yang tidak mempunyai makanan dan sumber air?

Di sinilah lahirnya ucapan Hajar yang masyhur, iaitu kepada siapa kamu serahkan kami, adakah Allah yang perintahkan kamu berbuat demikian? Lantas jawab Nabi Ibrahim: Ya, dengan penuh yakin. Isterinya yang salihah berkata: Jika begitu, Allah SWT tidak akan mengabaikan kami.
Sebab nuzul ayat ini ialah riwayat yang menyatakan sesetengah Muslimin keberatan berkeliling di Safa dan Marwah ketika mengerjakan ibadat haji atau umrah disebabkan berhala Asaf dan Na’ilah diletakkan di atas dua bukit itu.
Orang Islam tidak suka dan keberatan untuk berkeliling di situ seperti mereka berkeliling di zaman jahiliah.

Diriwayatkan Asim Ibn Sulaiman berkata: “Aku bertanya Anas mengenai (berkeliling) di Safa dan Marwah, dia menjawab: Kami melihat kedua-duanya daripada upacara (ibadat) jahiliah. Apabila Islam datang, kami menahan diri daripada berkeliling pada kedua-duanya. Kemudian Allah menurunkan ayat di atas bermaksud: Sesungguhnya Bukit al-Safa dan al-Marwah itu adalah daripada syiar Allah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Islam mengekalkan kebanyakan syiar ibadat haji yang diamalkan orang Arab dan menghapuskan syiar berhubungan dengan berhala serta kepercayaan karut jahiliah.

Sebaliknya, Islam menghubungkan syiar ibadat haji dikekalkan itu dengan kefahaman dan kepercayaan sebagai syiar Ibrahim yang diajarkan oleh Allah kepadanya.

Allah berfirman bermaksud: “Dan sesiapa mengerjakan dengan sukarela amalan baik, maka sesungguhnya Allah memberikan balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.”

Firman Allah ini menegaskan amalan berkeliling di antara dua Bukit Safa dan Marwah itu adalah amalan baik, maka terhapuslah segala perasaan syak dan keraguan dari hati kaum Muslimin, akhirnya timbullah rasa senang hati untuk melaksanakan syiar ini.

Dalam erti kata lain, ayat ini memberikan ketenangan jiwa bagi orang beriman kerana Allah SWT menetapkan syiar bersai sebagai satu syiar yang baik dan akan membalasnya dengan kebajikan.

Paling penting sekali ialah Allah Maha Mengetahui segala niat dan perasaan tersemat dalam hati setiap Muslim. Natijahnya, Allah SWT meredai segala perbuatan yang baik dan akan membalasnya dengan ganjaran baik.