Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Sabtu, Ogos 22, 2009

PETROL RON91,RON95,RON97....



DI Eropah, klasifikasi keseragaman kelas bahan bakar petrol dibahagikan kepada tiga kelas utama. RON91, RON95 dan RON98. Pembahagian itu dibuat berdasarkan jenis keperluan bahan bakar yang diperlukan pada setiap jenis enjin berlainan pengeluar.

RON91 dicipta untuk enjin yang mampu menerima petrol berplumbum, RON95 untuk petrol tanpa plumbum yang juga disebut petrol premium dan RON98 atau disebut juga sebagai Super Plus atau Super Premium.

Bermula 1 September ini, klasifikasi penjualan minyak petrol di negara ini akan diselaraskan kepada dua jenis RON (Research Octane Number) iaitu RON95 dan RON97.

Dalam jangka masa kurang dua bulan dari sekarang, RON95 akan menggantikan RON92 yang berharga RM1.75 seliter, manakala RON97 akan menjadi petrol premium pada harga RM2.

Apakah kesannya kepada pengguna? Sebenarnya, banyak yang perlu diketahui tentang asas RON itu sendiri.

Di seluruh dunia, pencemaran bahan api fosil telah meningkatkan kesedaran umum. Justeru itu, kualiti bahan bakar ditingkatkan. Jurutera bertungkus lumus memikirkan idea untuk mencipta enjin dengan sistem pembakaran moden yang mampu beroperasi menggunakan petrol spesifikasi RON yang dibangunkan. Kandungan sulfur juga diminimumkan.

Adakah semua petrol RON95 sesuai dengan kereta anda? Bagaimana mengetahui kesesuaian tersebut? Langkah paling mudah adalah melihat pada penutup petrol.

Jika ia tidak dinyatakan, rujuk buku panduan kenderaan. Biarpun begitu, tidak semua pengeluar kereta menulisnya dalam bentuk angka. Sebahagiannya ditulis dalam istilah leaded dan unleaded.

Jangan khuatir, majoriti petrol yang dijual di Malaysia (termasuk RON92) adalah petrol jenis tanpa plumbum (unleaded). Adakah RON97 lebih baik daripada RON95? Secara teorinya, ya tetapi secara paraktiknya, tidak. Petrol RON95 di stesen A mungkin lebih baik daripada petrol RON97 di stesen B.

Perlu diingatkan bahawa setiap petrol yang dijual oleh Petronas, Shell, BHP, Esso, Caltex dan Mobil adalah tidak sama. Setiap syarikat mempunyai ramuan tersendiri untuk meningkatkan keupayaan kualiti petrol masing-masing.

Techron, Primax dan Infiniti merupakan antara petrol yang dihasilkan menerusi kajian dan pembangunan yang serius. Anda mungkin biasa menonton iklan bagaimana petrol di stesen A berupaya membersihkan enapan karbon pada injap dan omboh. Adakah ia sekadar gimik?

Adakah petrol RON95 berkualiti rendah? Ini adalah pandangan yang salah. RON berkaitan dengan campuran dua unsur asas iaitu oktana dan pentana yang melengkapkan sifatnya menjadi bahan bakar petrol.

RON95 bermaksud 95 peratus kandungannya adalah oktana dan selebihnya pentana. Begitu juga dengan RON97 iaitu hanya tiga peratus pentana dan selebihnya oktana.

Gandingan itu akan memutlakkan tahap pembakaran enjin yang bakal digunakan. Sekiranya enjin anda cukup sekadar dengan pembakaran RON95, kenapa perlu membazir membeli petrol RON97? Adakah jam Breitling memberi maklumat waktu yang lebih tepat berbanding jam Casio?

Sebaliknya, jika enjin anda dicipta untuk membakar dengan RON97, adalah tidak memadai menggunakan RON95 kerana omboh akan mengalami masalah ketukan (knocking).

Ini kerana enjin silinder bergerak dengan membakar petrol menjadi gas. Asasnya, enjin yang dicipta untuk RON95 adalah kebuk pembakaran yang berupaya membakar sejumlah 95 peratus oktana.

Perlu diingat bahawa sifat oktana adalah kemampuannya untuk menahan tekanan dalam kebuk pembakaran. Jadi, dengan enjin yang dicipta untuk pembakaran 95 peratus oktana, memadai kita menggunakan petrol RON95.

Namun, jika enjin tersebut dicipta untuk tekanan 97 peratus oktana, maka penggunaan RON95 tidak sesuai. Oktana mempunyai keupayaan mengembangkan tekanan dengan baik, tetapi bukan pentana. Pentana hanya akan melambatkan proses timbal-balik dan di sinilah masalah ketukan berlaku.

Petrol yang baik bergantung kepada pengeluar petrol itu sendiri. Seperti yang diterangkan pada awal nota ini tadi, setiap petrol tidak sama.

Dakwaan mengatakan semakin tinggi RON adalah lebih baik dan mampu menghasilkan enjin yang lebih berkuasa juga tidak benar. Petrol yang baik adalah petrol yang sesuai dengan RON yang diperlukan oleh enjin.

Jangan percaya pada pandangan salah. Terlalu ramai 'pakar' automotif hari ini. Cuba taipkan RON dalam Yahoo Malaysia, nescaya pelbagai forum akan membincangkan tentangnya.

Baca dengan teliti kerana sebahagiannya memberi fakta yang songsang. Ringkasnya begini, mengapa anda perlu membeli pakej Streamyx 4.0 mbs sedangkan kelajuan 384kb sudah mencukupi untuk hanya memeriksa e-mel dan membaca kosmo.com.my?

Jumaat, Ogos 21, 2009

Mempersiapkan diri menghayati Ramadan



(petikan bharian 8/09)
Amalan ditunjukkan ibu bapa menjadi pendakwah terdekat kepada anak

RAMADAN yang ditunggu-tunggu seluruh umat Islam bakal menjelma hujung minggu ini. Ada yang rindukan sahurnya, buka puasa, malah ada yang teringat akan malamnya yang kudus. Tarawih dan solat malam sudah tentu akan diisi maksimum mungkin dan diselangi tadarrus. Ramai juga yang mengambil peluang mengerjakan umrah dan bersedekah, kerana semuanya ingin menghambakan diri, menjadi hamba-Nya yang tulus.

Permulaannya rahmat, pertengahannya pengampunan dan penghujungnya terlepas dari api neraka. Inilah yang ingin dikejar sesiapa saja yang inginkan penghabisan usia yang baik. Yang bersalah memohon maaf, yang sombong menghulur senyum, yang jahat mula bertaubat, yang malas menyinsing lengan, yang takbur kembali sujud memohon keampunan, memohon pelepasan dari dosa yang terhimpun sekian lama.

Indahnya Ramadan, paginya hening untuk yang insaf, siangnya pendek untuk yang sabar dan malamnya panjang untuk yang bertaubat. Selain menahan diri dari lapar dan dahaga, berpuasa juga menjaga diri dari melakukan perbuatan maksiat. Yang halal dilakukan pada bulan yang lainnya menjadi haram pada bulan puasa, seperti makan pada siang hari dan melakukan persetubuhan antara suami isteri. Kerana itulah orang berpuasa dengan sebenar-benarnya adalah orang yang luar biasa.

Di dalam surah Al-Baqarah ayat 183, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa."

Orang berpuasa ialah orang yang bertakwa. Mereka menjaga hati dari berasa sangsi terhadap kekuasaan Allah dan kebaikan saudara seagama. Mereka juga menjaga mata dari memandang sesuatu yang tidak selayaknya, menjaga hidung dari menghidu sesuatu yang mengurangkan pahala, menjaga telinga dari halwa yang membuai rasa dan suara yang membawa berita bohong, menjaga lidah dari membicarakan hal yang tidak berfaedah, mengumpat, mencaci, menipu dan memfitnah serta menjaga tubuh badan lainnya yang menjadikan kita leka dari mengingati Yang Maha Berkuasa.

Orang meninggalkan puasa tanpa izin syarie tidak akan dapat menggantikan hari berkenaan pada mana-mana hari pun di dunia, Rasulullah SAW menegaskan hal ini dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam at-Tarmizi yang maksudnya: "Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa berbuka satu hari pada Ramadan tanpa ada ruksah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa ditinggalkan itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup".

Pada bulan mulia, ibu bapa wajar mengambil peluang meluangkan masa yang berganda bersama anak dan mendidik mereka mematuhi hukum agama. Selain puasa, rukun Islam lainnya wajar ditazkirahkan semula dan diamalkan bersama mereka supaya hati mereka dekat dengan Yang Maha Pencipta.

Anak bukan saja perlu difahamkan dengan apa yang terakam di dalam kitab suci, tetapi juga amalan yang ditunjukkan ibu bapa, yang menjadi pendakwah paling hampir dengan mereka.

Tunjuk ajar yang betul pada peringkat awal usia anak untuk menghadapi Ramadan tentunya menjadi batu asas yang kuat untuk mereka beristiqamah dengan fahaman puasa yang sebenarnya, iaitu bukan hanya berlapar dan dahaga, apatah lagi membazir sewaktu berbuka tetapi menjadi hamba yang insaf terhadap hari muka.

Sudah tentu setiap isteri pula menantikan tunjuk ajar suami dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT. Walaupun menyediakan juadah bersahur dan berbuka besar dan banyak pahalanya, ia tidak cukup puas jika tidak berjemaah sewaktu qiyamullail, apatah lagi apabila tibanya lailatul qadar yang hanya bertandang sekali. Justeru, setiap suami harus mengambil kesempatan dari saat ini untuk menyiapkan diri membimbing anak dan isteri menghadapi Ramadan kali ini agar lebih baik dari sebelumnya.