Pages

Sila / Please 'LIKE' to support this blog..tq ^^

Rabu, September 03, 2008

Ramadan latihan terbaik bentuk Muslim berdisiplin

IBADAT puasa adalah peluang terbaik untuk membentuk keperibadian diri cemerlang baik dari segi kerohanian mahupun aspek kesihatan fizikal. Keagungan ibadat puasa dapat diperhatikan dengan memahami fadilat dan hikmah pensyariatan ibadat mulia ini.

Puasa membentuk insan bertakwa. Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman. Kamu semua diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu supaya kamu semua bertakwa." � (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Makna takwa adalah mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Berpuasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi berpuasa dalam erti kata sebenar termasuk mengerjakan segala kewajipan dan meninggalkan segala larangan seperti mengumpat, berbohong, tidak melaga-lagakan sesama umat dan tidak berniaga secara haram.

Selama sebulan Ramadan umat Islam seolah-olah berada dalam sebuah institusi latihan untuk membentuk insan bertakwa. Selepas tamat latihan, dia sepatutnya dapat membantu seseorang mengekalkan ketakwaan sepanjang masa.

Orang berpuasa juga dianugerahkan kedudukan tinggi di sisi Allah yang mana mereka tergolong di kalangan para shiddiqin (orang yang benar) dan syuhada (golongan syahid).

'Amr bin Murrah al-Juhani berkata: "Seorang lelaki datang menemui Nabi SAW lalu berkata: Ya Rasulullah. Menurut pendapatmu, aku tergolong dalam golongan mana jika ada bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, engkau adalah Rasulullah, aku solat lima waktu, aku tunaikan zakat, aku berpuasa pada Ramadan dan solat tarawih pada malam harinya? Baginda menjawab: Golongan shiddiqin dan syuhada." � (Hadis riwayat Ibn Hibban)

Puasa juga perisai yang dapat menghalang kita daripada azab api neraka. Menurut Ibn al-'Arabi: "Puasa dikatakan sebagai perisai api neraka kerana puasa mampu menahan diri daripada syahwat (dorongan untuk melakukan perbuatan mungkar disebabkan hawa nafsu). Sedangkan, neraka dikelilingi oleh syahwat. Apabila seseorang mampu menahan diri daripada syahwat ketika kehidupan di dunia, hal itu menjadi penghalang (perisai) baginya di neraka kelak."

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengungkapkan perkataan yang keji dan janganlah sekali-kali berbuat jahil. Justeru itu, jika seseorang diperangi atau dicaci, dia hendaklah berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa sebanyak dua kali." � (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ibadat puasa juga dapat menghapuskan segala dosa yang dilakukan sebelum ini. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, dosanya yang lalu telah diampuni (oleh Allah)." � (Hadis riwayat al-Bukhari)

Al-Khattabi berkata: "Tambahan pula Ramadan, bulan penuh keberkatan di mana pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu rahmat Ilahi menaungi seluruh hamba-Nya yang beriman. Jadi, tidak hairanlah jika Allah akan meluaskan pula pengampunan-Nya terhadap semua hamba-Nya."

Allah menjanjikan ganjaran pahala amat besar bagi hamba-Nya yang berpuasa ikhlas untuk mencapai keredaan-Nya. Berbeza dengan ibadat lain yang telah ditetapkan ganjaran pahalanya dalam gandaan 10 sehingga 700 kali ganda.

Ganjaran pahala untuk ibadat puasa ini ditetapkan oleh Allah tanpa batasan. Dia berhak memberi seberapa banyak ganjaran kepada hamba-Nya menurut kehendak-Nya. Oleh itu, setiap individu perlu merebut peluang itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap amal kebaikan Bani Adam pahalanya (ditulis oleh malaikat) kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang memberi pahala puasanya." � (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ternyata ganjaran pahala daripada Allah tiada tolok bandingnya untuk hamba yang mengerjakan ibadat puasa. Oleh itu, kerjakanlah dengan penuh keikhlasan dan kesempurnaan. Semoga kita mencapai ganjaran paling maksimum melaluinya. � (Buku Menyambut Ramadan dan Aidilfitri Menurut Sunnah Rasulullah SAW)

Tajdid Iman: Roh Islam hidupkan semangat lawan penjajah

PERJUANGAN: Islam janjikan kemuliaan kepada sesiapa berjuang menegakkan yang hak dan menentang kezaliman. - Gambar hiasan
Sejarah buktikan perjuangan tegak kedaulatan agama, bangsa dipelopori ulama

KETIKA memperingati Hari Kebangsaan, kita perlu merenung sambil cuba menjelajah sejarah yang menumpahkan darah syuhada bangsa. Apakah yang menguatkan azam dan keberanian jiwa mereka menentang penjajah.

Agaknya ada sesuatu yang amat besar mampu melahirkan semangat kepahlawanan dalam diri syuhada. Roh Islamlah sebenarnya berperanan menghidupkan jiwa mereka menentang kolonialisme. Islam yang menjanjikan kemuliaan kepada sesiapa berjuang menegakkan yang hak.

Data sejarah merakamkan gerakan antipenjajahan British yang dipelopori ulama sama ada di Sarawak, Melaka, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Catatan sejarah menyatakan pada 17 Ogos 1844, Sharif Sahab, Sharif Mashor, Datu Patinggi Ali, Datu Patinggi Imam Abdul Gafur, Imam Masjid Besar Sarawak yang pertama bersama penduduk tempatan dari kalangan Dayak melakukan penentangan bersenjata secara serentak terhadap penjajahan Brooke di Sarawak.

Akibat pertempuran itu, Datu Patinggi Ali gugur dalam Pertempuran Beting Maru, manakala Sharif Mashor yang gigih menentang penjajah akhirnya dibuang negeri ke Singapura. (Zaini Ahmad, Rakis 1978)

Pada 1895, di Pahang muncul Datuk Bahaman yang disokong Tok Ku Paloh dari Terengganu mengisytiharkan perang jihad menentang British. Pada awal abad ke-20, muncul pula Tok Janggut Mat Hasan di Kelantan.
Pada 1922, Abdul Rahman Limbong memimpin gerakan Islam menentang British di Terengganu bersama rakan beliau seperti Musa Abdul Ghani. Hasil daripada kesedaran serta semangat kebangsaan dan keIslaman orang Melayu, maka lahirlah parti politik seperti Hizbul Muslimin, Umno dan Pas pada pertengahan abad ke-20.

Walaupun antara parti politik ini ada perbezaan dari segi strategi dan taktik perjuangan, matlamat yang dituju adalah satu iaitu membela kedaulatan agama Islam dan Melayu. (Mahayudin Haji Yahya, Islam di Alam Melayu 1998)

Prof Dr Hamka yang mengkaji gerakan ulama di Nusantara mengabadikan nama besar pahlawan Islam di serata Kepulauan Indonesia. Antara yang beliau sebutkan ialah Sultan Iskandar Muda di Acheh, Sultan Agung Tirtayasa di Banten, Sultan Agung Hanyotokusumo di Mataram, Sultan Hasanudin di Makasar, Raja Haji di Bugis, Raja Muda di Riau, Diponegoro memimpin tanah Jawa, Teuku Imam Bonjol, Pattimura di Ambon dan gurunya Said Partintah dari Saparua, seorang berketurunan Arab. (Hamka, Dari hati ke hati, tentang Agama, Sosial, Budaya dan Politik 2002)

Semua pahlawan negara itu menjadikan ajaran Islam sebagai pedoman dalam gerakan dan perjuangannya. Patutkah kita melupakan jasa ulama di Alam Melayu Nusantara ini? Alangkah lemahnya pandangan mata hati yang tidak mahu mengakui bahawa roh Islamlah sebenarnya yang menggerakkan perjuangan mereka.
Menerusi semangat al-Quran mereka menggenggam semangat jihad hingga mencapai kemerdekaan. Firman Allah yang bermaksud: "Dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya seperti mana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah berserta orang yang bertakwa." (Surah Al-Taubah, ayat 36)

Kerana iman kepada Allah mereka memperjuangkan agama dan bangsa, seperti maksud firman-Nya: "Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui." (Surah Al-Taubah, ayat 41)

Mereka percaya dengan janji Allah bagi sesiapa memperjuangkan agamanya adalah nikmat syurga yang kekal abadi seperti dimaktubkan dalam ayat al-Quran yang bermaksud: "Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya) dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang beriman." (Surah Al-Saf, ayat 10-13)

Jelas terpancar semangat Islam itulah yang membangkitkan pahlawan bangsa kita. Begitu pula sebaliknya, penjajah yang datang dari barat dipengaruhi semangat salibiyyah di samping faktor politik dan ekonomi.

Hal ini dibongkar oleh Hamka melalui buku sejarah yang ditulis K M Panikkar bertajuk Asia and Western Dominant. Ketika Panglima Perang Portugis Alfonso d'Albuquerque mahu menyerang Melaka yang menjadi pertahanan Islam kuat ketika itu, dia mengobarkan semangat juang tenteranya dengan pidatonya yang terkenal: "Adalah suatu pemujaan dan persembahan ibadat yang amat suci dari kita untuk Tuhan dengan mengusir dan menghakis habis orang Arab dari negeri ini, dan dengan menghembus padam pelita pengikut Muhammad sehingga tidak ada lagi cahayanya di sini buat selama-lamanya. Apabila perniagaan di Melaka ini kita rampas daripada tangan orang Islam, maka habislah masa depan Kaherah dan Makkah, dan Vanesia tidak akan dapat lagi berniaga rempah kalau tidak berhubungan dengan Portugis."

Sejarah Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan selama-lamanya. Orientalis dan negarawan pelopor imperialisme terkenal akhir abad ke-19, Gladstone (1809-1898) pernah mengungkapkan kesulitan penjajah menguasai negeri Islam.

Sambil memegang al-Quran dalam House of Common, beliau berkata: "Selama kitab ini masih dibaca orang Islam, selama itu mereka masih melawan kita."

Betapa dekatnya Islam dan bangsa Melayu, abadi selama-lamanya menjadi kekuatan yang terbukti boleh menentang sesiapa yang mahu mempermainkan ketinggian maruah mereka. Perkataan Gladstone menjadi bukti bahawa kekuatan Melayu berpunca daripada keyakinan mereka terhadap agamanya, Islam.

Kita sudah merdeka dan kekal dengan semangat 'Islam dan Melayu' yang takkan hilang ditelan zaman. Namun akhir-akhir ini kita dikejutkan oleh usaha pengkhianat bangsa yang mahu meruntuhkan jiwa bangsa, menghisap kasih sayang dan toleransi dari darah daging generasi baru.

Mereka berusaha meracuni pemikiran generasi baru dengan sentimen ras dan warna kulit berbeza padahal gerakan ini nyata membawa agenda politik tertentu. Perlu difahami bahawa kolonialisme zaman sekarang tidak jauh beza dengan nenek moyang mereka dulu.

Hanya yang sekarang menggunakan taktik membonceng di belakang tali barut berasal dari negara yang dijajah. Mencipta suasana tegang antara suku kaum adalah siasat dan muslihat basi yang agaknya mahu diguna pakai kembali saat ini.

Bukankah penjajah dulu menggunakan taktik pecah dan perintah? Yang menjadi mangsa bukan hanya umat Islam dan orang Melayu, bahkan kaum minoriti lain ikut terbabit kerana kemajuan ekonomi dan pembangunan boleh terjejas dengan isu keselamatan negara. Akhirnya kita akur, kesan penjajahan itu tak boleh dihapuskan, taktik dan muslihat mereka lebih canggih daripada dulu.

Transformasi budaya berunsur negatif sedikit sebanyak menghilangkan jatidiri generasi baru bangsa ini. Bukankah ramai anak muda yang malu mengaku Melayu dan Muslim dalam bergaya, berekspresi dan bergerak dalam percaturan dunia?

Nenek moyang kita amat kuat pegangan agamanya, merekalah yang memperjuangkan kemerdekaan ini. Jangan dilupa, Islamlah yang menggerakkan perjuangan merebut kemerdekaan. Mengapa mahu dihapuskan kemuliaan Islam dalam perjuangan kita hari ini? Hamka pernah mencoretkan pesanan: "Melayu tanpa Islam, hilang 'me'-nya, tinggal layu saja".